SABTU lalu, ruangan Karpet Merah catatan Pengarang Hiburan Harian Metro (HM), Roslen Fadzil ada menyuarakan cadangan supaya pentas hiburan berprestij tanah air, Istana Budaya (IB) mengangkat lagu-lagu indah nyanyian Biduanita Negara, Allahyarham Datin Rafeah Buang.

Pastinya, lagu popular Allahyarham seperti Gurindam Jiwa, Si Dia, Kenangan Di Rantau Abang, Udang Sama Udang, Daun-Daun Berguguran, Kalau Rindu, Bisikan Hati dan Disebut Jangan Dikenang Jangan yang didendangkan pada konsert 'tribute' itu mengubat rindu peminat.

Selain konsert 'tribute' buat Allahyarham, dicadangkan juga penghibur hebat seperti Aishah diberi peluang beraksi di pentas IB. Sudah tentu, gemersik kelunakan vokal Aishah dengan iringan orkestra besar di IB memberikan impak persembahan yang hebat kepada penyanyi Janji Manismu itu.

Susulan daripada cadangan ini, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, ketika dihubungi HM memaklumkan pihaknya sangat mengalu-alukan pembabitan syarikat produksi tempatan yang mahu mengangkat karya-karya tersohor untuk dipentaskan di IB.


Ujarnya, tidak dinafikan penghibur era 1960-an dan 1970-an seperti Allahyarham Rafeah memang mempunyai banyak lagu 'evergreen' yang pastinya masih segar di ingatan peminat. Katanya, IB tidak melupakan sumbangan artis veteran dan bersikap terbuka memberikan peluang.


"Sebagai contoh, sempena sambutan Hari Seniman baru-baru ini, IB mengangkat karya lagu irama 1960-an bagi mengimbau nostalgia lama. Namun hingga kini saya akui memang tiada pihak yang tampil menyuarakan kepada IB untuk penganjuran konsert 'tribute' yang hebat buat Rafeah.

"Bagi saya sendiri, ia memang satu cadangan yang sangat baik untuk diketengahkan. Malah, saya juga yakin pasti ramai peminat penyanyi legenda dan tersohor negara ini menantikan konsert istimewa itu. Mengenai Aishah pula, usaha membawanya ke IB memang sedang dilakukan," katanya.

Menurut Mohamed Juhari, mengikut cadangan, persembahan untuk Aishah itu sebenarnya ingin dibuat pada hujung tahun ini. Namun jadual di IB sudah pun terlalu padat, maka ia akan diusulkan ke tahun depan. Malah katanya, bukan persembahan Aishah saja malah Ramlah Ram juga antara yang dicadangkan.

"Membawa Aishah mengadakan persembahan di IB memang cadangan yang baik kerana dia seorang penghibur sejati. Pada era 1990-an, Aishah berjaya membawa transformasi besar kepada industri hiburan tanah air bersama The Fan Club.

"Ketika itu, Aishah menjadi satu-satunya artis yang berjaya dengan album Inggeris di luar negara. Sehubungan itu, gabungan Aishah dan Ramlah adalah tepat kerana kedua-dua mereka adalah artis 'diva' yang memiliki tahap vokal yang hebat," katanya.

Jelas Mohamed Juhari lagi, apapun pihaknya ada juga menerima cadangan untuk mengadakan konsert istimewa membabitkan artis dekad 1970-an yang akan menggabungkan persembahan artis seperti Dayangku Intan, Razis Ismail dan juga Azlina Aziz.

Katanya, tidak terkecuali ada juga tawaran untuk penganjuran konsert istimewa Datuk DJ Dave. Bagaimanapun, sehingga kini pihak individu yang mencadangkan nama-nama artis berkenaan masih belum menghantar kertas kerja lengkap kepada IB.

Ujar beliau, pihak terbabit harus menghantar kertas kerja berkenaan secepat mungkin kepada IB untuk ia dihantarkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKKM). Ini kerana katanya, awal Disember nanti, IB akan mengadakan sidang media untuk pengumuman persembahan 2012 pula.

Sementara itu, Aishah pula memaklumkan dia masih menunggu peluang untuk beraksi di pentas IB. Katanya, pada Februari lalu ada pihak menghubunginya bertanyakan sama ada dia mahu membuat persembahan di IB namun, ia terus senyap selepas itu.

"Saya pun tidak tahu sejauh mana akan terlaksananya cadangan persembahan ini. Sehingga kini, saya masih menunggu panggilan daripada pihak terbabit untuk langkah selanjutnya. Tidak dinafikan, saya memang sangat ingin beraksi di pentas IB bersama orkestra.

"Selepas mendapat peluang mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada Disember 2009, saya memang ingin beraksi pula di IB. Sebagai penyanyi, beraksi di dua pentas hebat ini adalah satu penghargaan yang besar.

"Ditambah lagi, melihatkan rakan seangkatan lain yang bersama-sama saya dulu ramai sudah pun mendapat peluang membuat persembahan di IB, saya harap dapat menghiburkan peminat saya pula di IB," katanya.

Aishah yang pernah popular dengan lagu-lagu seperti Janji Manismu, Kemaafan Dendam Yang Terindah, Cinta Beralih Arah dan Melukut Di Tepi Gantang masih lagi aktif memenuhi undangan nyanyian. Katanya, dia amat bersyukur dengan rezeki selepas berumah tangga.

Manakala Pengurus Strategik Bahagian Domestik Warner Music (M) Sdn Bhd, Larry Yusof, berkata selaku wakil syarikat rakaman pihaknya sentiasa bersedia untuk menjalin kerjasama dengan pihak yang berminat untuk menganjurkan konsert istimewa buat Allahyarham Rafeah.

"Ia satu cadangan yang cukup bagus dan jika ada mahu menganjurkannya, kami di Warner Music Malaysia sedia memberikan segala maklumat diperlukan mengenai Allahyarhamah termasuk kebenaran menyanyikan lagu-lagu beliau. Kami akan membantu dengan besar hati," katanya.

Menurut Larry, kompilasi terakhir Rafeah diterbitkan syarikat rakaman EMI pada 2007. Memandangkan EMI Malaysia sudah tidak beroperasi, Warner Music akan mengeluarkan kompilasi baru khas untuk Rafeah yang memuatkan 40 lagu hit beliau tidak lama lagi. Ia dijangka berada di pasaran pada Aidilfitri ini.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top