Nad Zainal: Asalkan orang tersayang percaya

Karier lakonan Nad Zainal semakin mendaki puncak populariti dan stabil, namun kisah cintanya yang lebih menjadi perhatian. Satu demi satu kisah peribadinya diperbesarkan.

Apatah lagi, gadis manis berusia 24 tahun ini tidak pernah berselindung mengenai hubungan cintanya dengan kekasih hati yang juga seorang pelakon baru, Azwan Kombos, 29, yang sudah terjalin sejak tiga tahun lalu.

Tenang berbicara mengenai kisah cintanya, pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin itu memaklumkan dia lebih selesa bersikap mendiamkan diri daripada asyik tampil memberi penjelasan.

"Biarlah apa yang orang hendak cakap mengenai saya dan juga Azwan. Bagi saya, mereka berhak bercakap apa saya kerana mulut manusia bukan boleh ditutup seperti tempayan. Jadi, biarkan sajalah.

"Lagi pun, saya yakin apabila sudah penat nanti pasti mereka akan berhenti sendiri. Apa yang pasti, saya takkan sesekali membuang masa melayan atau ambil pusing mengenai setiap cerita diperkatakan itu.

"Pada saya, walau pun sekarang ini kisah peribadi terutama soal membabitkan percintaan saya dan Azwan lebih menjadi perhatian, namun daripada sisi lain nampaknya perjalanan kerjaya lakonan saya juga semakin baik.

"Hingga kini, rezeki saya untuk menerima tawaran berlakon belum putus dan saya amat bersyukur kepada Tuhan. Oleh itu, sekali lagi saya tegaskan biarlah apa orang hendak kata mengenai kami," katanya .

Mengakui hubungan cintanya dengan insan tersayang juga masih kukuh, Nad berkata dia tidak pernah gentar dan bimbang dengan pelbagai kisah kontroversi yang kini terpalit pada dirinya.

Ujar pelakon yang baru muncul dengan filem Kami Histeria arahan Shamyl Othman di pawagam itu, apa yang menjadi fokusnya kini adalah memantapkan lagi karier seninya.

Apatah lagi, tawaran berlakon drama dan filem diterimanya datang silih berganti. Jadi, Nad enggan membuang masa untuk terus memikirkan kisah percintaan yang semakin menjadi perhatian ramai.

Menurut pelakon teater Maduku Kalut itu lagi, buat masa ini dia juga masih belum terfikir mengenai hasrat mendirikan rumah tangga. Katanya, soal jodoh biarlah Tuhan saja yang menentukan.


"Saya sebenarnya tidak berani untuk menetapkan bilakah masa atau sasaran usia tertentu untuk mendirikan rumah tangga. Pada saya, biarlah takdir Tuhan yang mengaturkan semuanya.

"Sebagai manusia biasa, saya menerima apa yang sudah diatur itu dengan hati terbuka. Pada saya Tuhan lebih mengetahui dan apabila seru itu sudah tiba takkan mahu menolak pula," katanya.

Memulakan langkah dalam bidang lakonan pada usia 17 tahun, Nad berkata apa yang pasti dia sangat bersyukur kerana ibu bapa dan keluarganya sangat memahami. Katanya, cukuplah hanya mereka yang tahu apa sebenarnya berlaku.

Menurut Nad lagi, kepercayaan daripada ibu bapa dan keluarga sangat penting bagi dirinya. Justeru, ujar anak jati Selangor ini, asalkan orang terpenting dalam hidupnya percaya, itu amat bermakna daripada asyik memikirkan tanggapan orang lain.

~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top