Sinopsis Jika Itu Takdirku (Akasia TV3)

Jika Itu Takdirku mengisahkan tentang Hakimi (Shah Iskandar) yang disahkan menghidap amnesia selepas kemalangan jalan raya pada enam tahun yang lepas. Hakimi sangat rapat dengan Dr. Hamza (Arash Mohd) yang merawatnya. Suatu hari, apabila Dr Hamza menjemput Hakimi makan malam di rumahnya, Hakimi tertarik dengan gambar anak Dr Hamza iaitu Umairah (Intan Ladyana) yang juga seorang doktor.

Walaupun Hakimi tidak mempunyai sebarang ingatan tentang Umairah, namun dia telah jatuh cinta dan bertindak untuk melamarnya sebagai isteri. Dr Hamza dan isterinya, Puan Zainah menerima baik lamaran Hakimi. Umairah bingung dengan tindakan Hakimi kerana hakikatnya mereka berdua mempunyai kisah silam yang telah meninggalkan sejarah hitam dalam hidup Umairah. Umairah tidak pasti jika Hakimi hanya mahu mempermainkannya atau mempunyai muslihat lain. Kisah silam itu juga telah menyebabkan Umairah menjadi seorang yang pendiam dan pintu hatinya sukar terbuka untuk mempercayai cinta lagi.

Jika Itu Takdirku (Akasia TV3)

Akhirnya, Umairah bersetuju kerana dia masih menyayangi Hakimi dan mereka telah ditakdirkan bersama selepas musibah yang terjadi pada 7 tahun lepas. Umairah sering terganggu dengan kenangan pahit dan menjauhkan diri daripada Hakimi. Hakimi tidak pernah berputus asa untuk memikat hati Umairah dan memberi ruang kepada Umairah untuk menyesuaikan diri dan mencintainya seperti pasangan suami isterinya.

Hakimi terserempak dengan Azri (Shukri Yahaya), seorang kawan lama yang cuba memberitahu hubungan Hakimi dan Umairah pada masa lalu. Hakimi bertanya kepada Umairah. Umairah enggan memberikan sebarang jawapan sehingga Hakimi mula menggeledah barang-barang lama Umairah. Umairah bengang dengan tindakan Hakimi dan dia telah bertindak keluar dari rumah apabila Hakimi memaksanya menceritakan hal yang sebenar.

Hakimi merayu supaya Umairah memaafkannya dan memberikan peluang untuk menebus kembali penderitaan yang dialami oleh Umairah. Hakimi juga meminta bantuan Umairah supaya mengingatkan kisah silam mereka dan memulakan hidup baharu dengannya. Umairah terlalu takut untuk berterus terang kerana bimbang Hakimi akan berubah fikiran selepas mengetahui hal yang sebenar. Selepas melihat kesungguhan Hakimi, akhirnya Umairah mengalah dan bersetuju untuk memulakan hidup baharu bersama-sama Hakimi.

Selepas 2 bulan, Hakimi gembira apabila Umairah telah mengandung. Bekas teman wanita Hakimi, Qistina (Nina Iskandar) kembali menagih cinta dan berusaha untuk memerangkap Hakimi. Kali ini, hati Umairah dilukai lagi dan dia menjadi pasrah dengan Hakimi yang kembali dengan perangai lama yang suka berpoya-poya. Masih ada peluang buat Hakimi dan Umairah?

Segalanya bakal terjawab dalam JIKA ITU TAKDIRKU yang akan disiarkan mulai 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 7.00 malam di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama tersebut, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

JIKA ITU TAKDIRKU lakonan Intan Ladyana, Shah Iskandar, Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Arash Mohd, Jasmin Hamid, Azwan Kombos bermula 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam.

Drama bersiri 24 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd ini diarahkan oleh Eoon Shuhaini dengan nukilan skrip oleh panel MIG. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top