Kutipan mencecah 6 juta selepas 4 hari telah ditayangkan! Inilah penangan bagi filem aksi terbaru, 'Kl Gangster' arahan pengarah muda, Shamsul Yusof. Filem aksi yang berdurasi 81 minit ini seolah-olah menjadi satu fenomena kerana sambutan yang sangat memberangsangkan diterima sejak hari pertama ia ditayangkan. Malah, kelainan yang digarapkan oleh Syamsul menjadikan filem ini setanding filem-filem aksi luar negara.
Baru-baru ini, Gua berkesempatan bertemu dengan dua barisan pelakon utama untuk filem Kl Gangster ini iaitu Aaron Aziz dan Ady Putra, di satu majlis sesi bertemu peminat sempena 'Karnival Filem' yang berlangsung di IPC (Ikano Power Centre), Petaling Jaya. Ayuh ikuti komen mereka tentang filem aksi Kl Gangster ini.
Ady Putra
"Kutipan yang besar dan saya rasa ini adalah satu keajaiban. Sudah tentunya saya rasa terharu, teruja serta gembira. Saya tidak menjangkakan rezeki yang Allah berikan mencurah begini."
"Bagi saya, cabaran itu lebih kepada stamina. Untuk filem Kl Gangster ini, saya sangat memerlukan tenaga yang lebih bila terlibat dalam perfileman aksi. Persediaan stamina yang cukup, penting dalam menghadapi cabaran ketika melakonkan aksi disamping kecederaan ringan yang bakal dihadapi"
"Saya mengalami kecederaan ringan ketika 'shooting' untuk Kl Gangster ini. Antaranya, lutut saya terkehel, paku tercucuk di bahu, tetapi semua itu adat berlakon dalam 'genre' aksi. "
"Tetapi, keseluruhannya saya amat suka semua babak untuk Kl Gangster ini yang bukan sahaja sarat dengan mesej malah penuh dengan aksi tersendiri. Tiada teknik kesan khas CGI, hanya 5 peratus sahaja menggunakan pelakon lagak ngeri malah seratus peratus lakonan kami sendiri."
Ketika ditanyakan tentang babak dalam watak Jai yang mendedahkan tubuh seksi milik Adi di awal babak filem tersebut, pelakon drama 'Na-o-mei' ini menjelaskan dia hanya mengikut apa yang diinginkan oleh pengarah.
"Itu adalah permintaan Syamsul. Kerana, rata-rata gangster tidak akan memakai 'tuxedo' atau 'suit', apa yang kami tonjolkan dalam filem harus bersesuaian dengan keadaan. Sebab itulah saya disuruh untuk hanya memakai 'jeans' demi merealisasikan bagaimana penampilan seseorang gangster itu."
"Saya memang membina badan sebelum ini. Jumlah pembinaan badan bergantung pada pemberian sesebuah watak. Untuk Kl Gangster ini banyak 'scene'kejar-mengejar dan bergaduh, jadi ia memerlukan aksi dan penggunaan tenaga yang banyak, jadi, saya lebih berusaha semata-mata untuk menambah stamina yang diperlukan, bukan untuk menjadi seorang 'body builder'," ujar Adi yang dalam masa yang sama sedang menjalani pengambaran filem epik 'Hanyut'.
Ditanya jika peluang untuk berlakon di Kl Gangster 2 diberikan kepada aktor berusia 30 tahun ini, Ady menjelaskan itu dia akan berserah pada rezeki dan takdir.
"Saya terserahkan pada Datuk Yusof Haslam dan Shamsul jika mereka inginkan saya lagi untuk berlakon dalam siri yang kedua. Samada melibatkan atau tidak, saya tidak tahu. Cuma, jika saya dilibatkan, saya akan cuba yang lagi terbaik kerana saya pasti filem ini sudah ada 'trademark' kerana kelainan yang ditonjolkan dalam Kl Gangster, di setiap ingatan penonton."
"Harapan untuk Kl Gangster kekal dipawagan selama sebulan atau lebih, memanggil semua tidak kira berbilang bangsa untuk menonton Kl Gangster kerana ia sebuah filem yang boleh dilayan untuk suka-suka dan harapan ia akan menjadi contoh dan iktibar disebalik mesej-mesej yang ingin disampaikan."
Aaron Aziz
"Malek merupakan abang kepada Jai. Dia adalah seorang gangster yang baru bebas dari penjara setelah tamat menjalani hukuman selama 5 tahun. Malek mahu melupakan dunia gangster dan pergaduhan lalu memilih untuk menjalani hidup sebagai orang biasa dengan azam baru."
"Sekuat manapun Malek cuba lari dari dunia gangster, dunia hitam itu cuba mengejarnya untuk menarik Malek kembali semula ke kancah pergaduhan sesama gangster. Lebih parah lagi, Jai lakonan Adi Putra iaitu adik kandung Malek kini berpihak kepada Shark, lakonan Syamsul dan menjadi orang kanan Shark yang paling setia."
Walaupun pernah memainkan watak yang berunsurkan aksi sebelum ini seperti dalam filem 'Evolusi Kl Drift',Aaron mengakui bahawa pengunaan tenaga yang maksimum hampir ke dalam semua babak merupakan cabaran terbesar beliau.
"Cabaran lebih kepada fizikal kerana ini adalah satu filem yang penuh dengan aksi. Tempoh 'shooting' 25 hari itu, 20hari semata-mata untuk aksi. Jadi, kekuatan tenaga dan stamina yang tinggi amat-amat diperlukan. Selain itu, semua aksi kami lakukan dengan sendiri. Disebabkan itu, saya mengalami kecederaan di bahagian lutut. Lutut saya terseliuh dan bengkak. Saya tiada pilihan selain kene 'shoot' juga. Tetapi saya tetap 'enjoy'."
"Harapan agar martabat filem Melayu dipertingkatkan lagi. Saya boleh lihat filem ini berjaya melalui kutipan yang tertinggi dalam sejarah, 1.5 juta sejak hari pertama ia ditayangkan. Disebabkan itu, saya rasa itu adalah petanda yang baik yang mana filem Melayu boleh bertambah maju lagi setanding filem luar lain."
0 ulasan:
Catat Ulasan