Waktu Akademi Fantasia (AF) bermula pada 2003, ramai masih kurang memberikan perhatian kepada rancangan realiti TV pencarian bakat nyanyian terbitan Astro itu.
Ketika itu ramai belum faham konsep program hiburan bercorak pertandingan yang memerlukan penonton terbabit secara langsung mengundi peserta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Ia membuatkan ramai beranggapan cara itu semacam tidak realistik kerana sudah menjadi adat pertandingan, pemenang dipilih oleh juri profesional dalam pelbagai bidang.
Bagaimanapun insiden peserta berbakat, Rosma atau nama penuhnya Rosmayati Sidik, tersingkir daripada AF1, ternyata membuka mata. Tiba-tiba sebahagian besar mereka yang menonton rancangan itu meluahkan rasa marah dan tidak puas hati di dada akhbar dan Internet.
Tidak kurang pihak media sendiri seakan sangsi dengan sistem undian yang dilaksanakan. Semuanya seperti ada konspirasi. Begitulah fenomena baru yang dilalui masyarakat dengan konsep rancangan hiburan AF yang konsep asalnya digarap daripada program hiburan Mexico.
Musim AF seterusnya menimbulkan fenomena apabila ia menjadi tontonan seisi keluarga. Malah pernah di satu peringkat, jalan raya di Kuala Lumpur lengang selama lebih sejam walaupun pada malam minggu kerana semua berada di rumah untuk melihat aksi bintang muda menyanyi bersama drama kejutan yang diselitkan.
Banyak memori terindah berlaku sepanjang AF ke udara dan paling diingati sudah tentu fenomena ‘tsumawi’ apabila peserta dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor, Asmawi Ani atau Mawi yang pada peringkat awalnya tersingkir tiba-tiba menjadi ikon kepada jutaan rakyat Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.
Kini semuanya bakal berakhir. Pertandingan akhir AF9 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya, Ahad ini, jam 9 malam, menjadi titik akhir.
Bagi meraikan tamat rancangan AF untuk sembilan musim, rancangan khas Konsert Kenangan AFNIL telah dirakamkan di Studio 1, Astro Bukit Jalil, Ahad, lalu. Ia menghimpunkan barisan artis yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti TV itu.
Lebih menarik setiap daripada bintang AF membuat persembahan dinilai pengkritik terdiri daripada pengkritik tetap terdahulu iaitu Kudsia Kahar, bekas tenaga pengajar Adnan Abu Hassan dan guru vokal, Siti Hajar.
Berbeza daripada konsep kebiasaan untuk konsert khas ini, tiada undian SMS daripada penonton setia sebaliknya markah diberikan sepenuhnya oleh pengkritik dan pemenang tetap menerima hadiah hebat berupa sebuah kereta Pesona Elegance.
Menceritakan mengenai konsert diadakan Penerbit Eksekutif Astro Ria, Irwan Rauf menjelaskan ia diadakan bagi mengimbau kenangan sepanjang sembilan tahun AF diterbitkan. Peserta pula membabitkan mereka yang pernah menyertai rancangan itu dari musim pertama hingga musim kesembilan.
“Setiap daripada peserta ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria. Apa yang pasti setiap musimnya ada wakil. Kita undang mereka melihat kepada kemampuan bintang AF itu sendiri sama ada mereka ada waktu terluang untuk menyertai pertandingan ini atau tidak. Memandangkan rancangan ini membabitkan kenangan suka duka peserta, jadi kita jemput mereka yang dirasakan ada sejarah menarik untuk dikongsi bersama penonton.
“Untuk pertandingan ini, kami pilih mereka yang tidak berjaya ke konsert final terutama bintang yang tersingkir sebelum minggu konsert akhir diadakan. Kami melakukan ini dengan harapan untuk memberi peluang kepada mereka di samping menampilkan perubahan yang berlaku kepada mereka secara peribadi,” katanya.
Tidak dinafikan Konsert Kenangan AFNIL yang bakal disiarkan pada 11 Jun ini, di Astro Ria jam 9 malam berjaya mengimbau segala kenangan manis itu. Malah ia turut menyentuh perasaan apabila melihat perubahan kepada setiap peserta yang tampil mengadakan persembahan. Seperti Rosma & Khai yang dulunya bercinta dalam AF, kini sudah bergelar ibu dan ayah. Menarik apabila pasangan ini tampil bersama anak sulung mereka di atas pentas.
Lucu apabila melihatkan keletah Aznil yang mengusik Rosma, Khai dan Zarina Zainoordin yang turut serta dalam konsert terbabit. Sekadar mengimbas kenangan lalu, penyertaan Zarina dalam AF ditemani dengan cerita panas apabila dikatakan bekas kekasih Khai.
Hubungan cinta mereka putus apabila Khai dikatakan bertemu dengan Rosma apabila menyertai AF1. Apabila diusik Aznil kelihatan ketiga-tiga mereka berasa canggung tetapi masih mampu mengawal keadaan. Tambahan pula semuanya sudah menjadi sejarah dan hubungan mereka kekal baik sebagai rakan artis.
Bukan itu saja, beberapa babak dalam konsert AFNIL turut menyentuh perasaan apabila Diddy atau Syamsul Hirdi Muhid mewakili AF4 turut bertanding bersama adiknya Kay AF9 di pentas.
Jelas Aznil impian arwah ayah mereka sudah tertunai apabila kedua-duanya berjaya mencipta nama menerusi AF.
Begitu juga dengan kehadiran Nija membawa anak sulungnya ke atas pentas dan Atie yang pernah menimbulkan gempar apabila memeluk kaki Burn ketika DJ Era FM itu tersingkir!
Selaku pengacara yang begitu sinonim dengan AF, Aznil berasa begitu tersentuh apabila melihat sebahagian besar artis yang bakatnya dicungkil daripada rancangan itu hadir memberikan sokongan.
“Walaupun konsert ini turut mempertandingkan bakat bintang-bintang AF, saya lihat rata-rata mereka menyanyi bukan untuk menang, sebaliknya lebih kepada mengimbau kenangan silam dan melepaskan rindu dengan rakan lain.
“Bukan itu saja, saya rasa penonton sendiri mahu menyaksikan semula bintang kesayangan mereka beraksi. AF akan melabuhkan tirainya Ahad ini dan sudah tentu ia memberikan impak secara peribadi kepada saya. Hidup saya akan kembali sunyi tanpa AF,” ujarnya.
Apa yang dilakukan Astro ini dilihat sebagai satu usaha yang menarik. Kalau Raja Lawak mengimbas kenangan melalui Maharaja Lawak, Konsert Kenangan AFNIL pula memberi ruang kepada bekas bintang AF beraksi.
Selain Rosma, Zarina dan Diddy, turut bertanding dalam Konsert Kenangan AFNIL adalah Mohamed Zulkefli Mohamed Idir atau Keifli mewakili AF3, Mohd Syawal Ruslan (Shawal-AF5), Ika Nabila Abdul Rahim (Ika-AF6), Nurfazelah @ Zizie Mad Tahil (Zizie-AF7), Nadiawati Ainul Basir (Ain-AF8) dan Fahrur Raqib Abdul Majid (Raqib-AF9).
Bagi menghangatkan AF9, finalis terbabit iaitu Hazama, Lena, Fina dan Azri juga tampil membuat persembahan khas buat senior mereka.
Oleh Rudy Imran Shamsudin

0 ulasan:
Catat Ulasan