Akta baru yang memansuhkan burung walit sebagai haiwan yang dilindungi dilihat memberi peluang kepada pengusaha sarang burung itu untuk turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Keputusan kerajaan memansuhkan burung walit daripada tertakluk di bawah Akta Hidupan Liar dan Taman Negara sejak 28 Disember tahun lepas memberi peluang cerah kepada pengusaha memperluaskan perniagaan mereka,” kata Penolong Pengarah Kanan Aneka Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Fadzilah A’ini Abd Kadir.

Beliau berkata, kajian yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendapati aktiviti ternakan sarang burung walit mampu menyumbang US$1.45 bilion kepada negara menjelang 2020.

Dr Fadzilah A’ini berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 50,000 rumah burung berdaftar di seluruh negara dan ini tidak termasuk banyak lagi yang belum mendaftar secara sah dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Mengenai perusahaan sarang burung walit di Kelantan, katanya antara tiga hingga lima tan metrik sarang burung dieksport ke luar negara terutama ke China dengan kadar purata harga antara RM3,000 hingga RM5,000 sekilogram. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top