Nik Michael tak kecil hati dgn Chef Wan

Sedikit pun beliau tidak berasa hati atas komen yang ditulis Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, yang mengkritik program masakan kendaliannya iaitu Dapur Panas dan mempertikaikan mudahnya gelaran chef selebriti diberi kepada tukang masak muda yang ada rupa, seperti dinyatakan chef terkenal itu di akaun Instagramnya.

Walaupun nampak jelas gambar Nik Michael Imran terpampang di laman sosial milik chef terbabit dan komen itu memang ditujukan kepada rancangan Dapur Panas, namun jejaka berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini melihatnya dari sudut positif.

"Kalau kita lihat berdasarkan komennya itu, ia lebih menjurus kepada soal produksi. Tegurannya membabitkan soal set dan kualiti program.

"Apa yang saya boleh katakan, program Dapur Panas bukan seperti rancangan masakan biasa. Konsepnya sangat berbeza apabila saya perlu memasak untuk sesuatu kerjaya.

"Kebetulan waktu itu, ia membabitkan kerjaya perancang perkahwinan. Sebab itulah ada pelamin di set terbabit," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Evolusi rancangan masakan

Menurut anak muda yang dikesan bakatnya menerusi program MasterChef Malaysia musim pertama ini, program memasak kini sudah melalui proses evolusi dan bukannya seperti program masakan terdahulu.

"Kita kena sedar, penonton sekarang bukan seperti dulu. Rancangan memasak bukan saja ditonton golongan suri rumah, sebaliknya diikuti pelbagai generasi termasuk golongan muda.

"Jadi program memasak kena melalui perubahan kandungan, seperti menyelitkan unsur travelog dan bukannya sekadar memperkenalkan bahan masakan sematamata," terangnya.

Mengenai komen Chef Wan betapa mudahnya gelaran chef selebriti diberikan kepada mereka yang mempunyai rupa paras menarik, pemuda berusia 24 tahun ini berkata, beliau sedikit pun tidak mengharapkan status seperti itu.

"Gelaran chef selebriti itu bukan saya yang inginkan, tetapi diberikan pihak lain kepada saya. Bagi saya, gelaran chef itu ialah seorang ketua yang bukan saja pandai memasak, tetapi mampu menguruskan dapur, selain mereka yang mampu berdiri di dapur berbelas jam untuk memasak," katanya.

Usia bukan ukuran kemampuan

Cuma apabila usia dikaitkan dengan kredibiliti, jejaka ini ternyata tidak begitu bersetuju dengan pandangan sedemikian.

"Walaupun usia saya masih muda, namun ia bukan alasan untuk menafikan kredibiliti saya dalam bidang kulinari. Saya boleh memasak dan mempunyai restoran, malah bapa saya juga seorang chef.

"Jika hendak dipertikaikan soal kemahiran, bolehkah kita berlakon purapura pandai memasak apabila kita melakukannya di kaca TV?" soalnya kembali.

Terkejut ada peminat sudi mengundi

Pada Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2013, jejaka kacak ini dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

Dalam kategori itu, beliau disaingi Datuk AC Mizal, Johan, Nabil Ahmad dan Zizan Razak.

Pada masa sama, beliau turut bergelar Top 5 bagi kategori dalam talian, Chef Selebriti Paling Popular, bersama Chef Wan, Chef Anis Nabila, Chef Amran dan Chef Sherson Lian.

Ditanya mengenai perubahan yang mungkin dirasakan olehnya sebaik saja dicalonkan dalam kategori berkenaan, Nik berkata, bilangan mereka yang mengenalinya semakin bertambah.


"Apabila mereka berkunjung ke restoran saya, mereka memberitahu ada mengundi untuk saya. Perkara itu memang mengejutkan.

Kempen di laman sosial

"Bagaimanapun, saya bukanlah melobi peminat supaya mengundi. Saya hanya berkempen di laman sosial. Jika ada peminat yang menulis di laman Twitter mengatakan mereka mengundi saya, mesej itu akan saya tweet kembali. Itu saja," dedahnya yang turut mengaku tidak mempunyai kelab peminat.

Ditanya mengenai harapannya pada malam kemuncak nanti, Nik memberitahu, beliau dicalonkan dalam kategori yang sering dipelopori pengacara dalam bidang hiburan. Justeru, hakikat dirinya bolos sama sebagai finalis dalam kategori pengacara TV sudah dianggap sebagai kejayaan.

"Calon dalam kategori pengacara semuanya hebat belaka. Sebagai hos dalam bidang masakan pula, apabila dapat bersama bersaing bersama mereka yang datangnya daripada program hiburan, ia sudah seperti satu kemenangan," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top