Malam Pentas Pilih Kasih minggu 8 kecoh dengan komen hangat yang disifatkan agak melampau daripada pengkritik tetap program itu iaitu Prof. Madya Dr. Abu Hassan yang seakan-akan berada dalam dunianya sendiri.
Abu Hassan dilihat seringkali mengeluarkan komen-komen yang agak keras dan penuh puitis sehingga sukar untuk memahami apa yang cuba disampaikan olehnya seperti: "Kamu seperti tiang lampu yang hanya tahu melakukan tiga reaksi sahaja" atau "Anda seperti bot yang akan karam bila-bila masa sahaja."
Komen pedas daripada Abu Hassan itu dilihat kurang membina dan dikhuatiri akan menjatuhkan lagi semangat para artis Pilih Kasih yang masih mentah dan memerlukan bimbingan.
Paling terbaru, dia dilihat seringkali membandingkan antara peserta Pilih Kasih sebagai contohnya: "Jay, monolog awak ini jika diberikan kepada Raffamie Karama sudah pasti beliau dapat melakukannya dengan lebih baik."
Sebelum ini Abu Hassan juga pernah membandingkan Jay dengan Sofian Bujang, peserta Pilih Kasih dari musim pertama mengenai watak yang dibawakannya sebagai penagih dadah dalam teater pada minggu lalu.
Ini sedikit sebanyak telah menyebabkan Rosyam Nor bangun untuk menegur Abu Hassan pada malam Sabtu lalu atas komennya yang agak tidak diperlukan itu.
Wajah tidak puas hati jelas terpancar di wajah Rosyam Nor semasa menegur beliau menandakan tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat Abu Hassan itu.
Namun begitu setelah seketika, isu tersebut berjaya diselesaikan dan persembahan diteruskan pula dengan teater yang menghiburkan dari kesemua peserta Pilih Kasih yang berjudul, Dilema Hantu.
Menurut Rosyam, dia melihat komen Abu Hassan tersebut sebagai pembakar semangat para peserta Pilih Kasih musim kali ini, tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu mereka sering diberikan komen yang terlalu pedas dan bersifat menghentam dan bukan membina, kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan bakat dan semangat mereka akan terpadam begitu sahaja.
Ada apa dengan Erma Fatima?
Masuk minggu ini sudah masuk enam minggu berturut-turut kerusi pengarah teater tidak diisi oleh Erma Fatima semasa Pentas Pilih Kasih sedang berlangsung.
Nampaknya ada yang tidak kena dengan pengarah terkenal itu. Dia dilihat lebih gemar bersendirian di tempat duduk lain berbanding duduk berdekatan dengan Rosyam Nor seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
Perkara ini merungsingkan banyak pihak yang memikirkan adakah kemungkinan Rosyam Nor dan Erma Fatima bertelagah?
Walau apapun diharapkan segala permasalahan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana industri hiburan kita ini tidaklah sebesar mana dan kita pasti akan bertemu antara satu sama lain walau bagaimana cuba dielak sekalipun.
Masing-masing perlu memainkan peranan dan bertolak-ansur untuk memahami antara satu sama lain agar segala yang keruh dapat dijernihkan semula.
Minggu demi minggu kita tidak pernah lekang dengan kejutan yang ingin diberikan oleh Rosyam selaku penerbit Pilih Kasih.
Pada minggu kelapan ini, kejutannya ialah apabila berlaku penyingkiran dua peserta serentak – mengulangi penyingkiran serentak Leyla Krisya dan Afiq Meadin yang juga disingkirkan serentak pada minggu ketiga yang lalu.
'Mangsa' kali ini ialah Bil Azali dan Kris Cempaka. Bil dan Kris yang disenaraikan sebagai tiga peserta yang meraih undian paling rendah pada minggu kelapan bersama seorang lagi peserta iaitu Nur Jannah.
Bila dan Kris dilihat semakin menyinar melalui lakonan drama dan teater yang disampaikan setiap minggu, namun, ia nampaknya tidak memadai untuk memastikan mereka terus kekal berada dalam pertandingan ini apabila malam 29 Januari 2011 yang lalu menjadi tarikh terakhir mereka bersama Pilih Kasih.
"Jika diberikan pilihan, saya tidak mahu menyingkirkan mana-mana dari anda pada malam ini kerana ketiga-tiga anda adalah di antara yang terbaik," kata Rosyam Nor yang bagaimanapun masih mengekalkan Nur Jannah untuk terus berasa dalam Pilih Kasih.
Setelah dua lagi tersingkir, tinggal lapan sahaja lagi peserta Pilih Kasih yang akan berentap mempertaruhkan lakonan mereka untuk minggu ini.
Nampaknya Pilih Kasih musim kedua sudah hampir ke kemuncaknya. Tanggal 20 Februari depan yang hanya tinggal lebih kurang tiga minggu lagi.
Tarikh itu sudah pastinya dinanti-nantikan buat semua peminat Pilih Kasih untuk mengetahui siapa yang bakal menggondol gelaran pelakon pilihan Rosyam Nor untuk musim yang kedua ini, selepas Pilih Kasih musim pertama dimenangi oleh Iqbal Mazlan.
Tag: Pentas Pilih Kasih
0 ulasan:
Catat Ulasan