Pelakon Ku Hariz akui faktor fizikal yang rendah, kecil dan berwajah ‘jambu’ memaksa dia membela misai agar kelihatan lebih dewasa seiring usianya yang mencecah 27 tahun.
Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli berkata, dia terpaksa mengambil inisiatif itu bagi meyakinkan para penerbit dan pengarah yang sering menawarkan watak remaja kepadanya sejak bergelar pelakon kira-kira dua tahun lalu.
“Sukar menjadi pelakon lelaki dengan pakej fizikal yang tidak standard. Setiap hari apabila saya hendak menghadiri uji bakat atau dirisik produser untuk sesuatu tawaran, isu fizikal sentiasa berlegar di fikiran.
“Saya bersyukur dengan apa dikurniakan malah saya percaya kekurangan fizikal ini ada kelebihannya di tempat lain. Cuma sebagai aktor, saya mudah berasa rendah diri dan segan.
“Atas dasar itu, saya ambil inisiatif dengan membela misai agar wajah kelihatan lebih dewasa seiring umur saya,” .
Bekas peserta program Pilih Kasih musim kedua itu berkata, sebagai orang baru dia berharap pihak industri memberikan ruang kepadanya membuktikan bakat dan kemampuan di sebalik kekurangan pakej fizikal yang dimiliki.
“Sebelum ini, saya pernah dapat satu tawaran filem tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir kerana saiz fizikal.
“Beberapa pelakon bertubuh kecil dan rendah seperti Zahiril Adzim dan Rusdi Ramli atau di luar negara Tom Cruise boleh berjaya dan diterima.
“Maka, tidak mustahil saya juga boleh berjaya cuma saya memerlukan peluang daripada industri,” luahnya.
Beralih kepada kisah hubungannya dengan pelawak Jihan (Raja Lawak), anak kedua dalam keluarga ini berkata, dia lebih selesa untuk tidak mendedahkan hubungannya bagi mengelakkan sebarang isu atau kontroversi pada masa akan datang.
“Kami sama-sama sedang membina nama dan mengukuhkan kerjaya masing-masing, jadi lebih baik keutamaan diberikan kepada kerja.
“Bagi yang sudah tahu biarlah tetapi saya lebih selesa untuk tidak mencanangkan hubungan kami kepada khalayak melainkan ditanya.
“Saya selesa dengan dia kerana keserasian antara kami tetapi belum ada ketetapan atau perancangan ke perkahwinan dalam masa terdekat,” tuturnya yang mengenali Jihan sejak 2005.
~ Mstar
0 ulasan:
Catat Ulasan