Astro Oasis akan menganjurkan program qiamullail Perdana Imam Muda di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, pada 24 Jun 2011.

Program akan bermula seawal sebelum solat Jumaat dengan penyampaian tazkirah oleh salah seorang peserta program Imam Muda Musim Kedua.


Kemuncak program adalah sekitar jam tiga pagi untuk jemaah melaksanakan solat tahajud. Program akan diakhiri dengan kuliah subuh yang oleh Mudir, Datuk Hasan Mahmud al-Hafiz.

Bukan itu sahaja, program Qiamullail Perdana Imam Muda ini juga akan diserikan dengan rakaman program Liga Ilmu dan ceramah perdana selepas solat Maghrib.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pihaknya sentiasa berusaha mendampingi masyarakat menerusi setiap program yang dirancangkan.

Katanya, berdasarkan sambutan program qiamullail sebelum ini, pihaknya dapat melihat kesungguhan masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti keagamaan dan kerohanian seumpama ini.

"Kami mengalu-alukan kehadiran muslimin dan muslimat pada program kali ini.

"Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf turut menjadi objektif penganjuran program ini. Usaha positif ini diharap mampu memupuk semangat untuk lebih mencintai masjid di kalangan masyarakat terutama golongan muda," katanya.

Di samping objektif utama majlis Qiamullail Perdana Imam Muda itu yang diadakan untuk mengimarahkan masjid, program ini juga mengambil kesempatan menyambut Israk Mikraj bersempena tanggal 27 Rejab 1432H bersamaan 29 Jun 2011.

Selain itu, pihak Astro Oasis juga ingin mengambil peluang mengumpulkan umat Islam menjayakan majlis tahlil untuk mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Takwa, Hulu Langat yang berlaku baru-baru ini.

Izelan turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Masjid Wilayah, Jalan Duta yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini.

"Kami berharap usaha ini mampu memberi kesedaran kepada anggota masyarakat tentang iktikaf di masjid dan qiamullail yang boleh diteruskan secara individu dan istiqamah selepas ini," tambahnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top