Bagaikan sudah dijangka, pasangan Rosdi dan Zarin dikeluarkan serentak selepas persembahan minggu kelapan mereka.
Apapun, situasi itu agak mengejutkan Ferhad Ibrahim selaku penasihat tarian kepada dua pasangan berkenaan.
Bagi Ferhad, pasangan Rosdi dan Zarin menunjukkan prestasi yang baik dan peningkatan ketara pada persembahan mereka setiap minggu.
"Jujurnya, saya mengaku sangat terkejut apabila pasangan Rosdi diumumkan tersingkir.
"Saya dapati persembahan mereka pada minggu ketujuh dan kelapan, Sabtu lalu adalah yang terbaik, lebih-lebih lagi markah yang diberikan juri pun agak tinggi.
"Mereka juga sering berada di kelompok peserta terselamat. Jadi, saya memang terperanjat persembahan menarik yang dilakukan mereka gagal meraih undian sistem pesanan ringkas (SMS) penonton. Tak dinafikan, saya agak kecewa.
"Begitu juga pasangan Zarin, biarpun juri tetap Joseph Gonzalez memberi komen persembahan mereka dengan tema Fantasi Cinta kurang menonjol, tetapi gerak tarinya harus dipuji.
"Bahkan, saya melihat gerak tari dialunkan mereka sebenarnya sukar.
"Bagaimanapun, saya sedar pasangan Zarin kurang dari segi undian SMS. Peratusan SMS mereka pada setiap minggu agak rendah dan ia juga menjadi faktor penyingkiran ini. "Justeru, sekarang harapan saya terletak sepenuhnya kepada pasangan Ariz," katanya.
Ferhad berkata, dia melihat pasangan Ariz boleh mara lebih jauh kerana mereka berkemampuan menari dengan baik. Buktinya, pada minggu ketujuh dengan tema Bollykollywood, Ariz berjaya mendapat markah penuh daripada juri iaitu 40 peratus.
Bagi pemandu lori kontena, Ed Rosdi Roslee, 25, dan isterinya, Siti Musliha Zakaria, mereka sebenarnya tidak menyangka akan tersingkir kelmarin.
Kata mereka, sebagai peserta siapa yang tidak menyimpan impian untuk berentap di peringkat akhir.
Kata Ed Rosdi, selain dorongan keluarga, dia juga terharu dengan sokongan majikannya yang sanggup memperuntukkan RM500 setiap minggu untuk menghantar undian SMS.
"Namun, sayangnya perjalanan kami terhenti pada minggu kelapan.
"Saya sangat sedih kerana impian anak Wan Farahrunisa, 14, dan Muhammad Ammar, 6, tak kesampaian untuk melihat kami berdua beraksi pada malam akhir Mari Menari. Kalah menang, adat bertanding, tetapi asalkan kami layak ke final," katanya.
Siti pula berkata, mereka sangat yakin tidak tersingkir memandangkan markah yang tinggi diterima daripada juri profesional.
Ujarnya, boleh dikatakan setiap minggu markah yang diperoleh mereka tidak mengecewakan dan berada di tahap yang baik.
Zarin atau Nordzarina Mohd Ramli, 32, dan suaminya, Fazizul Zainudin, 30, pula memaklumkan mereka memang sudah menjangka akan tersingkir.
Kata Zarin, perasaan itu amat kuat dirasai selepas persembahan pada malam Sabtu lalu.
"Kami akur dengan penyingkiran ini walaupun sebenarnya amat sedih. Apapun, selain untuk menang hadiah lumayan disediakan, saya dan suami menyertai Mari Menari kerana berusaha untuk dapatkan zuriat. Menerusi program Sehati Berdansa, ramai artis hamil selepas itu.
"Jadi, mana tahu ada rezeki kami pula selepas ini. Walaupun perkahwinan saya dan suami baru mencecah usia setahun empat bulan, namun kami sangat mengharapkan kehadiran zuriat sebagai pengikat kasih dan pelengkap keluarga," katanya.
Menurut Fazizul, dia dan isteri tetap bersyukur mereka mampu bertahan hingga minggu kelapan.
Sekalipun, harapan untuk melangkah ke final musnah, namun mereka mengharapkan hasrat untuk menimang cahaya mata suatu hari nanti akan tercapai.
Hanya tinggal dua minggu lagi, malam kemuncak Mari Menari dijangka berlangsung pada 18 Disember ini di studio A, Astro, Bukit Jalil. Apapun, keputusan peratusan peserta masih diungguli pasangan Razif dengan 56 peratus diikuti Ariz (43 peratus), Fahmi (51 peratus), Zul (49 peratus), Nita (46 peratus), Rosdi (43 peratus) dan Zarin (42 peratus).
0 ulasan:
Catat Ulasan