Pilih Kasih musim kedua (PK2) menyaksikan kejutan besar apabila Livonia dipilih sebagai juara di pentas akhir yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.


Pemilihan Ratu Cantik Borneo 2010 yang berasal dari Kuching, Sarawak itu menimbulkan persoalan di kalangan peminat dan juga wartawan hiburan yang mengikuti program realiti itu.

Namun, jika dilihat pada persembahannya malam itu, nyata gadis berusia 20 tahun tersebut mengerah kudrat dan bakatnya sehingga berjaya memukau para penonton dengan pesembahan mantap dan memberangsangkan.

Malah sentuhan 'ajaibnya' pada malam itu sekali gus mengepikan saingan dari rakannya yang dianggap pilihan dan disebut-sebut untuk bergelar juara pada musim kali ini, Jay Izwazir, 29.

Kejayaan merangkul kejuaraan PK2 membolehkan Livonia membawa pulang sebuah kenderaan jenis pikap, pakej penjagaan kereta Shine Shine, wang tunai RM10,000, barangan kosmetik bernilai RM7,000, pakej pelancongan, hadiah iringan lain dan trofi.

Livonia mendapat 26.6 peratus daripada 50 peratus undian yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 50 peratus markah menerusi pelakon dan penerbit program, Rosyam Nor.

Sementara tempat kedua pula dimenangi anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang, Yuzwan Yunus, 24, dengan memperolehi undian sebanyak 24.82 peratus.

Ku Hariz, 26, yang berada di tempat ketiga, memperolehi undian sebanyak 16.02 peratus.

Bagaimanapun kekecewaan di kalangan peminat Jay Izwazir terubat apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pelakon Terbaik Telekom Malaysia (TM).

Rosyam ketika ditemui selepas program itu berkata, walapun secara undian ada di kalangan mereka yang mendapat peratusan tinggi namun beliau menganggap kesemua yang memasuki pentas akhir Pilih Kasih adalah juara.

"Cuma yang membezakan mereka adalah undian. Malah saya dapat lihat kesemua mereka berjaya menunjukkan prestasi yang baik pada malam ini.

"Dalam apa-apa juga pertandingan, sudah pasti ada kejutan. Inilah yang berlaku pada malam ini," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Livonia sebagai juara musim ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati, Rosyam berkata, penentuan juara bukan terletak di tangannya secara mutlak.

"Sebaliknya, ia turut dipengaruhi oleh 50 peratus undian SMS. Undian itu dihantar oleh orang ramai dan peminat.

"Jadi, undian di tangan saya dipecahkan kepada tujuh artis PK2. Dari situlah penentuan juara akan berpihak kepada mereka yang mendapat undian tertinggi. Bagi saya, pemilihan Livonia menepati ciri-ciri yang ada bagai seorang pelakon," katanya.

Pilih Kasih mencari bakat baru dalam bidang lakonan, terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. disiarkan secara langsung di TV2 sejak 11 Disember lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top