Drama realiti Gadis Semasa Sunsilk 13 episod bakal ditayang di TV3 mulai 11 Januari 2011 mencipta kelainan apabila ia lebih menjurus kepada memberikan inspirasi kepada penonton menerusi perjalanan hidup seorang pelajar yang berkebolehan dalam bidang seni.

Pada dasarnya, drama realiti terbitan Red Communications yang memaparkan transformasi diri gadis terpilih itu bukan bertujuan pada akhirnya untuk melahirkan seorang bintang, sebaliknya perkongsian keazaman wanita muda itu untuk memajukan diri bersama-sama masyarakat, terutama golongan wanita.

Dengan sokongan jenama penjagaan rambut terkenal itu, drama realiti 13 episod ini diarahkan oleh Bernard Chauly. Ia turut menampilkan beberapa pakar dalam bidang seni dan kecantikan iaitu Ajai (pakar vokal), Wardina (personaliti) dan Bambang Soteto (dandanan).

Gadis Semasa mengisahkan seorang pelajar jurusan muzik yang dicungkil bakat muziknya menerusi laman sosial. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merealisasikan minatnya dalam bidang itu sehingga ke pentas terkemuka. Namun dengan bantuan pakar, dia mula membina keyakinan diri dan melihat perubahan dalam hidup.

Ia sebuah perjalanan yang penuh pahit dan manis, suka dan suka, serta kejutan yang diharap dapat menyentuh rasa, seterusnya memberikan impak kepada mereka yang menontonnya.

Menurut penerbitnya, Lina Tan, proses mencari gadis yang sesuai untuk diketengahkan dalam drama itu bukan kerja yang mudah. Ia turut mengambil masa kerana mereka bukan mencari calon yang ingin dijadikan bintang komersial, sebaliknya insan biasa yang berbakat besar, serta mampu memberikan inspirasi kepada masyarakat.
"Oleh kerana minat kebanyakan wanita muda hari ini adalah kepada muzik dan kecantikan, jadi kami berusaha mencari calon sesuai di Internet. Di situ, kita dapati ramai yang berbakat, tetapi belum pernah didedahkan kepada arus perdana.

Akhirnya, kami menemui gadis ini di YouTube, apabila dia memaparkan lagunya di laman berkenaan. Kita sedar, dia bukan mahukan kemasyhuran, sebaliknya sekadar berkongsi bakat bersama orang ramai. Itu jugalah kriteria yang dicari-cari oleh kami," kata Lina pada majlis sidang akhbar mengumumkan program itu di Bangsar baru-baru ini.

Rancangan realiti itu sekadar menyediakan tapak sokongan buat gadis terbabit, manakala masa depannya berada dalam tangannya sendiri, tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Belum bersedia untuk mendedahkan identiti gadis berkenaan, Lina memberitahu, lagu yang dimuatkan wanita muda itu pada hakikatnya menjadi faktor utama mengapa mereka memilihnya untuk drama realiti ini.

"Begitupun, proses memujuk dirinya untuk tampil dalam program ini bukanlah selancar yang disangka. Justeru, untuk mengetahui bagaimana pujukan itu berlaku, penonton harus mengikuti episod pertamanya apabila ia disiarkan kelak," ujar Lina sambil menguntumkan senyuman.

Sementara itu, Bernard berkata, dia sendiri teruja untuk mengarahkan drama realiti terbabit kerana ia muncul projek pertama membolehkan dirinya menggabungkan elemen drama dan kejadian sebenar pada masa yang sama.

"Saya pernah menghasilkan drama, filem serta program berbentuk majalah. Inilah julung kalinya saya terbabit dalam rancangan berbentuk realiti. Jadi, tentunya saya cukup teruja. Pada ketika yang sama, saya sedar cabaran besar menunggu sebaik saja bersetuju mengarahkannya. Ketika itu saya tahu, saya akan bekerjasama dengan gadis yang tidak pernah pun mempunyai pengalaman berlakon depan kamera.

"Namun begitu, bagi melancarkan produksi, kami mengadakan bengkel selama tiga minggu. Saya tidak mahu dia berlakon, sebaliknya memaparkan diri sebenar kepada penonton. Ketika yang sama, tentulah kami mempunyai skrip yang perlu diikuti.
Selama kira-kira tiga bulan, penonton akan dapat mengikuti perjalanan hidup gadis ini. Pendek kata, ia sebuah persembahan yang segar, jujur dan penuh keseronokan," kata pengarah Gol & Gindu dan Pisau Cukur ini.

Ajai pula memberitahu, gadis yang terpilih itu sememangnya berbakat besar dan dia sendiri berasakan, bakat sebagus itu harus dikongsi bersama dengan khalayak di arus perdana.

Manakala Wardina pula melihat gadis terbabit sebagai insan yang ikhlas, yang memiliki keupayaan tinggi dalam bidang muzik.

"Peranan saya dalam program ini adalah lebih kepada seorang kakak kepadanya, yang cuba membantunya mendapat keyakinan yang lebih, dalam usaha menjadi dirinya yang sebenar," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top