Harapan Wani



WANI



WALAUPUN baru mencecah usia 11 tahun, vokal Syazwani Sapari atau lebih dikenali sebagai Wani sangat mengagumkan dan tidak dinafikan Wani mampu mencapai not tinggi yang kebiasaan dinyanyikan oleh golongan yang lebih berusia darpadanya.

Buktinya, Wani beberapa kali memenangi tempat tiga teratas apabila beradu suara dengan peserta dewasa ketika sering memasuki pertandingan karaoke dan nyanyian kategori terbuka.

Minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian mendorong Wani memasuki rancangan realiti televisyen terbitan Astro Ceria, Kamilah Bintang dan telah pun bergelar juara musim pertama.

"Saya yang mahu masuk ke program itu kerana saya memang meminati bidang nyanyian. Ibu juga selalu menyokong dan berkata tidak salah jika saya mahu mencuba. Keluarga banyak beri sokongan kepada saya," bicara Wani yang mula menyanyi sejak berumur tujuh tahun.

Gelaran juara yang dimenangi memberikan Wani peluang muncul dengan album sulung yang diberi judul Wani terbitan Measat Broadcast Network System (MBNS).

"Kelahiran album Wani ini bukan sekadar mewarnai persada seni hiburan tempatan sebaliknya ia membuktikan artis kelahiran Kamilah Bintang mampu menjadi pelopor generasi pelapis industri muzik tanahair," jelas pengurus saluran Ceria, Evon Koh.

Album mini yang memuatkan lima buah lagu iaitu Cintamu Bermakna, Sabar, Mengejar Bintang, Tra La La dan Teman Setia ini mendapat hasil sentuhan tiga komposer yang tidak kurang hebatnya iaitu Kunci Demak, Sham Kamikaze dan Shazee Ishak.

Menurut Evon lagi, konsep album mini Wani ini diberi sentuhan genre balada dan pop mengikut kesesuaian umur dan perwatakannya yang ceria.

Bukan itu sahaja, Wani juga cuba mengasah bakat di dalam bidang lakonan apabila terbabit dalam filem pertama lakonannya, Jidin Sengal. Wani yang memegang watak Piah sewaktu kecil tampil dalam lima babak sahaja dan dijangka menemui penonton pada Ogos ini. – NOOR ASHREEN ISMAIL



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top