Magnet dua purba

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar ASWAD YAYHA

hi 02.1

SETELAH 27 tahun, Sweet Charity dan Blues Gang akan bersatu kembali bagi menggegarkan Stadium Merdeka pada 9 Julai ini.



AURA Sweet Charity dan Blues Gang tidak pernah malap biarpun dua kumpulan legenda itu telah lebih 40 tahun meniti onak dan duri sebagai anak seni.

Buktinya, Teratai, Batu, Apo Nak Di Kata dan Mak Siti masih lagi meniti bibir peminat-peminat dua kumpulan otai itu.

Bait-bait lirik lagu yang pernah mereka rakamkan juga masih terus menjadi siulan bukan sahaja peminat seusia mereka tetapi generasi muda hari ini.

Bukan mudah bagi seseorang artis itu untuk merentas zaman dan memenangi hati peminat namun itulah yang berjaya ditempuhi oleh Sweet Charity dan Blues Gang apabila generasi baru hari ini turut sinonim dengan lagu-lagu mereka.

Berikutan itu, untuk menghargai para peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong mereka, Sweet Charity dan Blues Gang sekali lagi berkongsi pentas untuk menghiburkan para peminat mereka menerusi Konsert 2 Raksasa, 9 Julai ini.

“Kita ingin ulangi semula fenomena yang pernah tercetus dahulu apabila Sweet Charity dan Blues Gang berkongsi pentas menjayakan Konsert Raksasa pada tahun 1984.

“Biarpun telah 27 tahun berlalu, kami tetap yakin 2 Raksasa pasti tetap menyengat dan berbisa sama seperti dahulu,” jelas Ramli Sarip ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert 2 Raksasa yang diadakan di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Bagi penyanyi yang diberi jolokan Papa Rock itu, Konsert 2 Raksasa dilihat sebagai satu saluran terbaik untuk mengembalikan nostalgia lalu.

“Kami akan membawa peminat untuk menggamit kenangan lalu melalui lagu-lagu kami dan 2 Raksasa juga akan menceritakan perjalanan seni kami menerusi sebuah konsert.

“Kami juga akan merakamkan rakamkan detik indah itu agar ia akan terus menjadi sebuah kenangan yang terindah.

“Mana tahu mungkin 2 Raksasa boleh dijadikan satu khazanah dalam industri muzik tanah air,” jelasnya.

Selain itu, biarpun setelah 27 tahun berlalu, Ramli mahupun Ito yakin bahawa konsert yang akan diadakan di Stadium Merdeka itu nanti dapat menarik peminat-peminat mereka.

Bukan sahaja mensasarkan peminat seusia mereka tetapi generasi baru yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

“Bukanlah berbangga diri atau bercakap besar, tetapi saya yakin konsert itu nanti dapat menarik minat peminat-peminat kami untuk bersama mengabadikan detik indah itu,” ujar penyanyi kelahiran Singapura itu.

Sementara itu, vokalis Blues Gang, Ito atau nama nama sebenarnya Ito Muhammad @ Mohd. Arif Kendut beranggapan 2 Raksasa akan mewujudkan sejarahnya sendiri seperti mana yang pernah ditinggalkan oleh konsert Raksasa dahulu.

Baginya apa yang penting adalah melakukan yang terbaik agar kehangatan 2 Raksasa akan menjadi detik terindah untuk para peminatnya.

Konsert 2 Raksasa adalah khas untuk peminat kami dan sudah tentu kami akan lakukan yang terbaik untuk memuaskan mereka,” ujarnya.

Ditanya berkenaan dengan stamina untuk tampil pada konsert berkenaan, jelas Ito, itu bukalah masalah kepadanya yang mempunyai banyak pengalaman beraksi di pentas.

“Pengalaman lebih daripada 30 tahun banyak mengajar saya bagaimana untuk mengawal stamina di ketika beraksi di atas pentas.

“Sebagai penyanyi apa yang penting adalah teknik untuk menyanyi kerana teknik itu banyak membantu persembahan.

“Insya-Allah saya tiada masalah untuk membuat persembahan itu nanti biarpun usia kini telah lebih daripada separuh abad,” jelas Ito.

Sementara itu, bagi peminat yang berminat, tiket konsert berharga RM73.00 boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-8775 4666 atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top