Lisa Wong muka baru Bella
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar NURUL AKMA SAMSUDIN dan SITI ASMAD MAMAT (Pelatih Unimas)
![]() |
LISA akan menemui penonton setia Bella pada siaran setiap hari Ahad rancangan berkenaan. |
SETELAH dilanda kontroversi rentetan daripada pengunduran Shasha Saidin sebagai salah seorang daripada empat pengacara rancangan Bella, kini rancangan bual bicara fokus kepada wanita itu menampilkan muka baru sebagai pengacara bersama.
Mula mengendalikan rancangan Bella untuk siaran Ahad, Bella menampilkan Lisa Wong sebagai kolaborasi terbaru di samping tiga lagi pengacara tetap rancangan berkenaan iaitu, Daphne Iking, Deborah Henry dan Elaine Daly.
Kehadiran Lisa sebagai pengacara bersama itu dilihat memberikan sinar baru kepada Bella dalam mengupas isu-isu berkaitan wanita, keluarga dan gaya hidup yang menjadi teras rancangan terbitan NTV7 itu.
“Saya gembira dan teruja kerana diberi peluang bersama dalam Bella memandangkan saya sememangnya berminat dengan rancangan ini.
“Setelah bersama dengan Bella lebih kurang dua bulan bermula April lalu, saya semakin seronok dalam mengacara rancangan ini,” jelas Lisa Wong ketika ditemui pada majlis sepetang bersama Bella yang dianjurkan oleh Bvlgari di Suria KLCC, baru-baru ini.
Tambah wanita berdarah campuran Sri Lanka dan Cina itu, apa yang membuatkannya tertarik dengan Bella adalah kandungan yang diketengahkan.
Baginya, Bella adalah landasan terbaik dalam usaha memberikan maklumat berguna kepada para wanita selain memangkin semangat untuk wanita terus bersedia menempuhi cabaran kehidupan.
“Saya sendiri sememangnya berminat dengan topik-topik berkaitan dengan gaya hidup. Itu membuatkan saya semakin teruja untuk bersama dalam Bella.
“Selain itu, Bella saya lihat sebagai satu rancangan yang membolehkan saya berkongsi minat dan maklumat dengan wanita-wanita lain di luar sana.
“Saya juga boleh memberikan panduan dan dorongan agar wanita lebih bersemangat untuk terus memajukan diri sekali gus menjadikan kehidupan ini lebih bermakna,” jelasnya yang kini sudah 12 tahun terlibat dengan dunia penyiaran.
Selain itu katanya, apa yang cuba disampaikan melalui segmen yang dikendalikan melalui Bella adalah kupasan topik berkaitan gaya hidup.
“Saya cuba untuk mengupas isu-isu berkaitan dengan kehidupan kini dan saya cuba untuk bersama menaikkan semangat wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan,” kata personaliti berusia 34 tahun itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan