Penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu dangdut, Wan Syahman Wan Yunus, 48, (Iwan), bersyukur apabila anak kedua hasil perkahwinannya dengan aktres popular era 1980-an, Rosnah Mohd. Noor, selamat diijabkabulkan Sabtu lepas.

Majlis persandingan Wan Syamira Putri Octavia dengan jejaka pilihannya, Mohd. Izat Abdul Rahman pula diadakan di rumah Rosnah di Taman Putra Perdana, Puchong.

Iwan yang pernah berkahwin dengan Rosnah selama lapan tahun, dikurniakan tiga cahaya mata.

Yang sulung, Wan Ramadha, 22, kini masih menuntut di salah sebuah universiti di Australia, Wan Syamira Putri Octavia, 20, dan yang bongsu, Wan Shahira, 18.

Selepas bercerai dengan Rosnah, Iwan berkahwin buat kali kedua dengan Wan Rafidah Abu Bakar tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Iwan dan Rafidah sebaliknya mempunyai seorang anak angkat bernama Nursyafiqah Emisya yang kini berusia sembilan tahun.


Majlis persandingan Wan Syamira yang diadakan dalam suasana yang cukup meriah, turut dihadiri artis-artis senior seangkatan Iwan seperti Rohana Jalil, Nassier Wahab dan Siti Fairuz.

Iwan yang pernah diberi gelaran Raja Dangdut kerana di tangannya, lahir ratu dangdut, Amelina pada pertengahan tahun 1990, kelihatan begitu sibuk melayan tetamu yang hadir pada majlis persandingan anaknya.

Namun dalam kesibukan itu, dari raut wajahnya, Iwan nampak lega dan lapang kerana tanggung jawabnya sebagai seorang ayah kepada Wan Syamira bukan sahaja telah tertunai tetapi juga dapat diserahkan kepada menantunya.

“Tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan selain daripada bersyukur ke hadrat Tuhan kerana puteri sulung saya ini telah selamat diijabkabulkan.

“Biarpun usia anak dan menantu saya sebaya dan masih muda namun itu bukan bermakna mereka tidak boleh melayari bahtera rumah tangga.

“Apabila saya mewalikan pernikahan anak saya semalam, dalam dada ini saya mendoakan agar dia bahagia dan selamat menjalani alam perkahwinan," katanya.

Pelantun lagu Yang Sedang-Sedang Saja memberitahu, majlis akad nikah anaknya diadakan di Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur selepas Zuhur.

Setengah jam sebelum dinikahkan, Wan Syamira ditunangkan dengan Mohd. Izat dalam satu majlis yang cukup ringkas.

Selain wang hantaran berjumlah RM20,211, pasangan itu turut bertukar-tukar hantaran. Pihak perempuan menyerahkan 13 dulang, dibalas 11 daripada Mohd. Izat.

Kata Iwan, ada sebab mengapa dia membenarkan anaknya berkahwin pada usia muda.

“Pada saya, daripada berkawan dan bebas keluar ke mana-mana tanpa ikatan yang sah, lebih baik mereka dinikahkan. Dari situ, masing-masing akan tahu tanggung jawab yang perlu ditunaikan.

“Apabila dia sudah bersuami, biarlah suaminya yang menjaganya dan tanggungjawab saya sebagai ayah, sudah selesai,” kata Iwan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top