PUTERI kesayangannya, Khyra Khalyssa sudahpun berusia 13 bulan. Seperti ibu lain, pelakon dan pengacara jelita Dynas Mokhtar juga ingin melihat Khyra membesar dengan sempurna di depan matanya.
Dynas dan suami, Mohd Hafizy Hafiz ingin memberikan yang terbaik buat Khyra. Justeru, Dynas ingin menyusukan Khyra dengan susu ibu sepenuhnya sehingga dia berusia dua tahun.
Kata Dynas, dia tidak ada masalah menidurkan Khyra pada waktu malam kerana belum sempat nak meragam, dia memberinya susu badan dan terus menyusukannya sehingga tidur dengan lena.
"Khyra memang kerap menyusu badan dan dia hanya minum susu ibu dalam botol sebanyak dua hingga tiga kali sehari. Apabila saya keluar bekerja, saya akan memerah susu dengan pam dan meletakkannya dalam beg susu.
"Ini memudahkan pembantu rumah dan ibu mentua yang menjaga Khyra menyusukannya di rumah dengan susu ibu yang juga makanan terbaik untuk tumbesarannya," katanya.
Berkongsi perkembangan Khyra ketika ini, kata ibu muda yang juga pemilik nama sebenar, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 28, Khyra juga sudah mula belajar bercakap di rumah.
"Saya dan suami memang sering bercakap dengan Khyra. Antara perkataan yang kerap disebutnya ialah nak dan nanak (tak nak) setiap kali dia mahu sesuatu dan bercakap seperti orang dewasa.
"Saya juga sudah mula memberikannya makanan pejal ketika dia berusia lapan bulan dan kini Khyra juga suka makan nasi dan apa yang saya dan suami makan di rumah.
"Selain itu, giginya juga sudah tumbuh lima batang dan Khyra sudah belajar menggosok giginya sendiri pada waktu pagi dan malam," katanya.
Pada masa sama, kata Dynas, dia merancang untuk menghantar Khyra ke tadika pada usianya empat tahun. Dia dan suami juga bercadang menghantarnya ke kelas seni untuk belajar menari dan sebagainya terlebih dulu pada usianya dua tahun.
Dynas juga ingin memastikan Khyra belajar bergaul dengan kanak-kanak sebayanya dulu dengan menghantarnya ke kelas seni.
Mengenai masa depan anaknya, Dynas lebih suka menyerahkan pada Khyra sendiri untuk memutuskannya apabila dia dewasa kelak.
"Ketika kecil dulu, saya pun tidak tahu akan bergelar artis seperti sekarang. Terpulanglah pada minat Khyra apabila dia besar nanti. Khyra pula agak pemalu dengan orang yang dia tidak kenal tapi dia tidak takut kamera dan fotogenik dalam gambar.
"Berbanding dengan daddynya (suami Dynas) pula dia ingin melihat Khyra menjadi doktor, satu hari nanti," katanya.
Dynas Nursing Attire penuhi impian Dynas
DYNAS Nursing Atire (DNA) yang beroperasi di The Curve, Damansara lebih seminggu lalu membuktikan impian Dynas untuk membuka butik penyusuan ibu di sini, akhirnya tercapai.
Akui Dynas, dia mengambil tempoh setahun untuk membuat persiapan merealisasikan butik berkenaan. Pada mulanya, Dynas tidak terfikir membuka butik penyusuan susu ibu dan idea tercetus ketika menyusukan Khyra dengan susu badan sepenuhnya.
"Pada masa sama, ramai ibu muda yang malu untuk memakai baju menyusu di khalayak ramai tapi dengan baju penyusuan yang direka khas ini, mereka tidak akan berasa malu lagi untuk menyusukan anak mereka di tempat awam selepas ini," katanya.
Dynas juga menafikan dia bergantung pada keluarganya untuk membuka butik berkenaan. Katanya, terus terang, saya buka butik penyusuan susu ibu ini dengan bermodalkan duit simpanan sendiri sebanyak RM150,000 yang dikumpul sejak terbabit dalam bidang seni.
"Sebelum ini, saya buka butik dengan rakan kongsi semata-mata untuk mencari pengalaman. Status saya sebagai ibu juga tepat untuk saya membuka butik menyusu seperti DNA dan hanya fokus pada satu butik saja dulu.
"Ibu juga banyak membantu saya dengan beri tip cara-cara untuk buka bisnes kerana dia ada pengalaman luas dalam bidang perniagaan sampai sekarang," katanya.
Dynas ditemui di majlis pelancaran butiknya di sini, baru-baru ini. Majlis pelancaran butik penyusuan ibu ini disemarakkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air yang juga kawan baiknya seperti Elaine Daly, Atilia, Aishah Sinclair, Sharifah Sofea, Julia Zigler, Daphne Iking; Sheahnee Iman Lee, Nurul Alis, Vanidah Imran, Rashidi Ishak dan model seperti Suhara dan ramai lagi.
Pengacara yang cukup prihatin dengan penyusuan susu ibu berkata, dia juga mendapat kerjasama untuk membuka butik itu dengan pihak Nurturing Concept.
"Sayalah yang mencipta baju yang sesuai mengikut kreativiti sendiri. Semuanya hasil dari saya melihat baju yang digayakan orang ramai di luar sana. Baju menyusu yang dijual ialah gaun, baju kurung, jubah dan sebagainya sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi mereka," katanya.
Ditanya sama ada harga baju menyusu dijual hanya untuk golongan tertentu, kata Dynas, ia cukup berpatutan iaitu dari harga RM50 dan ke atas yang mampu untuk dibeli semua golongan masyarakat.
"Butik DNA menjual baju khas untuk kaum ibu menyusu badan, peralatan berkaitan menyusu badan seperti pam kecil dan beg ais," katanya.
Mengenai kerjaya, Dynas yang juga pengacara musim ketiga program Si Kecil ku Chakk! di TV3, turut terbabit dengan penggambaran drama terbaru, You Saka Pergi Jauh-Jauh.
PROFIL
NAMA PENUH: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
STATUS: Berkahwin
NAMA SUAMI: Mohd Hafizy Hafiz
NAMA ANAK: Khyra Khalyssa, 1 tahun
DRAMA BERSIRI/TELEFILEM: Di Bawah Ketiak Isteri, Dan Sebenarnya (Dalam Mimpi Ada Realiti), pengorbanan Terakhir, drama Cinta Antara Kita dan Awan Dania
FILEM: Apa Kata Hati, Dunia Baru The Movie, Impak Maksima, Kayangan, Haru Biru, Main-Main Cinta, I Know What U Did Last Raya dan Cinta Kolesterol.
PROGRAM: Beat TV (2002-2004)
PRODUK: Duta produk pelangsingan badan, Kunzense
PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21; Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008.
0 ulasan:
Catat Ulasan