AGAK sukar sebenarnya untuk mencari penyanyi kanak-kanak ketika ini. Bukan tidak ada penyanyi kanak-kanak yang berpeluang merakamkan album, tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Kalau ada pun, hanyalah Shila OIAM yang bakat nyanyiannya dicungkil sewaktu zaman kanak-kanak. Apabila si empunya diri semakin membesar, kita semakin ketandusan penyanyi seusia begitu.

Usaha sesetengah stesen televisyen menerbitkan program realiti, bertujuan mencungkil bakat nyanyian kanak-kanak, harus diberi pujian. Antara stesen yang kelihatan aktif menerbitkan program sebegini ialah TV9. Sudah dua juara dilahirkan mereka menerusi program realiti Idola Kecil yang bakal memasuki musim ketiga tidak lama lagi.

Bagaimanapun, sepanjang dua musim bersiaran, kebanyakan peserta yang bertanding tidak kelihatan seperti penyanyi kanak-kanak. Dari segi fizikal dan usia, memang mereka kanak-kanak tetapi dari segi gaya, pembawaan diri dan vokal, mereka seperti sudah dewasa. Justeru, dalam usaha mengisi kekosongan penyanyi kanak-kanak yang ditinggalkan, rancangan Idola Kecil musim ketiga ini akan mencari penyanyi yang masih mengekalkan ciri seorang kanak-kanak dalam diri mereka.

Baca Juara Idola Kecil 3 milik Harris (Juara IK3)

Baca Gambar dan Profil Harris Juara Idola Kecil 3

"Sebelum ini kita lihat kebanyakan peserta Idola Kecil seperti seorang penyanyi yang sudah dewasa. Penampilan mereka, sifat dan pembawaan diri seolah-olah menggambarkan yang mereka sudah dewasa. Jadi untuk musim ini, kami mahu kanak-kanak yang biasa. Tidak keterlaluan dari segi penampilan, tetapi bersesuaian dengan usia.

"Disebabkan itu, untuk sesi uji bakat musim ini, agak sukar untuk kita memilih peserta seperti yang dikehendaki. Namun selepas melalui proses pelbagai tapisan, barulah kita temui sepuluh peserta ini," kata penerbit program Idola kecil 3, Nurul Ashikin Halim, ketika ditemui pada majlis memperkenalkan peserta program realiti itu di Damansara Perdana, baru-baru ini.

Mereka ialah Nurhamilya Adiba Hamzaidi (Adiba / 10 tahun / Perlis), Muhammad Afif Abdul Halim (Afif / 10 tahun / Kuala Lumpur), Farra Noradzlina Safwan (Farra / 10 tahun / Kedah), Nor Harris Alif Nor Rashidi (Harris / 11 tahun / Pulau Pinang), Angelica Paujin (Angel / 11 tahun / Sabah), Abdul Hadi Abdul Mazlan (Hadi / 11 tahun / Kuala Lumpur), Nor Balqis Ahmad Tajudin (Balqis / 11 tahun / Terengganu), Nadeera Allysha Aminudin (Deera / 11 tahun / Johor), Shazlin Salamat (Shazlin / 12 tahun / Sarawak) dan Puteri Asz faryna Khareeza (Puteri / 12 tahun / Kuala Lumpur).

Walaupun rata-rata peserta berada dalam lingkungan usia 10 hingga 12 tahun dan boleh dianggap mentah, namun jangan terkejut kerana ada di antara mereka mempunyai pengalaman menyanyi yang bukan calang-calang. Malah ada di antara mereka pernah bergandingan dengan penyanyi terkenal tanah air antaranya Ella, Erra Fazira dan Salamiah Hassan.

Lebih mengujakan apabila seorang peserta sudah pun mempunyai kumpulan sendiri dan pernah membuat persembahan di Hard Rock Cafe Pulau Pinang.

Bercerita pengalaman berduet dengan Ratu Rock, Ella, Farra berkata, ia pengalaman yang tidak mungkin dilupakan buat dirinya.

"Tentunya saya berasa seronok kerana berpeluang berduet dengan penyanyi pujaan saya. Masa itu, Ella dan Faizal Tahir datang membuat persembahan di Juru, Pulau Pinang. Saya memang suka dengan Ella dan kalau masuk pertandingan, saya banyak menyanyikan lagunya," kata Farra yang juga memiliki vokal mirip penyanyi terkenal itu.

Bagi adik Harris, mempunyai kumpulan sendiri iaitu First Step dan sering mengadakan persembahan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang membuatkan dia lebih yakin untuk berdepan dengan cabaran dalam pertandingan berkenaan.

"Berpeluang mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe satu pengalaman yang tak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila. Saya seronok dan teruja melakukan persembahan di hadapan penonton. Kumpulan saya dianggotai oleh mereka yang di bawah umur 14 tahun," kata Harris yang gemar menyanyikan lagu berentak rock.

Untuk musim ini, Idola Kecil turut disertai anak guru vokal terkenal, Siti Hajar Ismail. Kehadiran Afif pastinya memberikan cabaran kepada peserta lain yang mungkin menganggap populariti ibunya memberi kelebihan untuk peserta itu berjaya dalam pertandingan berkenaan. Bagaimanapun, ketika ditanya apakah mempunyai ibu seperti Siti Hajar sebenarnya satu kelebihan untuknya bergelar juara, pendapat nakal itu disangkal sekeras-kerasnya anak bongsu daripada tiga beradik itu.

"Walaupun saya anak kepada Siti Hajar, saya tetap sama seperti peserta lain. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar. Malah terus terang saya katakan, ibu saya sendiri tak sempat nak ajar saya mengenai teknik vokal dek kesibukannya. Jadi apabila ada peluang untuk belajar, kenapa tidak saya mencuba? Lagi pun dia sendiri menggalakkan saya untuk menyertai program ini," katanya.

Seperti biasa, rutin harian Idola Kecil tidak lengkap tanpa kelas vokal, tarian dan persembahan. Musim ini, tiga tenaga pengajar berpengalaman dibawa kembali untuk memberi `sentuhan emas' mereka dalam membentuk penghibur yang ver satil. Mereka ialah Alfa Booty (guru ciptaan lagu), Delly (guru vokal) dan Affizal (guru tarian).

Sama seperti tahun lalu, juri kali ini masih mengekalkan Atilia di samping seorang juri jemputan. Idola Kecil 3 disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam, mulai 6 November lalu di TV9.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top