10 pasangan finalis Peraduan Gerbang Cinta (GC) Musim Ke-2 telah didedahkan dengan persediaan untuk memiliki keluarga sendiri baru-baru ini.

Bertempat di Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong dan rumah orang tua, Rumah Sri Kenangan Cheras, Selangor, kesemua mereka diberikan tugasan khas bagi membuktikan mereka sebenarnya layak untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Dalam tugasan tersebut, kesemua mereka diberikan tanggungjawab untuk menguruskan anak-anak dalam mengendalikan urusan seharian keluarga.


Malah, pada tugasan tersebut setiap pasangan pasangan diberikan 'anak-anak' yang terdiri daripada penghuni Rumah Amal tersebut.

Menurut Pengurus Pengurusan Penjenamaan Utusan Melayu (M) Berhad., Aslinda Mohd Noor, tugasan ini merupakan tugasan akhir bagi melayakkan pasangan ini untuk bergelar juara pada awal tahun depan.

Tegasnya, biarpun tugasan mereka nampak senang, hakikatnya para peserta terpaksa berdepan secara realiti untuk mengendalikan anak-anak dalam menguruskan alam rumah tangga.

''Mereka bukan sahaja harus berdepan dengan anak-anak kecil dan orang tua tetapi melayan emosi dan perasaan mereka '' ujarnya lagi.

Bagaimanapun Aslinda menambah tugasan ini memberikan gambaran sebenar untuk melangkah ke alam rumah tangga.

''Inilah hakikat yang yang harus mereka terima untuk melangkah ke alam rumah tangga bukan sekadar hanya berseronok tetapi harus peka dengan tanggungjawab dan juga komitmen yang bakal di galas," katanya.

Bagaimanapun apa yang membanggakan katanya, kesemua peserta nyata komited melaksanakan tugas dengan ikhlas bukan semata-mata untuk meraih penilaian yang tinggi.

Sementara itu, salah seorang wakil penaja yang turut hadir sebagai juri, Nor Asniah Mohd. Noh, memberitahu setiap tindak tanduk dalam tugasan tersebut telah diperhatikan.

''Inilah masa yang paling sesuai untuk melihat kematangan para peserta dalam mengendalikan urusan rumah tangga.

''Mereka bukan sekadar perlu melayan tetapi juga harus menyelami hati dan perasaan anak-anak dan warga emas,'' ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kesemua mereka dinilai berdasar kategori termasuklah kematangan, tanggungjawab, kesungguhan dan juga komitmen yang ditunjukkan.

Nor Asniah yang merupakan Penolong Pengarah di Bahagian Keluarga dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, faktor keserasian, strategi dan juga pengurusan masa turut diambil kira dalam pemarkahan.

Salah seorang peserta, Nurul Illyiana Nor Zaidi, 24, mengakui sangat teruja dengan tugasan khas ini biarpun agak keletihan kerana program mengambil masa sehari suntuk.

"Program hari ini memberi pengalaman baru yang menyentuh hati saya terutama ketika berhadapan dengan anak-anak yatim dan warga emas.

''Tugasan ini juga menggambarkan cabaran baru kepada kami bagaimana mengendalikan rumah tangga apabila mempunyai anak kelak," katanya.

Biarpun pada peringkat awal dia agak kekok menguruskan anak-anak yang ramai tetapi sangat teruja dengan kerenah mereka yang pelbagai ragam.

''Mungkin ini yang akan kami alami apabila mempunyai anak sendiri nanti,'' ujarnya yang teringin mempunyai anak kembar apabila mendirikan rumah tangga.

Bagi pasangannya pula, Mohd. Danial Hasan Basari, sangat teruja kerana berpeluang untuk bersama anak-anak yatim dan juga warga emas.

''Biarpun tempoh untuk bersama mereka sangat singkat, namun memberi peluang untuk berkongsi kasih dengan anak-anak yang kurang bernasib baik itu,'' ujar jurutera muda ini.

Dia mengakui, tugasan tersebut sebenarnya banyak memberikan pendedahan sebenar bagaimana untuk mengurus rumah tangga apabila mempunyai anak sendiri nanti.

''Insya-Allah segala pengalaman di sini akan saya gunakan nanti apabila mempunyai keluarga kelak,'' ujarnya bersunguh-sungguh.

Sementara itu, bagi Marni Azlina Deraman pula, mengakui agak kelam kabut apabila diminta menguruskan anak-anak yang ramai. Bagaimanapun ilmu yang dipelajari sebelum ini banyak membantu menguruskan suasana tersebut.

''Memang awalnya agak penat untuk menguruskan mereka semua, maklumlah kerenah anak-anak sangat berbeza," katanya.

Dia yang merupakan seorang pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Pahang, menjelaskan kaedah pujukan adalah cara yang penting dalam mengajar anak-anak ini .

''Biarpun nampak lembut tetapi ada ketika harus tegas ketika mendidik,'' ujarnya dengan serius.

Katanya lagi, dalam mendidik anak-anak tidak semua kaedah yang boleh digunakan kerana personaliti seseorang juga berbeza.

Terangnya lagi, kaedah sama juga turut digunakan ketika mengendalikan anak-anak pada tugasan khas itu.

Dalam pada suasana berbeza pula di Rumah Sri Kenangan Cheras apabila pasangan finalis ini menerima ibu dan bapa angkat.

Biarpun masih lelah dengan program bersama anak yatim di sebelah pagi, masing-masing masih berupaya menampilkan wajah manis dan ceria beramah-mesra dengan para penghuni rumah tersebut.

Berkongsi cerita dengan orang yang jauh lebih lama 'makan garam' nyata banyak pengajaran dan panduan yang ditimba.

Di penghujung hari yang padat rata-rata mengakui kedua-dua program tersebut amat menyentuh hati dan menginsafkan tentang pentingnya mendaulatkan kasih-sayang sesama manusia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top