Bakat-bakat muda Idola Kecil yang berumur antara 10 ke 12 tahun datang dari seluruh Malaysia dan mempunyai pelbagai latar belakang. Puteri Aszfaryna Khareeza Arif, comel dipanggil Puteri telah dua kali mencuba menyertai Idola Kecil dan bersyukur berjaya menempatkan diri sebagai 10 peserta akhir untuk kali ini.

Meminati lagu berentak perlahan, Puteri pernah berduet dengan penyanyi era 70-an Salamiah Hassan, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura dan Adibah Noor.

“Saya rasa amat terharu dan teruja dapat berduet dengan mereka. Bukan senang dapat berjumpa dengan penyanyi terkenal seperti mereka. Saya diberikan nasihat dan tips menyanyi dengan baik,” ujar Puteri.

Buat yang pernah menonton Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang yang dipentaskan di Istana Budaya, pasti teringat kelibat kepada Mohd. Afif Abdul Halim Hapit yang mesra dipanggil Afif.

Afif diberikan kepercayaan memegang watak Raja Ahmad, anakanda Sultan Melaka selama tiga musim berturut-turut.

“Saya paling gementar ketika mengadakan persembahan di Singapura. Penonton di sana terlalu ramai,” tambahnya yang pernah membintangi filem Sumolah dengan watak sebagai Kodok dan The Red Kebaya.

Berlainan pula dengan Nor Harris Norashidi atau ringkas Harris yang bercita-cita menjadi terkenal seperti legenda rock, Amy Search.

Walaupun hanya berusia 11 tahun, Harris pernah mendapat jemputan mengadakan persembahan selama satu jam setengah di Hard Rock Café, Pulau Pinang. Bertindak sebagai vokalis kumpulan First Step, Harris berupaya menyanyikan hampir 15 buah lagu di dalam persembahan tersebut.

Harris juga pernah berkongsi pentas bersama Ramli Sarip dan Ezad Exist di Karnival Suria FM.

Berbakat dalam bermain dram dan gitar, Harris tidak pernah mempelajari muzik secara profesional. Namun, dia pernah mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada pemuzik berpengalaman iaitu Rosli Muhalim, pemain gitar Sweet Charity ketika dia mengadakan persembahan di Hotel Vistana, Pulau Pinang.

Gadis kecil dari Sabah, Angelica Paujin atau Angel pula memukau pandangan semua dengan dendangan lagu Whitney Houston ketika sesi temu ramah dijalankan.

Pernah membuat persembahan di 1Borneo, Kota Kinabalu dan memenangi tempat ketiga di pertandingan Menyanyi Pesta Menuai 2010, Angel yang agak pendiam tersebut mempunyai vokal yang lantang dan menarik.

Antara peserta lain yang akan memberi saingan hebat kali ini ialah Nurhamilya Adiba Hamzah atau Adiba; Farra Noradzlina Abdul Halim, mesra dipanggil Farra; Abdul Hadi Abdul Mazlan (Hadi); Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis); Nadeera Allysha Aminudin (Deera) dan Shazlin Salamat (Shazlin).

Idola Kecil masih mengekalkan penyanyi muda iaitu Alif Satar sebagai pengacara dan sebagai tambahan Slot Klip Mini Idola Kecil dan Klip Ekstra Idola Kecil diadakan bagi musim kali ini. Kedua-dua rancangan itu akan memaparkan klip-klip menarik di sebalik tabir program Idola Kecil kali ini.

2 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top