Maharaja Lawak yang sepatutnya berakhir 3 Jun depan bagi minggu ke-10 akan dilanjutkan tiga minggu lagi.

Lanjutan itu dibuat atas alasan ingin memberi penghargaan kepada peminat program itu dari seluruh negara.

Pengurus Saluran Warna/Prima, Nizam Sani, berkata sepanjang program itu diadakan, Maharaja Lawak mendapat sokongan paling tinggi daripada penonton.

"Program ini dilanjutkan untuk tiga minggu lagi sebelum ke peringkat akhir adalah seperti yang dirancang dan sebab itu dari awal lagi kita sudah sekat peserta ini untuk memberikan komitmen sehingga minggu ke-14.

"Bermula minggu depan, program ini bersiaran langsung dari luar Kuala Lumpur iaitu di tiga zon berbeza iaitu utara, timur dan selatan. Ia diadakan bagi memberi penghargaan kepada peminat selain dapat merasai sendiri bahang program ini.

"Kita juga mendapat aduan daripada penonton yang sanggup datang dari luar Kuala Lumpur semata ingin melihat program ini, namun sedihnya mereka tidak dapat melihatnya," katanya yang hanya mengehadkan hanya 300 penonton awal saja dapat memasuki studio tempat berlangsungnya Maharaja Lawak di Studio Sound Stage, FINAS.

Menurutnya, pemilihan tiga zon itu dilihat daripada had kapasiti yang mampu memuatkan 2,000 hingga 5,000 penonton di dalam satu masa.

Bermula 3 Jun, program Maharaja Lawak akan berlangsung dari Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Pulau Pinang yang mampu memuatkan hampir 5,000 penonton, diikuti Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang yang boleh memuatkan 2,500 penonton pada 10 Jun sebelum berakhir di Dewan Tertutup Majlis Pembandaran Johor Bahru, Johor dengan kapasiti 2,000 penonton pada 17 Jun.

Nizam juga menolak anggapan bahawa program ini dilanjutkan atas sebab untuk meraih penonton melanggan pakej Mustika yang turut mengandungi saluran Warna agar dapat menonton Maharaja Lawak.

Sementara itu, minggu ke-9 pada Jumaat lalu masih mengekalkan peserta seperti Jambu, Sepah, Jozan, R2, Balas dan Nabil menguji peserta dengan menggandingkan bersama pelawak terkenal tanah air.

Kumpulan Jambu yang digandingkan dengan pelawak Acong antara peserta yang cukup serasi dan memperoleh markah tertinggi daripada juri yang terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

Peserta lain yang turut menyerlah seperti Jozan yang digandingkan dengan Kenchana Devi, manakala Sepah digandingkan dengan AR Badul, Nabil bersama Sharifah Shahirah, R2 bersama Sathia dan Balas bersama Bell Ngasri.

Sebelum program itu berakhir, peserta yang mendapat markah terendah daripada penilaian juri dan penonton mengumumkan Balas sebagai peserta yang tersingkir untuk minggu ke-9.

Keputusan juri seiring dengan penonton

PROGRAM realiti yang turut memperkenalkan kuasa veto juri atau imuniti itu diperkenalkan bagi mengimbangi keputusan juri dan penonton yang dibimbangi memberikan impak kepada program itu.

Menurut Ahmad Idham, imuniti atau kekebalan itu adalah hak juri dan tidak semestinya mereka akan menggunakannya tanpa sebarang sebab.

Beliau yang menjadi juri bersama-sama Mamat Khalid dan Saiful Apek berkata, mereka boleh menggunakan kuasa imuniti itu apabila ada peserta membuat persembahan bermutu dan menarik, tetapi mendapat undian SMS rendah daripada penonton.

"Ada kemungkinan juga imuniti itu tidak akan dipakai sekiranya apa yang kita nilai sama dengan penilaian penonton. Lainlah kalau apa yang kita nampak tidak sama dengan pilihan penonton dan mampu meninggalkan impak kepada program ini, barulah kita akan menggunakan imuniti itu," katanya.

Idham juga mengakui peserta yang tersingkir sehingga minggu ke-9 berdasarkan penilaian juri dan penonton adalah sama.

"Jika perhatikan, peserta yang terkeluar hingga sekarang adalah peserta yang sudah tepu dan tidak lagi mampu mengeluarkan idea yang baik.

"Menerusi program ini, apa yang dinilai oleh juri sama dengan pilihan penonton dan buat apa kita mahu menggunakan lagi imuniti itu.

"Saya juga tidak dinafikan setiap juri memang ada peserta pilihannya sendiri, namun jika kata imuniti itu akan digunakan sekiranya peserta pilihan mereka terkeluar ia terlalu subjektif kerana imuniti adalah hak semua juri dan sekiranya satu juri tidak setuju, maka ia tidak sah untuk digunakannya," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top