KRU Music menerbitkan album kompilasi terhebat yang membariskan seleksi lagu-lagu raya terhangat sepanjang zaman yang berjudul 'Oh My Raya!'.

Selaras dengan judulnya, album ini membariskan 15 buah lagu raya kombinasi artis lama dan baru. Lagu-lagu yang terdiri daripada 10 buah lagu hit terdahulu, dua buah lagu baru serta tiga buah lagu rakaman semula.

Dua buah lagu raya terbaru yang dimuatkan dinyanyikan oleh Forteen dan KRU sendiri berjudul '10 Jari Aidilfitri dan 'Erti Aidilfitri'. Manakala lagu rakaman semula merupakan lagu nyanyian Dato' AC Mizal dan Sepahtu berjudul 'Raya', 'Seloka Hari Raya' nyanyian Qalam Band dan Rafidah Ibrahim serta 'Suasana Hari Raya' nyanyian semula Stellar Band dan Illa Sabry.

Menemui Edry Abdul Halim selaku penerbit bagi album kompilasi ini, dia menjelaskan album ini mempunyai keseimbangan antara lagu raya yang selalu didengari dan lagu raya baru.

"Album ini menggabungkan beberapa lagu baru dan lagu-lagu lama. Album ini punyai keseimbangan antara lagu-lagu raya yang sudah biasa didengari dan lagu-lagu baru," jelas Edry ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Album 'Oh My Raya!' anjuran KRU Music di Peninsular Hotel, Kuala Lumpur.

"Di samping itu, album ini juga menampilkan artis-artis yang pertama kali merakamkan lagu raya, seperti kumpulan KRU, Forteen, Dato' AC Mizal, Fida Ibrahim dan ramai lagi. Album ini merupakan cenderahati kami kepada peminat di luar sana sempena sambutan Syawal," ulas Edry lagi.

Selain itu, KRU Music juga turut menerbitkan video klip istimewa lagu terbaru 'Erti Aidilfitri' dan '10 Jari Aidilfitri' yang diarahkan oleh Wa'an Hafiz yang telah pun dilancarkan secara digital di laman Youtube. Dapatkan album ini di seluruh cawangan Speedy, Music Valley dan Rock Corner berhampiran anda bermula 5 Ogos 2013 pada harga RM19.90 sahaja.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top