Aeril Zafrel dan Wawa Zainal selesa berlakon bersama

Pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal hampir dua tahun melayari rumah tangga.Kedua-dua dilihat semakin ‘lebat’ menerima tawaran lakonan daripada beberapa produksi yang mahukan khidmat mereka.

Justeru, ditebak soalan adakah Aeril mewajibkan setiap tawaran lakonan yang diterima harus mengambil mereka berdua secara pakej sebagai salah satu syarat, ternyata dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya.

Bagaimanapun menurutnya, peletakan sesuatu syarat itu memang berlaku tetapi bukanlah tawaran pakej seperti didakwa sebelum ini.

“Memang betul saya ada tetapkan syarat tertentu kepada pihak produksi jika mahukan saya atau Wawa berlakon dalam drama mereka dan ia adalah tindakan yang wajar bagi menjaga status hubungan kami.

“Saya tidak kisah jika tawaran itu datang secara solo sama ada hanya mahukan saya atau Wawa kerana antara kami berdua, masing-masing tahu peranan tersendiri untuk membawa diri ketika berlakon.

“Kami saling mengingati had batasan ketika menjayakan babak lakonan. Alhamdulillah setakat ini tiada masalah untuk memberikan komitmen terbaik buat produksi yang menawarkan peluang berlakon kepada kami," ujar Aeril sambil kenyataannya itu diakui oleh Wawa di sisinya.

Pada masa yang sama, lelaki kacak itu menerangkan, sejak mengecapi alam perkahwinan, produksi lebih cenderung untuk menawarkan tawaran secara pakej kepada mereka.

Berdasarkan skrip katanya, tawaran tersebut kebanyakannya menyatukan mereka sebagai pasangan kekasih atau suami isteri dan ternyata peluang seperti itu adalah sesuatu yang dihargainya.


“Saya tidak tahu sama ada ia kebetulan atau tidak, tetapi tawaran sebegini adalah sesuatu yang diharapkan kerana ia memudahkan pergerakan kami untuk pergi bersama-sama ke set penggambaran.

“Terdapat beberapa tawaran yang menggandingkan kami peranan sebagai kekasih atau suami isteri dan ada juga watak selaku rakan biasa," katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Cerita Cinta Kita siaran TV3 yang menyaksikan pasangan itu berlakon bersama.

Sementara itu, menurut Wawa, walaupun tawaran pakej tersebut memudahkan mereka untuk bekerja, tetapi ia bakal memberi risiko terhadap karier seni masing-masing.

Jelasnya, penonton di negara ini cepat bosan dengan sesuatu yang stereotaip dan sekiranya mereka suami isteri kerap digandingkan dalam sesebuah karya, ia dikhuatiri akan membosankan.

“Kadang-kala saya risau juga jika situasi ini berlaku. Sebab itulah kami tidak menghadkan tawaran yang diterima biar ia lebih terbuka dan memberi pilihan kepada penonton," ujarnya.

~utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top