Empat bersaing ke final AF9

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar HAFIZH KHOSMAT

PASTI ramai menduga Hazama yang bakal menerima imuniti berdasarkan persembahan konsistennya setiap minggu di konsert mingguan Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9).

Tambahan pula kedudukan undian Hazama sebelum persembahan adalah yang teratas iaitu 22 peratus berbanding Fina yang menduduki tangga keempat.

Namun keistimewaan imuniti yang diumumkan pada konsert minggu kelapan menjadi milik Fina, pelajar yang sama-sama diserap ke AF9 dengan Hazama pada minggu keempat.

Imuniti diberi berdasarkan 50 markah daripada pihak fakulti dan 50 lagi berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) peminat.

Sebagai pemegang imuniti, Fina secara automatik layak ke peringkat akhir AF9, 12 Jun ini tanpa perlu mengadakan persembahan pada minggu ke sembilan seperti rakan-rakan lain.

Konsert mingguan kesembilan bakal menentukan nasib Hazama, Erul, Azri dan Lena kerana dijangkakan ada penyingkiran pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, segalanya terpulang kepada pihak Astro yang dikatakan, kemungkinan besar ada kejutan.

Menyentuh mengenai imuniti yang diberi kepada Fina, Pengetua AF9, Amy Search berkata, orang ramai tidak boleh mempertikaikan keistimewaan yang diberi kepada Fina atau Nurshafinaz Jebat kerana gadis berusia 18 tahun itu memang layak menerimanya.

Menurut Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abd. Rahman, Fina adalah antara pelajar yang berbakat dan setiap minggu, menunjukkan peningkatan.

“Dia layak menerima imuniti kerana dari awal lagi kita nampak kesungguhannya menimba ilmu. Fina berbakat dan dia perlu mengekalkan kelebihannya itu jika ingin berada di tempat terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Amy turut mengulas mengenai persembahan Hazama Ahmad Azmi, 27, yang mendapat kritikan daripada juri tetap, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Hattan dan Sham Kamikaze, juri jemputan.

Katanya, Hazama yang sering mendapat kedudukan teratas begitu berani membuat perubahan berdasarkan kreativitinya bagi menjadikan lagu berjudul Sendiri, yang dipopularkan oleh kumpulan May, sebagai lagunya sendiri.

“Dia cuba buat kelainan pada lagu itu mengikut acuannya sendiri. Kita perlu hormat pilihannya kerana setiap orang ada kehendak masing-masing.

“Biar pelajar mencuba kerana mereka masih belajar. Jadi, sudah pasti ada salah dan silapnya,” kata Amy.

Ketiga-tiga juri menyifatkan persembahan Hazama itu tidak mencapai tahap yang dijangkakan.

“Hari ini kau tidak ada feel dan mengecewakan aku. Nada rendah kau hambar. Pada hal kau boleh buat yang lebih baik,” komen Hattan.

Sham juga mendakwa Hazama terlalu berhati-hati ketika mendendangkan lagu tersebut, sedangkan dia perlu melepaskan segala bakat yang ada kerana Hazama banyak pengalaman.

Sementara itu, Lena atau Lenaber Haidir, 22, pelajar dari Sabah yang mendendangkan lagu Kisah Hati, nyanyian Alyah boleh menarik nafas lega kerana minggu lalu tidak ada penyingkiran.

Sekiranya, ada penyingkiran sudah pasti Lena yang menduduki tangga tercorot dengan undian 18 peratus berbanding Hazama (25 peratus), Fina (21 peratus), Azri (19 peratus) dan Erul (18 peratus) akan meninggalkan akademi.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top