Jika minggu pertama, gelaran juara menjadi milik Raja Mohd Faisal Khairullah Raja Abdul Halim atau Faisal, 13, tetapi tidak pada minggu kedua. Ini kerana takhta juara disandang Muhammad Fathullah Farhan Muhammad Rosdi (Farhan), 12.
Malah, sekali lagi kejutan berlaku pada konsert minggu ketiga yang disiarkan semalam, jam 5.30 petang di Astro Ceria (saluran 611) apabila gelaran juara menjadi milik Dayang Nazillah Awang Astillah (Dayang), 14, dengan lagu Kau Ada Kamu.
Ternyata Dayang berjaya memperbaiki segala kelemahan dalam persembahannya sebelum ini, sekali gus berjaya menewaskan lima peserta lain. Menerusi kemenangan itu, Dayang menerima barangan berharga RM10,000 untuk sekolahnya.
Juri tetap, Adibah Noor berkata, konsert minggu ketiga yang lalu menunjukkan persembahan peserta Kamilah Bintang semakin baik dan mantap. Jadi, ia persaingan yang sihat di kalangan peserta kerana mereka berlumba-lumba menonjolkan bakat.
"Saya sangat teruja melihat kesungguhan peserta cilik ini membuktikan keupayaan mereka. Malah, dengan prestasi meningkat itu dapat dilihat gelaran juara mingguan dimenangi peserta berbeza. Oleh itu, bagi saya setiap peserta ada peluang menang.
"Cuma, mereka perlu berusaha memperbaiki kelemahan untuk membuat persembahan terbaik. Sebagai juri, saya sangat berpuas hati menilai prestasi peserta setiap minggu. Seperti Dayang, dia tampil dengan persembahan yang cukup hebat.
"Lagu Kau Ada Kamu nyanyian asal Adira (AF8) itu dipersembahkan Dayang dengan penuh perasaan dan penguasaan vokalnya juga dikawal dengan baik. Apapun, peserta yang tampil dengan persembahan konsisten setiap minggu adalah Wani," katanya.
Selain Adibah, dua juri tetap lain turut menilai prestasi peserta iaitu Aznil Nawawi dan Shafizawati Sharif atau cikgu Syafi. Dihoskan Zoey dan Nora Danish, siaran ulangan Kamilah Bintang disiarkan setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Citra.
Bagi menyemarakkan semangat peserta setiap minggu, semua peserta akan mendapat bimbingan secara bergilir-gilir daripada ikon terkenal yang digelar 'starguides' kerana berpengaruh dalam industri muzik seperti Amy Search, kumpulan Hujan, Stacy, Aizat dan Farah Asyikin.
Program Kamilah Bintang adalah pencarian penyanyi generasi baru berbakat yang harus bertanding dalam lima konsert mingguan sebelum konsert kemuncak pada 24 Disember ini. Daripada enam peserta itu, siapakah 'juara' yang dicari?
Peserta lain turut berentap ialah Mohammad Aiman Azli Aziz (Aiman), 14, dan Qistina Amira Rohaizad (Qistina), 13, dan Syazwani Sapari, 10. Antara lagu didendangkan dalam konsert ketiga ialah Wani dengan Destinasi Cinta, Aiman (Kebahagiaan Dalam Perpisahan), Farhan (Kau Dan Aku), Faisal (Gemuruh) dan Qistina (Tak Mungkin Kerana Sayang).
Oleh Norhayati Nordin
0 ulasan:
Catat Ulasan