Popular di layar kaca
KAMAL, Intan dan Fizo berjaya melakar nama dalam dunia seni tanah air dengan cara masing-masing.
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Tidak semua pelakon mampu mencipta nama seterusnya mempunyai peminat yang ramai dalam industri hiburan.
Ada sesetengahnya berjaya mencipta nama dengan sekali berlakon sahaja manakala ada sesetengahnya pula terpaksa bekerja keras untuk dikenali dan diterima peminat.
Bagi Kamal Adli, Intan Ladyana, Mia Sara Nasuha dan Fizo Omar, kehadiran mereka boleh dikatakan melalui tuah. Sebabnya, mereka tidak perlu mengambil masa yang lama menapak dalam industri hiburan untuk dikenali.
Mereka muda, kacak, cantik dan comel. Bakat yang ada masih lagi boleh digilap untuk memberikan lakonan yang lebih berkesan.
Mungkin tuah yang mereka kecapi adalah melalui pakej yang diperoleh atau mungkin tuah yang mereka peroleh melalui tawaran-tawaran drama atau filem yang dijayakan mereka.
Biarpun nama mereka tidak sehebat Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Aaron Aziz dan sebagainya, kehadiran mereka mampu memberi impak kepada sebilangan besar peminat industri hiburan.
Mia misalnya terkenal selepas berlakon dalam drama Adamaya manakala Kamal terkenal melalui drama Bionik.
Intan pula terkenal melalui filem dan drama Adnan Sempit, sementara Fizo pula terkenal selepas berlakon dalam drama Siti Kelembai.
Mia seronok berlakon
Bagi Mia Sara Nasuha, 5, wajah yang comel dan kepetahannya bertutur menjadi platform buat dirinya diterima sekali gus diminati semua peringkat.
Drama Adamaya di TV3 sememangnya meledakkan nama Mia di persada seni tempatan. Telatah Mia ketika berlakon di samping Lisa Surihani dan Syed Hussein Syed Mustafa dalam drama itu menjadikan dirinya rebutan penerbit-penerbit.
Biarpun dikatakan kaku ketika berlakon, Mia tetap mendapat tawaran demi tawaran berlakon iklan, drama dan terkini filem.
Malah, filem lakonan yang dijayakannya bukan calang-calang apabila pengarah naskhah Nur Kasih, Kabir Bhatia menawarkan Mia watak Maryam iaitu anak kepada Aidil lakonan Fizz Fairuz dan Aliya lakonan Ayu Raudhah.
Bukan itu sahaja, Mia juga dikatakan sekali lagi bergandingan dengan Lisa dan Shaheizy Sam untuk filem terbaru terbitan MIG Productions.
"Saya sendiri tidak sangka kemasukan Mia ke dalam industri seni diterima seperti hari ini. Memang pada mulanya saya hanya mengalakkan Mia berlakon iklan sahaja. Kebetulan, anak saudara jiran terlibat dengan produksi drama menyarankan saya untuk bawa Mia pergi uji bakat drama Adamaya.
"Pada mulanya saya tolak sebab faham penggambaran drama selalunya memakan masa yang lama dan bimbang Mia kepenatan. Tetapi selepas dipujuk, akhirnya saya dan Mia pergi ke uji bakat itu dan tidak sangka Mia berjaya," kata bapa Mia yang juga merangkap pengurusnya, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh.
Begitupun, Ridhuan nekad tidak mahu Mia meneruskan lakonan selepas tamat menjalani penggambaran Adamaya. Naluri kebapaannya berasa kasihan melihat anak nya itu yang kepenatan.
Sebaliknya, Mia pula tidak kisah dan cukup seronok dengan apa yang dilakukannya (berlakon drama). Ridhuan juga melihat kehadiran Mia dalam industri lakonan memberikan impak di hati masyarakat.
"Memang selepas penggambaran Adamaya saya nekad untuk tidak membenarkan Mia terlibat dalam lakonan. Tetapi, selepas tengok Mia seronok dan penerimaan orang ramai terhadapnya juga begitu ramai saya terfikir semula.
"Peminatnya juga sanggup membuka akaun Facebook untuk Mia dan dia mempunyai hampir ratusan ribu peminat. Bayaran yang diterima untuk lakonan Mia juga mampu menyara kehidupan kami sekeluarga," katanya.
Saat ditanya sendiri kepada Mia mengenai penglibatannya dalam bidang lakonan, dia mengaku cukup seronok.
Walaupun sibuk berlakon, Ridhuan sentiasa memastikan Mia mendapat pendidikan sewajarnya.
"Setiap malam seorang tutor akan datang ajar Mia di rumah manakala di sebelah siangnya pula, Mia akan dihantar ke sekolah Islamic Montessori di Kota Damansara," katanya yang begitu selektif dalam membuat pemilihan watak untuk Mia.
Kamal suka karakter berbeza
Selepas menjadi juara pertandingan Hero Remaja 2008, Kamal Adli terus mengorak langkah menerima tawaran berlakon drama futuristik Bionik.
Membawakan watak sebagai Nik, seorang pemuda yang terjebak dalam kemalangan dan akhirnya dibangkitkan semula dengan ciri-ciri robotik, keberkesanan lakonan dan juga ketampanan wajah Kamal menjadikannya dikenali dan disukai peminat.
