Pakej tiga Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) yang bermula dari Persimpangan Cahaya Baru di Pasir Gudang hingga persimpangan Penawar di Desaru akan dibuka kepada pengguna mulai hari ini.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh, berkata sempena pembukaan seksyen terakhir yang melengkapkan SDE sepanjang 77 kilometer (km) itu, pengguna laluan pakej tiga tidak dikenakan bayaran tol selama sebulan.

“Kutipan tol di laluan itu akan berkuat kuasa pada 10 Julai depan. Lebuh raya sepanjang 27 kilometer itu akan menjimatkan masa perjalanan dengan hanya mengambil 45 minit berbanding laluan sedia ada.

“Laluan sedia ada yang menggunakan Jalan Persekutuan 3 dan J92 mengambil masa hampir dua jam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Secara keseluruhan, SDE menghubungkan bahagian timur barat negeri ini dengan panjang keseluruhan jajarannya sejauh 77 km membabitkan pembinaan enam persimpangan bertingkat yang dibangunkan menerusi tiga pakej.

Pakej satu sejauh 23.1 km dari persimpangan bertingkat Malaysia-Singapore Second Crossing (MSSC) ke persimpangan Ulu Tiram dengan kemudahan dua lorong sehala, manakala pakej dua sejauh 26.9 km dari Ulu Tiram ke Cahaya Baru dan Pasir Gudang.

SDE yang mula dibina sejak Julai 2005 beroperasi dengan sistem tol tertutup membabitkan empat plaza tol dan dilengkapi sistem lampu jalan, telefon kecemasan serta papan litar maklumat (VMS) di sepanjang jajaran.

Selain itu, kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi lebuh raya itu juag dibina di kedua-dua arah laluan, iaitu berhampiran Layang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top