Kosong Kosong sempena Ramadan

Mengambil inspirasi daripada kata-kata yang sering diungkapkan orang ramai apabila menjelang Ramadan, Astro membawakan tema Kosong Kosong Buka Lembaran Baharu bagi menghayati bulan mulia di semua salurannya, termasuk Astro Radio.

Pelbagai program menarik disusun mengikut selera penonton sepanjang Ramadan.

Daripada program berkonsepkan kerohanian, bimbingan, ilmu dan drama kehidupan, sajian Kosong Kosong dihidangkan bagi mengajak rakyat Malaysia menyemai erti kemaafan.

Lebih 30 program disajikan bagi memberi pengisian kepada penonton sepanjang bulan puasa bermula 28 Jun ini.

Selain program sedia ada, Astro menambah pelbagai program baharu untuk dimuatkan dalam setiap salurannya dan segmen menarik di rangkaian stesen radio milik mereka.

Mengangkat tema Kosong Kosong sebagai strategi melalui medan sedia ada, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, berkata melalui platform tonton, dengar dan baca yang tersedia di bawah Astro, pelbagai aktiviti diatur dengan teliti untuk memastikan sajian program bukan saja bermutu, tetapi mengikut selera semasa tanpa mengabaikan tuntutan kerohanian.

"Seperti beberapa tahun sebelum ini, Astro Oasis menjadi saluran utama yang menyajikan pelbagai program sepanjang Ramadan. Selain Ria dan Prima, Astro Citra turut menampilkan program bermutu seperti filem cereka melalui segmen Sinema Sahur -Minggu Istimewa.

"Melalui segmen ini, kita menyajikan filem yang dibintangi oleh Lisa Surihani, Aaron Aziz, Nora Danish dan Shaheizy Sam yang akan mula bersiaran pada 1 Julai, jam 4.30 pagi.

"Selain TV, stesen radio juga memainkan peranan dalam mengimarahkan Ramadan melalui segmen yang sudah disusun," katanya pada sidang media memperkenalkan program Ramadan Astro.

Nasib isteri tak dicintai suami

Telefilem berjudul Perempuan Lindungan Kaabah pasti mencuri tumpuan penonton yang ingin menyaksikan gandingan hebat Shaarnaz Ahmad, Diana Danielle dan Keith Foo yang akan disiarkan di saluran Astro First bermula 12 Julai.

Mengisahkan mengenai seorang wanita yang dihormati kerana mengamalkan cara hidup Islam, Hanan, namun beliau dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak mencintainya dan juga mengamalkan cara hidup yang terlalu berbeza dengan caranya.

Dilayan dingin, Hanan tetap cuba untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Harapannya, suatu hari nanti si suami akan berubah dan dapat menerima serta menyayanginya.

Selain kisah hidup Hanan, Astro Oasis menyajikan drama berjudul 30 Hari Puasa yang menampilkan Tony Eusoff, Haeriyanto Hassan dan Sherie Merlis dalam drama 30 episod.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top