LAMAN sosial sekali lagi menimbulkan isu panas membabitkan dua selebriti terkenal. Semuanya bermula apabila pelakon sensasi, Nur Fasha Sandha Hassan atau Fasha Sandha meluahkan rasa kesal dan kecewanya dengan sikap pelakon muda menerusi laman Twitter.

Fasha mendakwa pelakon muda itu tidak berdisiplin apabila datang lewat empat jam

ke lokasi hingga dirinya menunggu begitu lama. Fasha mendakwa waktu call time untuk pelakon jam 8 pagi dan dia sudah sampai jam 7.45 pagi dan pelakon lelaki itu sampai kira-kira jam tengah hari.

Tambah membuatkan Fasha hilang sabar apabila pelakon itu langsung tidak menunjukkan rasa bersalah atau memohon maaf kepada semua kru sebaik tiba di lokasi.


Bagaimanapun, dalam beberapa status di laman Twitternya itu, Fasha tidak menjelaskan siapa gerangan pelakon dimaksudkan hingga menimbulkan tanda tanya. Difahamkan, Fasha kini menjalani penggambaran drama Dewa Cintaku di Port Dickson, Negeri Sembilan berganding dengan aktor kacak, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saifuddin atau Iqram Dinzly.


Ini membuatkan ramai beranggapan, kenyataan Fasha itu ditujukan kepada Iqram, tambahan pula waktu sama, Iqram turut membuat kenyataan dalam laman Twitternya.

Fasha ketika dihubungi bagi mengulas isu itu mengakui apa yang ditulis di laman Twitter miliknya adalah masalah yang berlaku hingga menyusahkan dirinya. Bagaimanapun, Fasha enggan mengulas lanjut kerana menganggap isu itu bukanlah sesuatu yang besar dan ia hanya sekadar luahan perasaan di laman sosial peribadi miliknya.

"Saya mengakui segala apa yang saya tulis di Twitter itu adalah luahan perasaan dan sesuatu yang ingin saya kongsi bersama peminat. Saya memang tertekan kerana terpaksa menunggu pelakon yang sepatutnya bergandingan dengan saya selama lebih empat jam.

"Apabila menunggu lama, membuatkan masa saya terbuang begitu saja. Malah mood dan fokus saya juga kian hilang kerana terlalu lama menunggu. Jadi, saya menulis di Twitter hanya untuk meluahkan perasaan dan berkongsi rasa itu dengan peminat yang sentiasa memberi reaksi dan semangat.

"Namun, tidak perlulah untuk saya mengesahkan siapa pelakon itu kerana apa yang berlaku adalah satu masalah komunikasi saja. Malah, pelakon itu juga sudah meminta maaf dan menjelaskan perkara sebenar.

"Antara kami memang sudah berdamai dan tidak timbul sebarang isu lain. Sebagai pelakon, saya perlu bersikap profesional dan sentiasa faham akan situasi pihak lain. Mungkin apa yang berlaku adalah pengajaran yang akan mengajar saya menjadi individu yang lebih baik," katanya.

Ditanya adakah pelakon yang dimaksudkan adalah Iqram Dinzly yang kebetulan bergandingan dengannya untuk drama baru terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd, Dewa Cintaku, Fasha enggan memberikan penjelasan lanjut.

"Saya tidak melihat isu ini begitu besar hingga perlu saya menyebutkan namanya kerana apa yang lebih menjadi keutamaan, dia sudah memohon maaf dan menjelaskan perkara sebenar yang menimpanya.

"Saya tidak mahu membesarkan perkara ini hingga mengganggu perjalanan produksi. Setakat ini penggambaran Dewa Cintaku berjalan lancar dan semuanya kembali seperti biasa.

"Perselisihan faham dan masalah komunikasi seperti ini adalah biasa dan semua ini akan memberikan seseorang itu pengalaman baru untuk menjadi lebih kuat dan baik.

"Sebagai pelakon, saya memang begitu mementingkan masa dan waktu orang lain. Disiplin itu adalah kunci terbaik untuk kekal lama sebagai anak seni. Lantas saya juga mengharapkan perkara sama yang mana orang lain juga bijak menghormati masa saya," katanya.

Sementara itu Iqram ketika dihubungi, ternyata terkejut dan menegaskan tidak mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku. Bagaimanapun, dia tidak menafikan mengetahui perkara yang hangat diperkatakan apabila ada beberapa orang teman menghubunginya bagi mengetahui apa sudah terjadi selepas mereka membaca kenyataan ditulis Fasha.

"Saya tidak berani hendak memberikan sebarang komen kerana hendak diikutkan pada hari kejadian, tidak ada apa-apa yang berlaku antara saya dan Fasha. Malah penggambaran berjalan dengan lancar. Sebaik habis, kami sempat menikmati Char Kuew Teow bersama sambil berbual. Tiada perselisihan faham antara kami," katanya.

Kata Iqram, dia tidak memberikan sebarang reaksi kerana katanya, dia tidak rasa mesej yang ditulis Fasha itu mempunyai kaitan dengan dirinya kerana tidak menyebut sebarang nama atau individu.

"Saya tidak mengikuti atau mendaftar untuk menyertai laman sosial Twitter milik Fasha, jadi bagaimana pula saya boleh tahu luahan yang ditulisnya. Seperkara lagi tidak ada nama yang disebut jadi ia boleh jadi sesiapa saja dan bukan saya. Atas alasan itu saya tidak berani untuk bercakap lebih mengenainya," katanya.

Bagaimanapun jelas Iqram, dia tiba lewat di lokasi penggambaran Dewa Cintaku kerana mengalami kemalangan dan harus menyelesaikan masalah terbabit sebelum tiba ke lokasi.

Katanya, ini kali pertama dia digandingkan dengan Fasha dalam drama dan bimbang akan timbul rasa kurang senang antara mereka.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top