SAINGAN Mari Menari menyaksikan pasangan Noryati Mohd Hashim atau Yat, 24, dan suami, Mohamad Hasri Haron, atau Hasri, 34, hampir-hampir menarik diri daripada bersaing minggu lalu gara-gara mengalami kecederaan kaki ketika sesi latihan.

Keadaan cemas itu terlihat apabila Hasri terseliuh dan terjatuh ketika melakukan salah satu gerak tari untuk persembahan minggu keenam dengan tema Broadway itu. Melihat keadaan itu ramai tertanya-tanya sama ada Hasri mampu meneruskan saingan, lebih-lebih lagi apabila isterinya risau.

Selepas kejadian itu Hasri segera dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan termasuk menggunakan khidmat tukang urut.

Mujur kecederaan kaki kanan tidak serius, malah Hasri masih boleh beraksi walaupun mengalami kesakitan.

Dia terpaksa melupakan sementara kesakitan hanya untuk meneruskan persaingan menerusi program itu.

Begitupun, tanpa disangka pengorbanan itu adalah detik terakhir pasangan Yat apabila diumum tersingkir daripada persaingan menerusi Penentuan Mari Menari yang dihoskan Awal Ashaari di Studio 1, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Namun ia tidak sedikitpun mengundang kesalan buat Yat dan Hasri walaupun sedikit sedih kerana meninggalkan rakan serta kumpulan produksi terbabit dalam program itu yang disifatkan bagai satu keluarga besar.

"Kalau ikutkan setiap minggu tugasan yang diberikan cukup sukar. Daripada tidak tahu langsung menari sehingga ke tahap sekarang ini.

"Kami tetap puas hati kerana berjaya melangkah dalam kelompok lapan terbaik menerusi program ini.

"Pada kami cabaran mempersembahkan rentak Latin cukup sukar. Kami sebenarnya tidak rasa langsung untuk tersingkir pada minggu ini (keenam). Sebelum ini, kami tahu penyingkiran tetap ada daripada awal penyertaan lagi cuma mungkin nasib kami baik dapat meneruskan saingan sehingga tahap ini.

"Pada peringkat awalnya kami berada di kedudukan terbawah terutama ketika tema Latin. Begitupun, kami bangkit untuk terus bersaing. Kami tetap puas hati dan gembira dengan pencapaian ini," kata Yat.

Tambahnya, penasihat yang juga pelakon, Erra Fazira serta jurutari, Acid adalah antara individu penting yang memastikan persembahan mereka sentiasa menunjukkan peningkatan dari minggu pertama sehingga seterusnya.

Begitupun, mungkin disebabkan kurang pungutan dari segi peratusan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton menyebabkan mereka gagal meneruskan saingan. Penilaian persembahan peserta dinilai berdasarkan 50 peratus SMS penonton dan 50 peratus daripada juri profesional.

Menurut Hasri, kecederaan ketika latihan itu langsung tidak menjejaskan semangatnya.

"Saya terpaksa buang rasa sakit. Ketika detik kejadian memang saya rasa seperti hendak pengsan. Mujur saya hanya mengalami kecederaan ringan.

"Sebelum ini, saya pernah mengalami kecederaan di lutut ketika minggu kedua. Luka lama di lutut yang cedera akibat bermain bola sepak dulu kembali rasa sakit. Nasib baik ia cepat pulih dan saya berjaya meneruskan persaingan.

"Memang pada mulanya penasihat, koreografer, kru produksi termasuk isteri takut saya tidak dapat meneruskan persembahan.

"Malah, mereka juga tidak memaksa saya untuk terus menari. Selepas berbincang dan mendapat nasihat daripada doktor, saya mengambil keputusan nekad untuk terus bersaing.

"Saya berpegang kepada prinsip tidak mahu mengalah sebelum berjuang. Penasihat juga ada menyarankan kami menukar beberapa gerakan yang lebih ringkas dan mudah supaya tidak mengalami kecederaan lebih berat. Begitupun, saya tetap membantah dan mahu meneruskan gerak tari yang sama ketika latihan itu," kata Hasri, seorang anggota polis yang berasal dari Kota Singa.

Tambahnya, sepanjang menyertai program mencungkil bakat menari itu, mereka melalui pelbagai pengalaman manis. Paling menarik menempuhi suasana berbeza pada sambutan Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Bagi Hasri sendiri, dia tidak pernah melalui pengalaman beraya di Malaysia.

Bapa kepada seorang anak perempuan, Nur Nadhrah Elisha berusia satu tahun tujuh bulan itu gembira dapat berkenalan dengan ramai rakan yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia ketika menyertai pertandingan itu.

Ditanya mengenai ramalannya, pasangan mana bakal mendominasi pertandingan itu apabila kemuncak final berlangsung pada 18 Disember ini, Yat dan Hasri mempunyai jawapan yang sama dengan menjangkakan setiap pasangan mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

Penyingkiran pasangan Yat menerusi Penentuan Mari Menari, Ahad lalu menyaksikan mereka pasangan keenam tersingkir daripada pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan itu.

Mereka memilih lagu, Jelingan Manja yang dipopularkan Saloma dan Datuk Sheila Majid. Pasangan Yat memungut markah terendah, 42 peratus.

Pasangan suami isteri, Razif Abd Rahman & Alia Nadira mempersembahkan rentak tari memukau diiringi lagu Tujuh Nafas Lagi yang dipopularkan M Nasir mendahului pungutan markah sebanyak 55 peratus. Diikuti rapat pasangan, Hasnita Othman & Fazdlishah Sulaiman menerusi lagu Siapa Dia (Adibah Noor); pasangan suami isteri, Zulhafiz Che Chim & Nurul Husna Alias menerusi Rahasia Perempuan (Ahmad Dhani & The Swinger) serta pasangan Zulfahmi Marzuki & Norazlin Zakaria Sparkling Diamond (Nicole Kidman) yang berkongsi 48 peratus.

Sementara pasangan Nordzarina Mohd Ramli & Fazizul Zainudin dengan lagu Punch Card (Sean Ghazi) serta pasangan Fariz Raeza Mohd Nizam & Siti Rasyikah Zolkifli memilih lagu Spiderman (Micheal Buble) berkongsi 46 peratus manakala peserta yang mendapat jolokan pasangan paling ceria, Ed Rosdi Roslee & Siti Musliha Zakaria lagu Buena Sera (Dany Brilliant) memungut 45 peratus.

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top