LAGU-LAGU yang dipersembahkan dalam pertandingan nyanyian Idola Kecil musim ke-3 bukan sahaja menjadi perhatian para pesertanya, tetapi juga penonton yang mengikuti siarannya pada setiap minggu.



Stesen TV9 selaku penerbit Idola Kecil 3 tidak terkecuali menitikberatkan soal lagu-lagu popular yang akan dipersembahkan oleh para peserta berusia sembilan hingga 12 tahun yang bersaing menerusi pertandingan itu.

Penerbitnya, Nurul Ashikin Halim berkata, pemilihan lagu daripada calon-calon separuh akhir Muzik Muzik 25 yang dinyanyikan oleh para peserta Idola Kecil 3 bukan untuk mempromosikan Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25).

Sebaliknya, lagu-lagu yang dipersembahkan oleh para peserta pertandingan nyanyian kanak-kanak itu katanya, berdasarkan populariti dan tema yang telah ditetapkan pada persembahan minggu ke-2 baru-baru ini.

‘Lagu-lagu yang dipersembahkan oleh para peserta Idola Kecil 3 malam ini tiada kena mengena dengan Muzik Muzik 25 atau Anugerah Juara Lagu 25. Sebaliknya, pemilihan lagu-lagu itu ditetapkan oleh tiga tenaga pengajarnya.

‘Ia berdasarkan lagu-lagu yang popular dan tema yang telah ditetapkan pada setiap minggu,’ katanya kepada Hits sewaktu ditemui pada persembahan minggu ke-2 Idola Kecil 3 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada persembahan itu, kebanyakan peserta Idola Kecil 3 menyanyikan lagu-lagu yang dipertandingkan dalam peringkat separuh akhir Muzik Muzik 25 dengan gaya persembahan mereka yang tersendiri.

Peserta Idola Kecil 3 seperti Balqis misalnya mendendangkan lagu berjudul Jahat yang dipopularkan Stacy, Shazlin (Ku Ada Kamu – Adira), Farra (Susun Silang Kata – Aizat) dan Harris (Adrenalin – Faizal Tahir).

Menurut Nurul Ashikin, pemilihan lagu-lagu popular yang dipersembahkan oleh para peserta Idola Kecil 3 juga berdasarkan kecenderungan dan pendedahan yang mereka perolehi atas populariti lagu-lagu tersebut.

‘Kita tidak ada ramai penyanyi berusia bawah 12 tahun. Kita juga tidak ada banyak lagu-lagu kanak-kanak yang boleh dipersembahkan oleh para peserta Idola Kecil 3. Sebab itu kami gunakan lagu-lagu popular sedia ada.

‘Kalau ada pun lagu-lagu kanak-kanak yang boleh digunakan dalam pertandingan ini, ia perlu digubah semula. Cara itu mengambil masa yang agak lama. Lagi pun sekarang ini kanak-kanak lebih suka lagu-lagu popular orang dewasa.

‘Contohnya, semasa sesi uji bakat Idola Kecil 3 diadakan boleh dikatakan semua peserta yang hadir bukannya mahu menyanyikan lagu-lagu kanak-kanak tetapi lagu-lagu yang sedang popular ketika ini,’ ujarnya lagi.

Idola Kecil 3 yang dididik oleh tiga tenaga pengajarnya iaitu Alfa Booty (Pengarah Muzik), Delly (guru vokal) dan Affizal (guru tarian) itu bukan hanya mengutamakan lagu-lagu popular tetapi juga penampilan imej yang lebih remaja.

Katanya, biarpun kelihatan berimej glamor dan ke arah dewasa tetapi para peserta pertandingan nyanyian kanak-kanak itu tetap membataskan hanya fesyen-fesyen yang sesuai dengan tahap usia golongan terbabit.

‘Dalam soal pakaian, TV9 telah pun berbincang dengan ibu bapa para peserta Idola Kecil 3. Kami juga telah terangkan konsep dan imej pakaian yang akan dipakai oleh anak-anak mereka. Setakat ini tiada masalah dan mereka bersetuju,’ katanya.

Selain Balqis, Harris dan Shazlin, para peserta Idola Kecil 3 yang turut disertai Adeeba, Deera, Farra, Hadi, Angel, Puteri dan Afif juga menampilkan lagu-lagu popular serta imej-imej yang biasanya diperagakan golongan dewasa.

Sementara itu, penerbit rancangan yang ke udara setiap Sabtu pukul 9 malam di TV9 itu mengakui bahawa pihaknya tidak mengetahui salah seorang pesertanya iaitu Afif merupakan anak kepada guru vokal terkenal, Siti Hajar.

‘Kami tidak tahu Afif adalah anak Siti Hajar. Dia (Afif) hadir pada sesi uji bakat tetapi tidak ditemani ibunya tetapi saudara terdekatnya. Bagi saya, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu,’ jelasnya lagi.

Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top