SEBELUM ini, setiap kali diajak berbual mengenai dunia artis dan masalah seni, nada suara Shamril Salleh atau Sham Kamikaze akan berubah menjadi lantang.
Seronok kerana dengan pengalaman luas, banyak perkara yang boleh dibualkan dengannya.
Apatah lagi statusnya sebagai pemain gitar hebat yang sering diundang mengiringi persembahan artis serta pernah terbabit dengan Akademi Fantasia serta bergelar Pengarah A&R Gothic Records Sdn Bhd menjadikannya tumpuan media dan peminat.
Bagaimanapun, zaman itu sudah berlalu kerana selepas perubahan drastik yang dilaluinya kira-kira dua bulan lalu selepas menerima hidayah benar-benar mengubah selebriti berusia 35 tahun ini. Tiada lagi nada lantang sebaliknya Sham kini lebih tenang dan berhati-hati apabila diajak berbual.
Percakapannya bukan lagi berkisar mengenai muzik dan dunia artis, tetapi lebih kepada keindahan Islam dan ilmu akhirat. Pakaiannya yang dulu pelbagai jenis termasuk kemeja-T bercorak melampau dan imej bersubang, sudah diganti dengan jubah yang bersih dan bauan harum serta ketayap di kepala.
Agak sukar mendapatkan Sham untuk ditemubual kerana kesibukannya dengan jadual seharian serta tugas barunya berkongsi pengalaman dengan masyarakat dalam majlis keagamaan.
Ajakan Sham bertemunya dalam satu majlis anjuran Surau Al-Mustaqim, Lembah Keramat Jumaat lalu tidak disia-siakan untuk mendekatinya bagi membongkar pelbagai perkara di sebalik penghijrahannya.
Dalam program selepas solat Maghrib itu, Sham dan seorang lagi personaliti, Wardina Saffiyah berkongsi pengalaman mereka sebagai selebriti kepada jemaah yang hadir. Ramai yang hadir dari pelbagai golongan termasuk remaja yang ingin mendengar sendiri apa yang diceritakan.
Berbual panjang dengan Sham yang ditemui hampir tengah malam selepas melayan peminat yang mengajaknya berbual, wartawan Harian Metro, RIDZUAN ABDUL RAHMAN (mohamadridzuan@hmetro.com) berkongsi cerita menarik mengenai dunia baru Sham.
RAP: Apa sebenarnya tujuan Sham ke sini bertemu masyarakat?
SHAM: Orang ramai terperanjat dengan perubahan saya. Mereka nak tahu perkara sebenar daripada tuan punya badan. Dalam kerja dakwah, apabila dijemput kita wajib datang. Pertamanya, saya nak menerangkan bagaimana kehidupan sekarang. Nak kata saya bagi ceramah, memang tak tepat.
Tujuan saya hanya nak berkongsi pengalaman kerana apabila artis berhijrah, tentu ada cerita sebaliknya orang nak tahu. Masjid yang lengang akan jadi meriah terutama dengan kehadiran remaja apabila program sebegini diadakan. Sekurang-kurangnya ada peningkatan jemaah kerana tujuannya untuk mendekatkan mereka dengan masjid. Sama ada mereka dapat manfaat atau tidak, terpulang pada Allah menentukannya.
RAP: Apakah Sham mengharapkan imbuhan daripada program sebegini?
SHAM: Saya buat semua ini kerana Allah dan tak fikir imbuhan. Saya tak fikir pihak yang menjemput nak kena beri duit minyak atau tol pada saya. Harga itu biarlah Allah yang tentukan pahalanya. Saya bersedia untuk pergi apabila diundang berkongsi cerita kerana Allah. Tujuan saya memang nak mencari keredaan Allah. Janji mesej saya sampai kepada masyarakat.
Saya bersedia dijemput ke mana-mana termasuk ke Sabah dan Sarawak asalkan disediakan kemudahan asas seperti pengangkutan, makan minum dan tempat tinggal. Jika undangan itu sesuai dengan jadual saya, Insya-Allah saya akan memenuhinya.
RAP: Bagaimana dengan karier seni?
SHAM: Ia masih berjalan macam biasa kerana saya ada komitmen dengan banyak pihak. Macam jadi pengkritik AF9 malam esok (Sabtu 28 Mei lalu) saya hadir kerana sudah bersetuju sebelum berlakunya perubahan dalam diri. Saya tak batalkan undangan kerana memuliakan pihak yang mengundang. Ini juga yang diajar guru saya.
