Dimensi baru perjuangan muzik
|
DARI kiri: Mohd. Azhar Osman, Shila Amzah, Syafinaz,Jaclyn Victor dan Maria Cordero bersama Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin (tengah) pada malam gala ulang tahun keempat, Mandalay yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
TIDAK lagi mempertaruhkan album Melayu sepenuhnya, sebaliknya buah tangan terbarunya itu memperlihatkan keberanian Syafinaz merakamkan lagu-lagu pop klasik berbahasa Jerman, Itali dan Perancis.
Manakala selebihnya adalah lagu Inggeris dan Melayu di mana salah satunya adalah Kasihku Selamanya ciptaan Hafiz Askiak.
Jika ada yang masih ingat, kali pertama lagu tersebut diperdengarkan sewaktu Konsert Suara Emas sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2008 di Istana Budaya.
Ramai yang memuji keindahan lagu dan lantunan vokal Syafinaz yang penuh pesona menerusi lagu tersebut termasuk pihak media yang hadir pada konsert tersebut.
Melihat kepada respons tersebut, Syafinaz kini sedang berkira-kira untuk menjadikan lagu Kasihku Selamanya sebagai single pertamanya sementara menanti albumnya siap sepenuhnya.
“Saya perlu memikirkan strategi terbaik untuk memasarkan album ini kerana saya tidak mahu hanya mengeluarkan single semata-mata tetapi album penuhnya tidak boleh didapati.
“Walaupun orang
mengatakan pasaran muzik tempatan sudah suram, namun, saya perlu menghasilkan album kerana ia adalah untuk kerjaya saya sendiri terutama melibatkan persembahan pentas dan makan malam,” kata pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, ini lagi.
Begitu juga dengan pendirian Syafinaz yang begitu berani menerbitkan dan melahirkan album yang mempunyai pasaran cukup kecil di negara ini sementelah tidak ramai yang meminati muzik klasikal.
Dia sedar bukan semua golongan dapat menerima muzik sedemikian tetapi jelas Syafinaz, apa yang dilakukannya ada kaitan dengan tuntutan kerjanya sebagai seorang penghibur.
“Saya bersyukur dengan suara yang saya miliki beserta pengalaman memberi kelebihan buat saya menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa.
“Ada ketikanya saya membuat persembahan makan malam, klien mahukan kita menyampaikan satu jenis lagu tidak kira genre muzik mahupun bahasa.
“Jadi, kerana itu saya mengambil keputusan untuk muncul dengan album yang berkonsepkan sebegini. Siapa tahu dengan perubahan yang saya lakukan ini mampu menarik perhatian peminat baru yang merupakan pencinta muzik sejati,” cerita anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini penuh optimis.
0 ulasan:
Catat Ulasan