Selepas itu, wajah Kamal sering menghiasi slot-slot drama di stesen-stesen televisyen.
Antara drama dan filem lakonan Kamal ialah Impian Illyana Sunsilk, Renjis 2 dan Kembar Siang.
Bagi diri Kamal, kehadirannya sebagai pelakon tidak dirancang. Bekas pelajar Akademi TV3 itu pada mulanya ingin menceburi bidang pengacaraan.
"Sasaran sebenar saya sebenarnya untuk melibatkan diri dalam bidang pengacaraan. Tetapi tidak sangka terjebak di dalam bidang lakonan.
"Bila sudah berlakon barulah sedar yang saya mempunyai bakat," katanya yang akan menjayakan sesebuah drama atau filem sahaja sebelum menerima projek yang seterusnya.
Pelakon dari Pekan, Pahang itu juga memberitahu, suka menjayakan watak yang berbeza agar penonton tidak mudah bosan dengan lakonannya.
Katanya, dia berharap sangat jika dirinya diberi kepercayaan membawakan watak gangster kerana watak tersebut masih belum dicubanya.
"Saya suka melakonkan watak yang pelbagai dan berbeza. Saya tidak mahu dilabelkan stereotaip. Kalau mempunyai peluang saya teringin melakonkan watak gangster," katanya yang baharu sahaja selesai menjalani pengambaran filem PE3 di samping pelakon Farid Kamil dan filem muzikal Aku Ada Kau Ada di samping Shaheizy Sam.
KAMAL dan Intan masih tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin buat masa ini.
Selain itu, Kamal yang juga merupakan kekasih pelakon cantik Intan Ladyana itu juga baru sahaja selesai menjayakan penggambaran drama Ana Lul'lu di samping Nora Danish dan Cat Farish.
Intan belum ingin kahwin
Umum sudah mengetahui hubungan Intan dengan Kamal yang sudah terjalin lebih dua tahun. Keluarga keduanya juga tahu dan merestui hubungan kedua-dua selebriti tersebut.
Namun, menjadi persoalan kenapa Intan dan Kamal masih lagi tiada perancangan untuk berkahwin. Saat diajukan soalan buat pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamat Yahya, dia memberitahu, tidak mahu ada paksaan dalam hubungan.
Pelakon utama Adnan Sempit itu juga tidak mahu mememikirkan dan tidak meletakkan sasaran bila dia akan berkahwin.
"Saya tidak mahu fikir lagi tentang kahwin. Lagipun saya tidak meletakkan sasaran tertentu bila saya akan berkahwin. Jadi, saya tidak tertekan.
"Kamal pun sama juga. Fokus utama saya buat masa ini hanyalah lakonan. Insya-Allah, bila sudah kumpul aset dan sudah sampai seru saya akan berkahwin," katanya popular melalui drama Bionik di samping Kamal dan Sutera Maya di TV3 di samping Fasha Sandha.
Saat ditanya mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan, Intan bersyukur kerana tawaran lakonan sentiasa ada.
"Intan masih lagi terikat selama dua tahun di bawah MIG dan akan turun ke lokasi pengambaran filem Adnan Sempit 2 awal Jun ini," katanya yang juga merupakan pengacara program Chopp! di TV9
Mengulas mengenai filem Adnan Sempit 2, kata Intan, cerita itu masih mengekalkan pelakon yang sama dan ia merupakan kesinambungan filem Adnan Sempit.
Bezanya, cuma jalan cerita lebih menarik di mana Sam akan menguruskan urusan pejabat manakala Intan pula menguruskan urusan rumah tangga.
Fizo lima filem setahun
Fizo kini meletakkan sasaran untuk berlakon lima buah filem dalam masa setahun. Bukan cakap kosong tetapi niat yang akan dicapai melalui kesungguhan.
Buat masa ini, pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar itu sudah menjayakan tiga buah filem iaitu filem Kongsi, Halimunan dan Hello.
Fizo juga sanggup menolak tawaran drama bagi menjayakan misinya itu.
"Kalau boleh saya mahu berlakon sebanyak lima buah filem sebelum hujung tahun ini. Saya terpaksa tolak tawaran drama disebabkan kekangan masa.
"Buat masa ini saya bukan sahaja fokus berlakon filem tetapi juga sedang sibuk dalam bidang pengacaraan dan juga sedang sibuk menghasilkan sebuah buku masakan ala Thai," katanya yang mencipta nama dalam bidang lakonan menerusi drama Puteri Salju dan Siti Kelembai di TV3.
Mengulas mengenai buku masakan yang dijangka terbit dua bulan lagi itu, kesemua resipi yang terdapat di dalamnya merupakan resepi masakan Thailand.
Katanya, resipi-resipi tersebut semuanya daripada ibunya, Hasnah Jidin, 51, yang sememangnya berasal dari Thailand.
Saat ditebak dengan soalan mengenai teman istimewa, Fizo yang juga merancang membuka sebuah restoran pada tahun depan itu mengaku masih tidak punya teman istimewa.
Menyentuh mengenai kriteria wanita idamannya, katanya, wanita itu seharusnya mempunyai pendidikan, ada pegangan agama dan bekerjaya.
0 ulasan:
Catat Ulasan