Kalau minggu lalu, Etnik Vaganza diperkenankan sebagai tema menerusi Mari Menari iaitu sebuah program baru terbitan Astro Ria menggantikan Sehati Berdansa, pada minggu ini peserta dicabar pula dengan tarian bertemakan Latin.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri, Shairulfazli Sharif dan Rafidah Amit tidak dapat meneruskan perjuangan kali ini apabila menjadi pasangan pertama tersingkir dari program berkenaan, Ahad lalu.

Pasangan ini memilih tarian dengan iringan lagu Joget Senda Gurau nyanyian kumpulan Alleycats.

Meskipun mendapat bimbingan dan galakan dari penasihat Zul Huzaimy dan koreografer Syed, persembahan dikatakan kurang menyerlah sehingga gagal menarik minat pengundi berbanding 11 pasangan lain.

Jurugambar profesional dan pakar kecantikan yang masing-masing berumur 33 tahun itu diumumkan tersingkir oleh pengacara Awal Ashaari dalam Penentuan Mari Menari yang disiarkan secara langsung di Astro Ria.

Mereka berada pada kedudukan paling rendah apabila tempoh undian ditutup dengan 29 peratus berbanding; Razif (52 peratus), Ariz (50 peratus), Rosdi, (45 peratus), Nita (44 peratus), Zul (43 peratus), Fahmi (42 peratus), Yat (38 peratus), Masri (37 peratus), Zarin (35 peratus), Dita (35 peratus) dan Jaya (32 peratus).

Penyingkiran pasangan ini sekali gus mengecewakan harapan juri, Joseph Gonzales, Erra Fazira, Zul Huzaimi, Lisdawati dan Ferhad untuk melihat aksi pasangan Shairulfazli atau Shai dan isterinya, Rafidah terus kekal pada minggu ketiga.

Kini, tinggal 11 pasangan yang akan meneruskan perjuangan. Mereka adalah pasangan Ariz, pasangan Dita, pasangan Fahmi, pasangan Masri, pasangan Razif, pasangan Rosdi, pasangan Yat, pasangan Zarin, pasangan Zul, satu pasangan anak beranak; pasangan Jaya, dan satu pasangan adik beradik; pasangan Nita.

Pastinya lebih hangat apabila minggu penyingkiran yang kedua ini menampilkan penyanyi dan pelakon berkaliber Adibah Noor sebagai artis jemputan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, kebolehan dan bakat seni tari terpendam dalam diri setiap pasangan sudah diuji dengan cabaran minggu pertama.

Katanya, mereka juga sudah menunjukkan prestasi cemerlang dalam episod pengenalan pada minggu sebelumnya walaupun hampir semuanya tiada latar belakang dan pengalaman dalam bidang tarian.

"Persembahan minggu ini pastinya lebih mencabar kerana Latin bukanlah satu tarian yang mudah dikuasai. Saya difahamkan, tarian latin antara tarian paling sukar untuk dipelajari kerana ia memerlukan ketangkasan dan dipersembahkan dengan penuh 'attitude' untuk menghidupkan tarian itu.

"Bagaimanapun, kami berharap peserta dapat melakukan yang terbaik jika mereka mahu kekal, sekali gus memenangi pertandingan ini.

"Pun begitu, ingin sekali saya memuji kebolehan dan bakat seni tari yang terpendam dalam diri setiap pasangan teruji dengan cabaran minggu pertama.

"Malah dalam episod pengenalan pada minggu lepas, mereka sudah mula menunjukkan potensi yang besar walaupun hampir semuanya tiada sebarang latar belakang dan pengalaman dalam bidang tarian

"Cabaran yang lebih hebat pastinya akan menanti peserta untuk sembilan minggu yang akan datang. Setiap pasangan yang masih kekal perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan setiap cabaran yang bakal dilalui. Berdasarkan persembahan yang memberangsang pada minggu pertama, saya yakin mereka mampu melakukannya.

"Kehadiran Erra Fazira, Lisdawati, Ferhad dan Zul Huzaimy yang memikul amanah sebagai penasihat juga berjaya menghidupkan program ini.

"Kehadiran selebriti-selebriti ini bukan sekadar untuk berkongsi nasihat dan memberi galakan motivasi serta tunjuk ajar kepada pasangan di bawah jagaan masing-masing, tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada peserta. Saksikan persembahan mereka setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria," katanya.

Persembahan setiap pasangan ini diadili dengan sistem pemarkahan 50% juri dan 50% dari undian penonton. Empat juri terdiri dari tiga penasihat selebriti dan seorang juri profesional, Joseph Gonzalez akan memberikan markah persembahan berdasarkan mutu dan teknikaliti persembahan.

Manakala, kuasa penonton adalah melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Pasangan yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top