Akademi Al-Quran AQ diterbitkan pada tahun 2006. Akademi Al-Quran sudah melahirkan empat juara iaitu Anuar Hasin (juara AQ1), Abdullah Fahmi Che Nor (juara AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (juara AQ3) dan terkini Ahmad Tirmizi Ali (juara AQ4).

Akademi Al-Quran diwujudkan untuk melahirkan generasi Al-Quran dengan mendedahkan mereka mengenai ilmu pembacaan Al-Quran, menekankan elemen berlagu serta tarannum dan qiraat tertentu dan paling utama adalah menyemarakkan minat penonton terhadap ilmu Al-Quran melalui satu-satunya rancangan realiti berteraskan Al- Quran.


Akademi Al-Quran Musim Ke-5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang juga merupakan adik kepada Ustaz Mohd Zamri Zainuldin. Kelebihan kedua-dua hos ini ialah mereka amat fasih berbahasa Arab.

Akademi Al-Quran Musim Ke-5 AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini dari musim pertama.

Sementara Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasohah para peserta kelak. Menariknya musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Penonton akan bersama-sama peserta menimba satu pengalaman baru di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tentang perkara seharian yang kita lakukan selama ini yang secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan harian kita. Contohnya berkaitan pemakanan, pembacaan dan pentafsiran Al-Quran.

Sementara Di Sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini dan akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat dari jam 6.30 petang. Menarik tentang Di Sebalik AQ5 ini, penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat dan juga perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas.

AQ5 diterajui oleh penerbit Shukri Ibrahim dan penerbit eksekutif Nuraeshah Malik. AQ5 akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 Januari 2011 ini hanya di saluran TV9, Di Hatiku.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top