Populariti program Imam Muda dan barisan finalisnya memang mengejutkan sebab sampai sekarang mereka sudah mula mengumpul peminat terutama Asyraf (gambar) dan Hizbur.

Kiranya matlamat Astro Oasis tampil dengan rancangan realiti yang berbeza memang tercapai. Apa tidaknya, hingga ke hari ini, program itu masih menjadi bualan ramai. Baguslah.

Cik Normah pun yakin di luar sana ramai yang mahu program seumpama itu diteruskan. Iyalah, kalau pertandingan realiti nyanyian dan tarian boleh dianjurkan setiap tahun, tidak salah kalau program yang menjurus kepada kerohanian dan keagamaan seperti Imam Muda digandakan lagi setiap musim.

Cik Normah sekarang dikhabarkan bahawa orang kuat di Astro Oasis kini sedang memerah otak untuk menganjurkan sebuah lagi program ala Imam Muda juga, tetapi kali ini membabitkan peserta wanita. Bukanlah mencari imam sebaliknya menjurus kepada ustazah. Lebih kurang macam itulah. Cik Normah pun belum pasti sepenuhnya.

Cuma disebabkan masih memikirkan konsep serta hala tuju bakal pemenang selepas program itu tamat nanti, kertas cadangannya dikatakan dalam peringkat perbincangan. Jadi Cik Normah sendiri tidak tahu ia sekadar rancangan atau mahu direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Bagi ustazah atau mereka yang berkenaan, bersedialah dari sekarang. Mana tahu kalau tahun depan Astro Oasis mengumumkan program realiti baru ini. Tapi kenalah juga berhati-hati. Maklumlah, apabila wanita ini ada sedikit pantang larang yang perlu diteliti dan perhalusi. Apatah lagi membabitkan program keagamaan. Banyak perkara yang sensitif. Lelaki lainlah sebab takrif auratnya berbeza. Cik Normah wanita, jadi serba sedikit tahulah pasal itu.

Walaupun bukan 100 peratus sama dengan Imam Muda, sekurang-kurangnya ada bahan yang boleh dijadikan panduan bakal peserta.

Author: Oleh Normah Becok

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top