Yana Samsudin tidak meninggalkan MIG tapi kontrak tamat

Yana Samsudin, 28, menjelaskan bahawa dia tidak meninggalkan MIG, sebaliknya kontrak Yana bersama pihak pengurusan MIG akan tamat pada 26 Februari ini.

Di awal pembabitan bersama payung pengurusan MIG, Yana menandatangai kontrak selama lima tahun dan selepas itu, Yana memperbaharui kontrak tersebut selama lima tahun lagi.

“Saya tidak meninggalkan MIG, cuma kontrak saya dengan pihak MIG akan tamat pada 26 Februari ini. Selepas ini, saya akan menguruskan kerjaya seni saya sendiri. Saya anggap ianya sebagai proses biasa. Apabila adanya permulaan, pasti ada pengakhiran.
Yana Samsudin

Andai kata selepas ini ada peluang untuk berkolaborasi atau pun tawaran berlakon dengan produksi MIG, saya tiada masalah. Kiranya, selepas ini saya berstatus ‘freelance’. Pengurusan sahaja yang berubah. Jika dahulu mana-mana tawaran kerja kena melalui pihak pengurusan MIG, selepas ini tidak lagi,” ujar Yana.

“Keputusan saya untuk tidak menyambung kontrak adalah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ataupun mana-mana kenyataan seperti dakwaan anak emas dan sebagainya. Saya mengakhiri kontrak secara baik, bukan sebab bergaduh atau sebab tiada persefahaman.

Hubungan baik itu masih kekal bersama keluarga MIG. Malah parti perpisahan yang mereka adakan pun saya tidak tahu. Mereka buat kejutan untuk saya. Sedih sebenarnya kerana saya sudah bersama-sama dengan mereka semenjak zaman persekolahan sehingga kini,” tutur Yana lagi.

Terima Kasih Mejar (K) David Teo

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini untuk bergerak sendiri, Yana menjelaskan yang semuanya masih seperti biasa dan tiada apa pun yang berubah. Dia masih akan meneruskan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon dalam industri hiburan tempatan.

Apa yang berubah hanyalah pengurusan sahaja. Mengakui yang dirinya pasti merasakan perbezaan selepas ini kerana sudah lama bernaung dengan pihak MIG, Yana berterima kasih kepada keluarga MIG yang selama ini menguruskan kerjaya seninya.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak MIG, terutamanya kepada Mejar (K) David Teo dan Madam Jane. Mereka berikan terlalu banyak dorongan semenjak saya menceburkan diri dalam industri sehinggalah berada di tahap sekarang.

Selain itu, terima kasih juga saya titipkan buat Mr. Kang, Abang Azahari, Kak Nora, Kak Syikin, Fiza Hamad dan semua staf MIG yang selama ini banyak membantu saya. Mereka semua bukan sekadar orang yang menguruskan kerjaya saya, tetapi lebih daripada itu. Mereka uruskan karier, malah mereka jaga saya dari sudut peribadi dan mereka melindungi saya. MIG telah menjadi sebahagian daripada hidup saya,” ujar Yana mengakhiri perbualan. ~ Gua

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top