Kumpulan hip hop yang suatu ketika dulu popular dengan lagu Inilah Nasibku menempelak individu yang mempertikai kemampuan mereka menari pada usia 40-an.

Tampil dengan nama baru, Nico G, anggota kumpulan itu meminta peminat berfikiran terbuka dan usah mengeluarkan kenyataan klise kerana kehadiran mereka sekadar memeriahkan lapangan hip hop tempatan.

Masih dianggotai Affa, Nico dan Dino, mereka tidak menganggap pilihan untuk tampil dengan imej remaja hip hop sebagai kesalahan.

"Orang luar tidak berhak mempertikai imej dan kemampuan kami menari pad usia ambang 40-an. Selagi kami masih mempunyai stamina, kenapa tidak?

"Amy Search masih lagi bergaya pada usianya sekarang. Jadi, salahkah jika kami ingin menjadi seperti beliau? Jika melihat kepada fizikal kami, tiada siapa menyangka Nico sudah berusia 42 tahun.

Kemunculan semula

"Saya dan Dino akan memasuki usia 40," kata Affa pada majlis pelancaran single terbaharu mereka, Belia Perwira di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi cerita mengenai kemunculan semula mereka ke persada muzik tanah air selepas hampir 15 tahun meninggalkan industri, Nico G berkata, mereka kembali bukan untuk bersaing mengejar populariti.

"Hasrat untuk kembali tercetus empat tahun lalu. Ketika itu, kami menyertai GX4 yang turut dianggotai Shades, Kool dan A to Z. Melalui inisiatif itu, setiap kumpulan diwajibkan mempunyai satu single terbaharu. Berikutan itu, ia memberi semangat kepada kami untuk memiliki single sendiri selepas hampir 23 tahun tidak memiliki lagu baharu.

"Proses menyiapkan single Belia Perwira dilakukan dengan cukup teliti. Ia membabitkan gabungan enam komposer iaitu kami selain Jeff A to Z, Wan Namiron dari kumpulan Akar dan Mael K.B.

"Kami memilih komposer lama kerana mahu memberi peluang, selain percaya sentuhan mereka masih berbisa. Kami sudah lama berada dalam industri, kemunculan ini bukanlah untuk bersaing merebut populariti, sebaliknya kami hanya berharap diberi sedikit ruang untuk mewarnai industri," kata Affa.

Lebih 1,000 unit dijual

Biarpun lama tidak memiliki album, Nico G terkejut peminat masih mengingati mereka. Lebih membuatkan mereka rasa terharu, album yang memuatkan single terbaharu itu sudah pun dijual lebih 1,000 unit.

Ditanya soal penggunaan nama baru sedangkan Nico sudah kukuh, mereka memberi alasan ia umpama penjenamaan semula kumpulan itu. Huruf G membawa maksud kumpulan.

Sehubungan itu, setiap kali tampil di khalayak, mereka akan tampil bersama segerombolan kru.

"Kami akan muncul bersama segerombolan kru untuk bikin gempak. Lagipun, selain menyanyi, Nico G juga mengendalikan syarikat pengurusan acara. Selain memenuhi undangan menyanyi, kami bawa kelengkapan sistem audio jika diperlukan.

"Sebab itu, kami akan muncul bersama kru yang ramai bagi menguruskan hal berkaitan selain persembahan.

"Kami amat bersyukur walaupun sudah lama meninggalkan bidang nyanyian, peminat masih ingat dan menyokong kami," katanya.

Affa berkata, ketika ini, mereka memilih untuk bergerak sendirian tanpa terikat dengan syarikat rakaman.

"Album pun kami jual sendiri. Alhamdulillah, album yang memuatkan single terbaharu dan beberapa lagu lama yang diberi nafas baharu sudah mula dijual dalam talian. Sasaran kami, album itu dijual lebih daripada 2,000," katanya.

Selain Belia Perwira, album itu turut memuatkan lagu Inilah Nasibku, Public Figure, Medley Untukmu Sayang, Rindu Kalaulah Gadis & Engkau dan Aku.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top