Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, edisi terbaru AF9  akan memperlihatkan kehebatan dalam setiap aspek merangkumi penerbitan, pengacaraan, tenaga pengajar mahu pun pesertanya.

“Kami bertekad untuk menjadikan AF9 sebagai nostalgia terindah buat peminat program ini, di samping mengembalikan segala memori yang pernah meletakkan AF sebagai program realiti paling popular dalam industri penyiaran,” katanya.



Azlin berkata, AF9 yang memulakan siarannya pada 2 April depan adalah siri terakhir program yang pernah mencetus fenomena ketika diperkenalkan pada Jun 2003.

Menolak pengaruh program realiti itu yang semakin pudar antara sebab utama mengapa siaran AF dihentikan, Azlin berkata, tanggapan itu tidak tepat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan beberapa bekas pesertanya.
Katanya, nama seperti Stacy, Hafiz, Aizat, Mawi, Akim dan Zahid kekal relevan dalam industri hiburan malah pernah mencipta kejayaan dalam acara hiburan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

“Untuk mengatakan pengaruh AF semakin merosot adalah tidak tepat kerana sepanjang lapan musim berlangsung, nama ini masih diminati dan kekal menjadi pilihan peminat.

“Begitu juga dari segi sambutan peminat kerana pada musim lalu, undian yang diterima menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) masih membuktikan AF tetap di hati mereka,” katanya.

Seakan sinonim dengan isu panas, sidang media pertama AF9 juga merangsang kehangatan apabila isu pemilihan pengetua diutarakan.

Ura-ura bertiup mengatakan AF9 bakal diterajui penggiat seni luar sebagai pengetua lantas menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pengamal media.

Seandainya perkara itu berlaku, ia seolah-olah memperlihatkan sikap tidak sensitif penerbitan program yang cuba menafikan keupayaan anak tempatan.

Bagaimanapun, Azlin berkata, perkara itu belum ditentukan kerana produksi AF9 sedang merangka perancangan teliti untuk memastikan edisi terakhir itu membuahkan kejayaan.

“Pastinya semua ini menuntut perancangan teliti malah kerjasama dengan orang luar juga adalah satu cara untuk memasarkan bakat tempatan ke negara asing.
“Tetapi perkara ini belum pasti lagi kerana keutamaan kami adalah memastikan segala yang direncanakan berhasil,” katanya.

Astro juga buat pertama kali memperkenalkan sesi uji bakat secara online bermula 13 hingga 27 Januari ini dengan mempelawa mereka yang berminat untuk menghantar klip video nyanyian mereka di laman sesawang: www.akademifantasia.com.my.

Usaha itu kata Azlin, selaras dengan kemajuan teknologi yang memberi peluang kepada peserta untuk memanfaatkan kemudahan internet dalam mengetengahkan bakat mereka.

“Peminat AF di laman sosial, Facebook kini menjangkau satu juta. Fenomena YouTube juga pernah melahirkan penyanyi seperti Yuna dan Ana Raffali, jadi kami cuba memberi peluang kepada lebih ramai bakat baru untuk mencuba nasib menerusi medium ini,” katanya.

Bagaimanapun, uji bakat biasa tetap diadakan bagi mengenal pasti peserta yang layak diketengahkan dan diberi bimbingan menerusi kelas yang ditetapkan.

INFO

# Dua lokasi yang dipilih itu adalah Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah pada 28, 29 dan 30 Januari ini disusuli
Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11, 12 dan 13 Februari depan.

# Berumur di antara 18 – 45 tahun pada 10 Januari 2011 dan membawa salinan kad pengenalan atau pasport untuk warga Singapura serta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta menyanyi lagu pilihan.

Uji bakat secara online:

* Pilih lagu yang di senaraikan di laman web ini.
* Rakamkan video nyanyian anda secara kreatif.
* Muat naik video anda di www.youtube.com
* Lengkapkan borang uji bakat yang terdapat di laman web ini berserta dengan pautan video di YouTube dan hantar.
* Untuk maklumat lanjut, layari www.akademifantasia.com.my.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top