Cuma untuk persembahan di tempat umum, saya akan perlahan-lahan kurangkan dan insya-Allah selepas ini saya akan buat kerja di belakang tabir. Kalau adapun terbabit dalam persembahan umum, saya pilih yang berbentuk agama dan penonton diasingkan lelaki dan wanita. Sebenarnya, pendapatan saya bukan di sini saja, banyak sumber di belakang tabir. Macam artis lain yang berhijrah juga, saya akan buat satu benda yang berfaedah. Mungkin saya boleh bekerjasama dengan mereka selepas ini.
RAP: Apakah sebelum ini Sham terlalu jahil dalam agama?
SHAM: Saya tak jahil tapi tak pandai sangat. Memang saya sembahyang dari zaman sekolah rendah lagi. Tapi ketika itu saya buat kerana takut ibu bapa marah. Tapi apabila berubah begini, emak hubungi saya dan menyatakan perasaan gembiranya. Begitu juga isteri saya (Farazila Abdul Jabar) pun suka. Dia sokong dan katanya ini satu rahmat yang ditunggu-tunggu.
RAP: Apa komen Sham mengenai dunia artis kita?
SHAM: Saya tak boleh kondem orang lain dan sesama sendiri kerana mungkin mereka belum dapat hidayah. Ia tak boleh dicari di masjid ataupun pada ustaz. Apabila jumpa rakan termasuk rakan artis, saya akan berbual cerita biasa. Tapi apabila ditanya mengenai perubahan saya, barulah saya akan bercerita. Saya tak nak orang rimas kalau kita terlalu memaksa. Sebenarnya, dunia seni tak semuanya negatif kerana ada juga unsur positif yang boleh diselitkan. Perkara ini perlu dilakukan dengan betul. Saya doakan semoga Allah akan bagi hidayah pada semua.
RAP: Apa komen orang kaitkan Sham dengan politik seperti artis lain yang berhijrah?
SHAM: Saya ibarat bayi yang baru lahir. Orang-orang politik lebih pandai dan banyak ilmu. Jadi, saya serahkan hal-hal ini pada yang mahir. Saya tak ada hak dan kelayakan untuk bercakap mengenai agama dalam sudut politik. Tapi, kalau nak minta saya berkongsi pengalaman memang tak ada masalah.
Saya hanya berkongsi apa yang saya tahu dan mudah-mudahan akan beri manfaat kepada masyarakat. Saya tak berpihak kepada mana-mana parti politik dan boleh memenuhi undangan selagi tak lari dari perkara agama. Ini memang tak ada masalah. Keluarga saya juga mulanya bimbang perkara ini tapi faham apabila dijelaskan.
Saya tak nak kondem sesiapa termasuk abang Bob Lokman. Pada saya, apa yang dia buat itu berniat kerana Allah. Mungkin dia ada kelayakan untuk bercakap pasal itu. Saya lebih senang menghormati sesama sendiri dan ambil konsep Nabi Muhammad s.a.w, iaitu kita tak boleh menghukum dan menghakimi orang lain.
RAP: Apa komen Sham kalau orang kata perubahan ini hanya sementara?
SHAM: Ini bukan trend. Bagaimana boleh dikatakan trend kerana ini hidayah Allah. Sebelum ini walaupun tak tidur semalaman, saya tak pernah pergi masjid untuk solat Subuh. Sekarang, walaupun tidur jam 3 pagi dan hanya 2 jam, saya boleh bangun untuk pergi solat Subuh di masjid. Ia berlaku sendiri dan atas kehendak Allah. Apabila masuk waktu solat, saya akan pastikan pergi masjid, kecualilah ada hal yang tak dapat dielakkan.
Sekarang saya tak sabar-sabar tunggu masuk waktu solat. Saya tak sabar nak pilih jubah yang sesuai dan minyak wangi mana untuk kerjakan solat. Ini semua adalah anugerah Allah.
RAP: Apa perasaan Sham apabila bercerita hal agama di depan khalayak terutama mereka yang lebih berusia?
SHAM: Saya tak segan kerana mengikut pandangan orang yang lebih ahli (mahir), saya insan terpilih yang diberi hidayah. Lagipun seperti saya kata tadi, saya bukan cerita hal agama, tapi cuma berkongsi pengalaman. Sebagai orang yang Allah pilih, saya takkan malu nak bercerita. Apabila hidayah sampai, saya takkan berhenti berkongsi yang baik.
RAP: Boleh ceritakan bagaimana Sham habiskan masa sekarang?
SHAM: Saya selalu baca kitab agama. Dengan Facebook yang saya ada, saya melayan peminat ke arah kebaikan. Sekarang apabila tiba waktu solat, saya akan hantar kiriman status yang mengajak mereka buat kebaikan.
0 ulasan:
Catat Ulasan