Setelah menyaksikan pasangan Razif dinobatkan sebagai juara sulung program Mari Menari Musim Pertama, kini sepuluh lagi pasangan yang sudah bersedia untuk memeriahkan industri seni tari yang semakin rancak membangun sekaligus merebut gelaran juara dengan menyusun rentak serasi di atas lantai tari Mari Menari yang kembali untuk musim kedua telah pun diumumkan di majlis sidang akhbar yang diadakan pada 1 Jun 2011
Program Mari Menari ialah sebuah program realiti tarian untuk mencari pasangan yang berpotensi serta mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni tari. Pada musim ini juga, Astro Ria akan menyiarkan episod pengenalan iaitu Mari Menari yang akan bersiaran buat pertama kali pada 17 Jun ini jam 9.00 malam dan diikuti dengan Siaran Langsung Mari Menari pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 18 dan 19 Jun 2011 jam 9.00 malam secara eksklusif hanya di saluran 104.
Untuk musim ini, sepuluh pasangan yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang bakal diterajui oleh dua orang jurureka tari profesional iaitu Ray Redzuan Awang atau lebih dikenali sebagai RAY serta Mohd Zulfarqar Awaluddin atau BELALANG. Kedua mereka telah diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai Kapten Jurureka Tari yang mana terdapat lima pasangan dan lima jurureka tari akan diletakkan di bawah pengawasan masing-masing.
Lima pasangan terpilih di bawah pengawasan RAY adalah terdiri daripada dua pasangan suami isteri iaitu; pasangan NORA dan pasangan AZLIN, dua pasangan adik beradik iaitu; pasangan UMMI dan pasangan SARAH serta satu pasangan ibu dan anak iaitu pasangan BIBI.
Manakala lima lagi pasangan yang diletakkan di bawah pengawasan BELALANG pula adalah terdiri daripada dua pasangan suami dan isteri iaitu; pasangan RAZMAN dan pasangan FAIZ, dua pasangan adik beradik iaitu; pasangan NITA dan pasangan WAN dan satu pasangan bapa dan anak iaitu pasangan MIZI.
Selain daripada mereka, sepuluh orang jurureka tari profesional juga telah dipilih berdasarkan pengalaman dan kecekapan mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai Cikgu Jurureka Tari sekaligus membimbing setiap pasangan di bawah penyeliaan masing-masing sebelum mereka bersedia mengadakan persembahan mingguan.
Manakala Ray dan Belalang pula akan menjadi ketua penasihat untuk lima pasangan dan lima jurureka tari di bawah pengawasan mereka. Kehadiran mereka bukan sekadar untuk memberikan tunjuk ajar, galakan motivasi dan berkongsi nasihat tentang rutin tarian, pemilihan lagu dan kepada pasangan di bawah jagaan masing-masing tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka.
Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari serta Lisa Surihani Mohamed atau Lisa Surihani sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara untuk program Mari Menari Musim Kedua ini.
Persembahan setiap pasangan akan diadili dengan sistem pemarkahan 50% juri dan 50% dari undian penonton. Pada setiap minggu, tiga orang juri professional yang terdiri daripada Joseph Gonzalez, Harith Iskandar dan Vanida Imran akan memberikan markah persembahan berdasarkan mutu dan teknikaliti persembahan. Manakala, kuasa penonton adalah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Pasangan yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Pihak Astro juga amat berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran murai.com.my selaku portal hiburan rasmi untuk program ini.
Jangan lupa untuk saksikan program Mari Menari bermula dengan episod pengenalan Mari Menari pada 17 Jun 2011, jam 9.00 malam dan diikuti dengan Siaran Langsung Mari Menari setiap Sabtu dan Ahad bermula 18 & 19 Jun 2011 menerusi saluran Astro RIA di 104.

0 ulasan:
Catat Ulasan