Kritikan biarlah bertempat

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

MEMANG tidak habis kisah tentang pasangan sensasi, Scha Alyahya dan kekasihnya, Awal Ashaari diperkatakan ramai.

Semuanya gara-gara Scha dan Awal kerap meluahkan rasa ketidakpuasan mereka terhadap segelintir wartawan dan penulisan tentang diri mereka.

Jika ada yang tidak kena di mata mereka, maka, semuanya akan diluahkan di laman sosial, Facebook dan juga Twitter.

Sehinggakan tindakan mereka itu menyebabkan ada penerbitan yang secara diam menyenarai hitamkan nama mereka berdua daripada sebarang publisiti.

Pernah dulu kecoh tentang isu di mana Scha telah menyamakan wartawan dengan monyet dengan menulisnya di Twitter.

Namun, Scha menafikan sekeras-kerasnya dan mendakwa kenyataan itu merujuk kepada sebuah syarikat produksi sekali gus menafikan wartawan adalah musuhnya.

Apakah benar pasangan merpati dua sejoli ini tidak boleh dikritik sehingga bertindak pantas mengeluarkan kenyataan balas di alam maya?

Bertemu dengan Scha pada sidang akhbar Dunia Kita di Alexis, The Gardens, Mid Valley, baru-baru ini, peluang itu diambil untuk bertanyakan perihal sebenar berhubung isu tersebut.

Dengan tenang, sambil menghela nafas yang panjang, Scha memberikan justifikasi dengan mengatakan apa yang diluahkan olehnya dan Awal semuanya bersebab.

"Kami hanya mahu menegakkan kebenaran dan menjelaskan keadaan yang sebenar di sebalik tulisan yang ada kalanya tidak ditulis seperti apa yang berlaku sewaktu temu ramah.

"Lantaran itu, Twitter merupakan medium yang paling tepat untuk kami memperbetulkan apa yang patut dilakukan. Sementelah, Twitter dan Facebook merupakan medan yang tiada sempadan untuk meluahkan isi hati kami.

"Namun, saya dan Awal sama sekali tidak pernah terlintas menggunakan medium tersebut untuk menghentam atau memusuhi media," kata Scha panjang lebar mempertahankan dirinya.

Mengikut perancangan awal, sidang akhbar itu juga sepatutnya disertai Awal tetapi pada saat akhir, pelakon dan pengacara kacak itu terpaksa ke Jakarta, Indonesia atas tuntutan kerja.

Menyambung bicara, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakui peranan pihak media dalam menaikkan dan mempopularkan nama artis.

Dia juga sedar dirinya begitu kerdil jika hendak dibandingkan dengan pihak media, ibarat mentimun dengan durian.

Cuma kata Scha, ada ketikanya dia tidak dapat menahan sabar lalu meluahkan apa yang terbuku di hatinya di Twitter sehinggakan terpaksa dinasihatkan oleh Awal supaya lebih bersabar.

"Tetapi, apakan daya terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata, memang tidak boleh ditarik balik. Begitu juga dengan Awal.

"Jadi, dalam hal seperti ini, kami akan sentiasa ingat-mengingati dan saling menasihati agar tiada perkara buruk boleh berlaku. Apa pun, saya berharap agar tiada pihak yang salah anggap dengan segala tindakan kami di Twitter selama ini," pintanya penuh diplomasi.

Bekas pemenang Dewi Remaja 2006 ini pernah memberitahu seboleh-bolehnya dia tidak mahu berlakon bersama di samping Awal kerana tidak mahu penonton dan peminat berasa bosan.

Dalam erti kata lain, Scha mahu menjaga hubungan eksklusifnya dengan Awal tanpa mencampur adukkan perihal peribadi dan kerjayanya.

Ternyata selepas kejayaan drama Prebet Jamilah yang ditayangkan di Astro Ria (saluran 104, Astro) pada 31 Ogos tahun lalu, keserasian Scha dan Awal terus mendapat kepercayaan stesen berbayar terulung negara itu.

Menerusi drama mini bersiri Dunia Kita yang mula ditayangkan sejak 27 Mei lalu, Scha dan Awal sekali lagi digandingkan dalam drama terbitan Box Lite Film Sdn. Bhd. itu.

"Kelebihan yang ada pada kami itulah digunakan sebaik mungkin untuk mencipta keserasian di lokasi menerusi drama Dunia Kita.

"Tetapi, saya tidak mahu menggunakan kesempatan itu untuk memadu kasih di lokasi hanya kerana kami adalah pasangan kekasih.

"Saya mempunyai prinsip sendiri kerana saya memang tidak suka mencampur adukkan kerja dengan peribadi.

"Malah, Awal sendiri tahu dan dia pernah memberitahu saya bahawa Scha yang dikenalinya secara peribadi cukup berbeza apabila di lokasi," kata pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini sambil ketawa kecil.

Mengulas tentang watak Rania dalam Dunia Kita pula, Scha perlu mengucapkan terima kasih kepada penerbitnya, Michael Ang yang berjaya membawanya keluar dari kepompong watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.

Berperwatakan riang, berkeyakinan tinggi, ceria dan berbakat besar dalam bidang rekaan fesyen membuatkan Scha berasa seperti orang baru membawakan watak Rania.

"Bukan saya tidak berani mencuba watak berbeza, malah saya teringin mencuba watak lain. Tetapi apabila tiga tahun berlakon dalam Awan Dania, ia secara tidak langsung produser lain melihat kekuatan saya adalah untuk watak sebegitu.

"Cuma dalam Dunia Kita ini watak saya agak berbeza daripada Dania kerana saya memiliki lebih banyak sifat kewanitaan dan manja," kata Scha yang akan muncul sebagai pengacara program Impian Bapa menerusi Astro Ceria (saluran 611, Astro) tidak lama lagi.

Selain Scha dan Awal, drama sebanyak lapan episod itu turut dibintangi Marsha Milan Londoh, Saiful Nizen, Datuk Jalaluddin Hassan, Sharifah Shahora dan pemenang sulung Carefree Girl Bebaskan Bakatmu, Nur Amalina Ajaian.

Dunia Kita yang diterbitkan dengan kerjasama jenama panty liner terkemuka, Carefree itu boleh ditonton di Astro Ria setiap hari Jumaat pukul 7.30malam.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top