Nora rapat lelaki muda

hi 01.1


HAMPIR tiga tahun hidup bergelar janda, pastinya banyak dugaan yang terpaksa dilalui oleh pelakon Nora Danish. Terutamanya apabila dia terpaksa berhadapan dengan kontroversi yang sering menjadi tumpuan ramai.

Kontroversi yang paling hangat diperkatakan sudah tentu perbalahan Nora dengan seorang pelakon wanita popular dan kontroversi yang dikatakan punca kepada penceraian dengan bekas suaminya sebelum ini.

Bagaimanapun, Nora kini tiba-tiba dilanda gosip hangat apabila dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan seorang jejaka.

Malah, ada khabar angin yang mengatakan bahawa jejaka yang dimaksudkan merupakan seorang kerabat diraja dan berasal dari Terengganu.

Kesempatan bertemu Nora pada majlis pelancaran drama bersiri Ana Lu’Lu baru-baru ini, pelakon berkenaan telah diajukan pertanyaan mengenai hubungannya dengan jejaka tersebut.

“Memang tidak dinafikan kini saya menjalin hubungan yang agak rapat dengan seseorang, tetapi adalah terlalu awal untuk saya katakan hubungan kami sebagai pasangan kekasih.

“Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan lelaki yang paling rapat dengan saya ketika ini, namun dia bukanlah seorang kerabat dan tidak berasal dari Terengganu,” jelasnya.

Tambahnya, jejaka berkenaan merupakan seorang ahli perniagaan yang langsung tidak terbabit dengan dunia hiburan dan usianya dua tahun lebih muda berbanding dirinya.

Bagaimanapun, Nora enggan mengulas lebih lanjut tentang hubungannya dengan lelaki berkenaan dan sekadar menyatakan bahawa mereka berdua masih lagi berkawan dan dalam proses saling mengenali.

“Boleh dikatakan hubungan kami agak rapat kerana masing-masing mempunyai keserasian. Walaupun dia lebih muda daripada saya, tetapi saya rasa senang berkawan dengannya sejak setahun lalu.

“Cuma kalau boleh saya tidak mahu bercerita sangat tentang hal ini kerana kami masih lagi di peringkat berkawan. Nanti kalau terlalu heboh sangat, risau pula apa yang diharapkan tidak menjadi,” ujar pelakon berusia 29 tahun itu lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh untuk dia menamatkan zaman jandanya, Nora memberitahu bahawa setakat ini dia masih belum terfikir lagi untuk mendirikan rumah tangga semula.

Menurutnya, dia memang masih lagi mempunyai keinginan untuk berumah tangga, namun dia memerlukan masa untuk mencari lelaki yang betul-betul sesuai dengan dirinya.

“Kalau boleh saya memang ingin berkahwin semula, namun apa yang boleh saya katakan ia tidak mungkin berlaku pada tahun ini kerana tidak terlalu terdesak sangat.

“Selepas ini kalau hendak mencari pasangan hidup, saya memerlukan masa yang lebih lama untuk mengenali hati budi lelaki yang akan saya pilih untuk menjadi suami nanti,” jelasnya.

Tidak tertekan

hi 01.2

NORA dan Kamal merupakan teraju utama drama Ana Lu’Lu.


Biasanya seseorang wanita yang hidup bergelar janda akan merasai tekanan kerana tiada tempat untuk bergantung atau terpaksa berhadapan dengan pandangan serong sesetengah pihak.

Apatah lagi kalau wanita berkenaan bergelar seorang selebriti yang sememangnya tidak akan lari daripada dilanda kontroversi hangat membabitkan hubungan dengan lelaki yang berkedudukan.

Bagaimanapun, Nora menjelaskan dia bersyukur kerana sepanjang tiga tahun menjadi janda, dia berasa tidak terlalu tertekan dalam menjalani kehidupan seharian.

“Saya sendiri mendapat sokongan pelbagai pihak terutamanya daripada keluarga mertua. Malah, hubungan saya dengan mereka masih tetap baik dan rapat sehingga kini.

“Jadi saya tidak merasa hidup keseorangan dan melalui kehidupan seperti biasa. Apa yang lebih penting saya mahu memberi fokus untuk membesarkan anak saya,” ujarnya.

Meskipun begitu, pelakon berkenaan tetap tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila wanita yang bergelar janda kerap dipandang negatif oleh sebilangan masyarakat.

Jelasnya lagi, tidak ada mana-mana wanita di dunia ini yang mahu menjadi janda, namun jodoh dan pertemuan semuanya telah ditentukan oleh Allah.

Kontroversi perubahan imej

Tentu ramai yang sudah mengetahui bahawa pada tanggal 8 April lalu, Nora telah menjejakkan kaki di Mekah untuk mengerjakan umrah selama dua minggu.

Namun, tidak lama kemudian tiba-tiba timbul cerita bahawa pelakon berkenaan dikatakan telah membuat kenyataan mahu mengubah penampilan sebaik sahaja pulang dari Mekah.

Ketika diajukan pertanyaan mengenai perkara berkenaan yang agak heboh sebelum ini, dia menafikan sekeras-kerasnya ada membuat kenyataan berkenaan.

“Saya sendiri agak terkejut apabila membacanya di akhbar, sedangkan saya langsung tidak pernah membuat sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak media pun.

“Niat saya untuk ke Tanah Suci Mekah tempoh hari adalah mahu mendekatkan diri dengan Allah dan saya tidak mahu peminat salah anggap kalau mereka masih lagi melihat penampilan saya yang masih sama,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia sendiri sangat hairan bagaimana perkara tersebut boleh timbul dan menegaskan penampilannya masih lagi sama seperti sebelum ini.

“Bukannya saya tidak mahu berubah langsung, tetapi kalau benar biarlah ia dinyatakan oleh saya sendiri kerana ini merupakan satu perkara yang cukup sensitif,” tegasnya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top