Mereka bukan saja pandai menyanyi, malah boleh berlakon, menari dan petah berkata-kata. Itulah kelebihan finalis program realiti kanak-kanak popular, Idola Kecil bagi musim ketiga. Idola Kecil 3 (IK3), sebuah program yang memberi peluang kepada peserta seluruh negara menunjukkan bakat, selain membentuk jatidiri, keyakinan, kecekalan dan sifat tanggungjawab.



Perjalanan kehidupan peserta IK3 bermula dengan latihan vokal, koreografi, lakonan, tatarias dan persembahan. Selepas dua peserta tersingkir, mereka yang masih bertahan ialah Mohd Afif Abdul Halim Hapit (Afif, 10), Nor Harris Alif Norashidi (Harris, 11), Abdul Hadi Abdul Mazlan (Hadi, 11), Farra Nor Adzlina Safwan (Farra, 10), Angelica Paujin (Angel, 11), Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis, 11), Nadeera Allisya Aminudin (Deera, 11), Shazlin Salamat (Shazlin, 12) dan Puteri Aszfaryna Khareeza Aris (Puteri, 12).

Mereka berkampung di rumah Idola Kecil di Shah Alam, Selangor, bermulanya cuti persekolahan selama hampir dua bulan. Dalam tempoh itu, mereka diberikan kelas vokal, tarian, lakonan, penampilan dan jati diri. IK3 masih lagi mengekalkan tenaga pengajar seperti Cikgu Alfa Booty selaku Pengarah Muzik, Cikgu Delly (guru vokal) dan Cikgu Affizal (guru koreografi). Juri tetap IK3 ialah penyanyi Atilia.

Konsert mingguan dihoskan Alif Satar dan disiarkan di kaca TV9, setiap Sabtu, jam 9 malam. Untuk memeriahkan IK3, Klip Mini IK3 turut disiarkan selama tiga minit setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam, manakala Klip Ekstra IK3 yang membawa penonton melihat di sebalik tabir aktiviti peserta di luar kelas, setiap Jumaat, jam 9 malam selama setengah jam. Program ini dikendalikan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.

Abdul Hadi berkata, dia tidak pernah menyertai pertandingan nyanyian walaupun sudah menyanyi sejak berusia tujuh tahun. Perasaan malu masih menebal dalam dirinya sehinggalah keluarga dan sanak-saudara menggalakkannya menyertai pertandingan nyanyian Idola Kecil 3.

"Saya sebenarnya seorang yang pemalu. Saya menyedari memiliki bakat yang terpendam sejak darjah satu lagi apabila saya sering berkaraoke bersama keluarga. Selalunya saya bersama keluarga berlatih menyanyi di pusat karaoke keluarga setiap hujung minggu. Keyakinan menyanyi di depan orang ramai timbul hanya baru-baru ini. Saya tidak menyangka percubaan pertama saya membuahkan hasil memandangkan saya tiada pengalaman seperti peserta lain.

"Awalnya, saya sukar mengikis perasaan malu, tetapi apabila sudah berminggu-minggu tinggal bersama peserta lain di rumah Idola Kecil, saya semakin selesa dengan mereka. Keyakinan saya juga bertambah apabila sudah dua minggu berada di konsert mingguan.

"Bagaimanapun, saya sedar bukan mudah mengecapi impian ini, saya perlu berusaha.

"Saya menjadikan penyanyi Aizat sebagai idola kerana dia memiliki suara lunak, pandai bermain alatan muzik dan boleh menghasilkan lagu untuk albumnya. Saya juga bercitacita mahu menguruskan badan seperti Aizat. Kalau Aizat boleh melakukannya, kenapa tidak saya?" kata murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, Kuala Lumpur ini.

Bagi Puteri, perasaan gementar tetap ada walaupun sudah kerap mengiringi persembahan penyanyi terkenal seperti Jaclyn Victor, Ezlynn, Jamal Abdillah dan Salamiah Hassan. Dia mula menyanyi sejak berusia tiga tahun apabila menyertai pertandingan nyanyian lagu hari raya di TV3, suatu ketika dulu. Dalam pertandingan itu, Puteri dinobatkan sebagai juara.

"Saya bercita-cita nak menjadi seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Beliau bukan saja berjaya sebagai penghibur nombor satu di Asia, malah bergelar seorang peguam. Saya menyimpan cita-cita bergelar peguam suatu ketika nanti dan dalam masa yang sama, saya juga mengejar impian sebagai penyanyi.

"Walaupun pernah bergelar juara Bintang Kecil RTM pada 2007, ia tidak sesekali menyebabkan saya mendabik dada. Saya akan sedaya upaya mengekalkan diri sehingga ke peringkat akhir, selain melakukan persembahan terbaik dalam konsert mingguan kerana persaingan dalam Idola Kecil 3 agak sengit," kata murid yang mendapat keputusan 4A1B dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Harris pula yang juga vokalis kumpulan muzik, First Step, sebelum ini mencari pengalaman dengan menyanyi di Hard Rock Cafe Pulau Pinang, sejak dua tahun lalu. First Step dianggotai lima remaja yang berusia 15 tahun ke bawah. Kekuatan Harris terletak pada kemampuan menyampaikan lagu-lagu berentak rock dan slow rock.

"Saya dan kumpulan First Step akan beraksi di Hard Rock Cafe setiap hujung minggu. Itulah rutin kami sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun, pengalaman menyanyi di kelab selama dua tahun tidak sesekali membuatkan saya selesa, perasaan gementar tetap ada kerana inilah pertandingan yang akan menentukan kemampuan saya. Saya melihat peserta IK3 hebat-hebat belaka, kebanyakan mereka punya bakat luar biasa.

"Saya kagum dengan bakat dan kemampuan Hadi, Angel, Puteri dan Shazlin. Bagaimanapun, saya tidak boleh mengaku kalah dalam perjuangan. Saya mahu jadi rock star sehebat Amy Search, Awie dan Faizal Tahir," kata murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Bayan Lepas, Pulau Pinang itu.

Buat pertama kalinya, showcase IK3 diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada hari ini, bermula 12 tengah hari hingga 5 petang. Pelbagai aktiviti dan hadiah menarik menanti pengunjung pada showcase itu.

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top