Belum pernah bercinta
TIADA apa yang kurang mengenai wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini. Wajahnya elok, tubuhnya molek dan suaranya gemeresik. Namun akui Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 30, dia belum pernah merasai gelora asmara daripada lelaki.
Acap kali dirinya ditebak sedang dilamun cinta ketika mendendangkan lagu-lagu cinta miliknya dengan begitu asyik. Namun, acap kali jua wanita berzodiak Cancer ini menafikan dirinya sedang dilamun cinta.
Saat itu, bermulalah tanggapan negatif buat Dayang. Dia dilempar dengan tuduhan miliki perasaan pada kaum sejenis. Bila tuduhan ini menerjah ke telinganya, Dayang tidak melenting tetapi segera menafikannya.
“Tidak bermakna saya tidak pernah bercinta saya tidak sukakan lelaki. Itu semua tidak benar. Saya teringin untuk bercinta namun saatnya belum tiba,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharunya, Sayang & Cahaya, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Jujurnya, Dayang memberitahu, dia tidak tahu menzahirkan perasaan cinta buat lelaki biarpun meminati lelaki tersebut. Dia juga tidak dapat membaca hati lelaki yang meminatinya.
Malah, waktu senggangnya juga hanya dimanfaatkan bersama keluarga dan dirinya juga tidak mempunyai sebarang telefon peribadi.
Sebab itu, katanya, mengapa sehingga kini dia belum pernah bercinta.
“Saya mengaku seumur hidup tidak pernah bercinta. Malah, tidak tahu bagaimana rasanya ketika bercinta. Masa sekolah dahulu, pernah juga menerima surat cinta tetapi saya segera membuangnya kerana takut.
“Jauh di sudut hati, saya juga cemburu melihat teman-teman yang sudah berteman dan berkeluarga. Apatah lagi selepas pengurus yang sudah bersama saya hampir sedekad, Shaliza Kader Sultan berhijrah ke Amerika Syarikat mengikut suami awal tahun ini. Namun, saya percaya jodoh saya ada dan akan tiba nanti,” katanya.
Pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu juga dikatakan terlampau memilih lelaki sehingga membuatkan dirinya masih tidak mempunyai teman.
“Saya kena memilih kerana ia menentukan masa depan saya. Tetapi, saya bukanlah jenis yang terlalu memilih. Semua orang inginkan yang terbaik dalam hidup,” katanya jujur.
Malah akuinya, dia tidak mahu menulis lirik lagu sendiri kerana tidak mempunyai inspirasi terutamanya lagu berkaitan dengan cinta.
Bagaimanapun, Dayang ada berbincang dengan komposer dan beritahu apa yang dimahukan di dalam sesebuah lagu.
“Selalunya saya akan berjumpa sendiri dengan komposer dan beritahu apa yang saya mahu dalam sesebuah lagu itu.
“Kalau boleh saya mahu lirik yang mudah difahami kerana mudah untuk saya menghayatinya terutamanya jika lagu-lagu cinta,” katanya.
Dayang yang menganggap kerjayanya adalah segalanya menyuarakan hasrat untuk mengadakan konsert secara besar-besaran.
Dia juga memberitahu, akan mula lebih serius memikirkan teman lelaki setelah konsertnya berjaya direalisasikan.
“Saya mengimpikan sebuah konsert solo mega. Selepas itu, saya akan serius memikirkan soal jodoh pula,” katanya.
Persembahan amal
![]() |
DAYANG yakin jodoh buat dirinya akan muncul suatu hari nanti. |
Bersempena dengan pelancaran album baharunya, Sayang & Cahaya, Dayang juga bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe pada 2 Julai ini.
Persembahan anjuran bersama Maybank Berhad dan Hard Rock Cafe itu diadakan bagi mengutip dana untuk Majlis AIDS Malaysia.
Objektif utama persembahan Sayang & Cahaya itu adalah untuk Dayang mempromosikan album terbaharunya selain meningkat kesedaran orang ramai terhadap jangkitan HIV & AIDS serta memupuk kesedaran kepada masyarakat terutamanya remaja betapa pentingnya cara hidup yang sihat.
Menurut statistik yang baharu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan majoriti kes jangkitan HIV yang berlaku di kalangan mereka yang berumur di antara 20 hingga 49 tahun ialah sebanyak 88 peratus.
Persembahan itu juga diharap membuka laluan untuknya mengadakan konsert mega yang sudah diimpikan sejak beberapa tahun lalu, namun kesukaran mendapat kerjasama penaja membantutkan usaha tersebut.
“Pada 2 Julai itu juga, Dayang akan membuat persembahan lagu Ku Temu Cahaya yang dicipta khas sebagai lagu tema Yayasan AIDS Malaysia. Dayang akan diringi oleh pemain-pemain muzik tersohor Malaysia di bawah bimbingan Pengarah Muzikal, Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok U,” katanya mengenai persembahan yang bakal diadakan pukul 4 petang itu dengan bayaran RM50 (termasuk satu minuman mocktail merah Sayang & Cahaya).
0 ulasan:
Catat Ulasan