MENINJAU jauh ke dalam mata dua empunya wajah manis ini, jelas menggambarkan rasa bertuah atas segala peluang yang diberi. Meskipun berlainan latar belakang, jalur pengalaman, kisah yang tersembunyi dan personaliti, kedua-duanya punya sasaran dan corak masa depan yang sama.
Gandingan Wan Zaleha Radzi dan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain cukup istimewa kerana kedua-duanya per�nah mengen�dalikan program popular TV3, Majalah 3. Mereka diganding�kan sempena ulang tahun TV3 yang ke-27 pada hari ini.
Wan Zaleha, 47, hampir tiga dekad bergelar pengacara dan personaliti televisyen manakala Nurul Syuhada, 27, kini mencuri tumpuan. Mereka bukan sekadar bersandar pada wajah jelita, sebaliknya punya kredibiliti dan pesona dalam menggalas tugas.
Pertemuan yang diaturkan Unit Perhubungan Media TV3 itu berlangsung dalam suasana penuh warna, gelak tawa dan ceria. Masing-masing tidak henti menceritakan pengalaman mereka.
Bagai frasa yang pernah menyebut, biar kelibatnya klasik namun masih tidak lenyap ditenggelami pengganti baru dan yang masih bertatih terus kuat menyambung empayar sedia ada, kedua-duanya percaya dan yakin dengan semangat yang dipegang.
Wan Zaleha mula berkhidmat dengan TV3 pada 1985 sebagai wartawan penyiaran sebaik saja tamat pengajian di luar negara. Bukan populariti atau dunia glamor yang dikejar, tapi kehadirannya di Bilik Berita kerana minat yang diperjuangkan.
"Ketika itu saya terlalu muda, mentah dan hanya pegang satu impian iaitu ingin menjadi wartawan yang ada karisma dan penuh integriti. Tidak sesekali terlintas mahu mengecapi populariti atau ingin dikenali sebaliknya saya bersama teman-teman hanya memandang satu sudut iaitu ingin memberikan liputan berita terbaik buat penonton.
"Bagaimanapun keadaan sekarang berbanding dulu jauh berbeza. Mana tidaknya, hari ini semua kemudahan ada seperti komputer, Internet dan pelbagai kemudahan lain. Dulu kami menyiapkan berita dengan meng�gunakan mesin taip saja dan semua kajian atau penyelidikan perlu melalui buku, bahan ilmiah ataupun menerusi temubual. Tapi sekarang, taip saja di Internet semuanya ada.
"Namun kembali menjejakkan kaki di TV3 selepas lebih 15 tahun meninggalkannya, saya masih rasa segala kenangan, episod manis dan pahit serta semangat yang pernah kuat antara kami barisan penyampai berita dan wartawan.
"Jujurnya, saya menyifatkan TV3 bukan sekadar stesen televisyen sebaliknya ia bagai sekolah yang membentuk banyak anak muda yang berjaya mencapai apa yang pernah diimpikan," katanya.
Mula mengendalikan Buletin Utama sebelum beralih menjadi pengantara bagi berita Inggeris 7 O'Clock News dan seterusnya Majalah Tiga, anak kelahiran Kuala Lumpur ini bagaimanapun mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh fokus bagi mengejar impiannya menjadi wira dalam sukan kegemarannya.
Lantas pada 1995, Wan Zaleha melangkah jauh memperjuang�kan minatnya dalam sukan kuda dan kini selesa mengemudi syarikat miliknya, Asiapromote Ventures Sdn Bhd yang menganjurkan pelbagai pertandingan berkuda di peringkat antarabangsa. Pada 1998, Wan Zaleha berkahwin dengan Peter Imran Winton dan mempunyai seorang anak lelaki, Imad Imran Winton berusia 5 tahun.
"Alhamdulillah percaturan yang saya lakukan tidak silap. Impian untuk mewakili Malaysia dalam sukan berkuda tercapai dan kini saya sibuk menguruskan syarikat sendiri dalam menganjurkan pelbagai pertandingan.
"Namun cinta dalam pengacaraan sentiasa tebal dan ingin sekali saya kembali ke stesen televisyen jika punya rezeki satu hari nanti," katanya.
Kerusi keramat selaku pengantara Majalah 3 kini milik Nurul Syuhadah, juga bakat yang dicung�kil menerusi program Malaysian Top Host enam tahun lalu. Kebetulannya, Wan Zaleha juga dilantik menjadi juri program berkenaan yang seterusnya mengangkat Nurul Syuhadah selaku juara.
Tanggungjawab pertama diberi kepadanya sebagai pengacara program wanita popular, Nona kemudian Nurul menggalas tugas untuk memberi dimensi baru kepada Majalah 3 sejak dua tahun lalu.
Jelasnya yang menyifatkan TV3 adalah stesen televisyen yang menerangi laluan kerjayanya, pengacaraan adalah sampingan saja kerana asasnya, dia seorang wartawan yang gigih mencari bahan untuk dilaporkan.
"Sekelip mata, sudah hampir enam tahun bersama TV3. Selain Nona dan Majalah 3, saya juga diberi kepercayaan untuk mewarnai program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) dan Malaysia Hari Ini (MHI). Malah paling melucukan, saya juga pernah diberi tanggungjawab mengacarakan majlis berprestij, Anugerah Skrin 2009.
"Sepanjang bertugas di sini dengan status sebagai wartawan, saya melihat satu peningkatan yang dulunya tidak pernah disangka. Alhamdulillah, rezeki itu sentiasa ada dan apa yang penting adalah kesungguhan serta disiplin.
"Walaupun masih baru berbanding yang lain, saya bertuah kerana sentiasa diberi peluang. Saya tidak boleh menyangkal kekuatan TV3 dalam membentuk kredibiliti saya sebagai pengacara.
"Sempena menyambut ulang tahun ke-27 TV3, ingin sekali saya menzahirkan rasa terima kasih buat semua warga kerja dan mereka yang mempertahankan organisasi hebat ini hingga jenamanya begitu sinonim di bibir rakyat Malaysia," katanya yang begitu mengagumi Wan Zaleha.
Nurul kini berdebar menanti detik disatukan dengan pegawai bank, Raja Amir Shah Raja Azwa, 29, pada 16 Julai nanti. Katanya, Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar dan begitu gementar menghitung hari bahagianya.
"Saya yakin dan percaya dengan keputusan ini kerana mengenali Amir sejak dua tahun lalu, dia mampu memimpin dan terus menyokong kerjaya saya.
"Akad nikah akan diadakan pada 16 Julai manakala resepsi pada 23 Julai di Pusat Konvensyen Sime Darby. Kami juga merancang untuk mengadakan satu lagi majlis di kampung halaman saya di Rembau. Negeri Sembilan selepas Aidilfitri nanti.
"Insya-Allah, saya harapkan semuanya sempurna dan semoga semua pihak mendoakan yang terbaik buat kami berdua," katanya.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain
TARIKH LAHIR: 29 November 1984
UMUR: 27 tahun
TEMPAT LAHIR: Seremban, Negeri Sembilan
STATUS: Bertunang
KERJAYA: Pengacara Majalah 3 dan jurucakap produk Avon
PROFIL
NAMA SEBENAR: Wan Nor Zaleha Wan Ahmad Radzi
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1964
UMUR: 47 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah Ekonomi dari Amerika Syarikat
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Peter Imran Winton Abdullah
ANAK: Imad Imran Winton Abdullah
KERJAYA: Pengarah Urusan Asiapromote Ventures Sdn Bhd
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan