Anang, Ashanty belum rancang kahwin
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ
![]() |
ASHANTY dan Anang intim sejak dua bulan lalu. |
HUBUNGAN intim pasangan duet Anang dan Ashanty bukan rahsia lagi. Ia sudah diketahui ramai sejak lima bulan lalu.
Pasangan penyanyi dari Indonesia itu semakin intim selepas Anang bercerai dengan penyanyi popular negara itu, Kris Dayanti tahun lalu.
Anang atau Anang Hermanshah tidak menafikan telah melamar Ashanty secara tidak rasmi baru-baru ini sebagai tanda hubungan tersebut.
Penyanyi yang juga merangkap komposer terkenal itu turut mengakui gadis berusia 27 tahun itu sudi menerima duda sepertinya.
“Saya bersyukur kerana Ashanty sudi menerima orang seperti saya yang pernah gagal dalam perkahwinan dan juga mempunyai anak.
“Sedangkan dia masih anak dara dan pernah mendengar pelbagai cerita ataupun gosip liar tentang kisah hidup saya sebelum ini.
“Saya juga bersyukur kerana dipertemukan dengan gadis seperti Ashanty kerana biarpun sebelum ini imejnya seperti tomboy.
“Tetapi saya begitu senang dengannya. Malah, anak-anak saya juga sudah mula menjadi sahabat dengannya sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Anang mengungkap hubungannya dengan Ashanty selepas pelancaran album duetnya dengan Ashanty di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Album duet Anang dan Ashanty berjudul Jodohku itu sudah berada di pasaran tempatan sejak Mac lalu, edaran Tropic Jaya Entertainment.
Pada majlis itu, Anang berkata, biarpun hubungannya dengan Ashanty intim tetapi mereka belum merancang untuk berkahwin.
“Kalau ada jodoh insya-Allah, kami akan kahwin. Kami memang merancang masa depan bersama tetapi belum tahu bilakah akan berkahwin.
“Kahwin memang topik penting dan kalau tidak, lebih baik saya mati sahaja. Buat masa ini tumpuan lebih kepada promosi album ini,” ujarnya.
Berhati-hati
Sementara itu, Ashanty pula berkata, dia tidak menafikan menjalin hubungan intim dengan duda popular terbabit.
Katanya, perkenalan selama lima bulan merupakan suatu tempoh yang membolehkannya mengenali hati budi pasangannya itu.
“Sebenarnya, saya mengenali Anang secara rapat sejak lima bulan lalu. Bagaimanapun hubungan kami cuma intim sejak dua bulan lepas.
“Saya begitu berhati-hati sebelum menerima cinta Anang kerana sebelum ini saya pernah kecewa bersama pasangan saya.
“Tetapi selepas mengenali Anang lebih dekat, saya dapati dia seorang yang tidak pandai berpura-pura. Dia seorang yang jujur.
“Malah, saya juga tidak percaya gosip-gosip buruk yang dileparkan kepadanya sebelum dan selepas dia bercerai tahun lalu,” jelasnya.
Pada majlis itu kemesraan pasangan itu terserlah sewaktu mereka berduet lagu Sumpah Mati dan Menentukan Hati.
Dua lagu itu dipetik daripada album Jodohku yang menampilkan banyak lagu popular antaranya bertajuk Makin Aku Cinta dan Rindu Ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan