Latifah Omar dalam drama 50/50

Latifah Omar hampir 40 tahun tak berlakon, tetapi primadona filem Melayu, Latifah Omar, kembali semula ke dunia lakonan apabila muncul dalam telemovie 50/50 arahan Melissa Saila yang membawa watak sebagai Azizah.

"Saya amat terharu dan tidak menyangka akhirnya pintu hati Aunty Latifah terbuka semula untuk berlakon di bawah arahan saya. Walaupun Aunty Latifah hanya membuat kemunculan khas sebagai Azizah, ia tetap bermakna kepada saya dan semua kru kami.

Seniwati Latifah Omar

"Sebenarnya saya harus berterima kasih kepada ibu saya sendiri (Seniwati Mariani Ismail) kerana dialah yang bercakap dan memujuk Aunty Latifah untuk berlakon dengan produksi saya itu. Ramai tahu ibu saya dan Aunty Latifah bersahabat baik," kata Melissa.

Dia yang dibantu oleh Tam Suhaimi sebagai penolong pengarah berkata, Latifah sangat profesional ketika di lokasi penggambaran yang dilakukan di Gombak, baru-baru ini.

"Saya sangat kagum dengan komitmen yang ditunjukkan Aunty Latifah kerana dia begitu menepati masa dan datang ke lokasi dalam keadaan cukup bersedia.

"Menyedari kesihatan beliau sendiri kurang baik, saya dan semua kru memastikan agar segalanya sudah bersedia dan barulah kami memanggil beliau untuk datang ke set penggambaran. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu dia menunggu tapi biarlah kita yang menunggu.

"Bagi saya, aura Aunty Latifah masih hebat dan saksikanlah nanti lakonannya apabila drama ini ditayangkan oleh RTM kelak," kata Melissa.

Kata Melissa, skrip 50/50 ditulis suaminya sendiri Megat Fauzi Isa. Drama itu diterbitkan oleh syarikat produksi mereka, Kus Semangat Aktor Sdn Bhd.

Ujar Melissa, Latifah bagaimanapun berkata dia bukanlah hendak kembali aktif berlakon seperti dulu, sebaliknya menerima lamaran itu atas hubungan akrab dengan keluarga Mariani dan adiknya, Allahyarham Puan Sri Saloma.

"Sebenarnya beberapa bulan lalu saya ada mewawancara Aunty Latifah untuk sebuah dokumentari mengenai Saloma. Dari situlah saya dan suami terlintas untuk mengundang beliau memegang watak Azizah. Syukurlah akhirnya impian itu tercapai jua," katanya.

Latifah kali terakhir berlakon menerusi filem Hati Batu arahan Allahyarham M Amin pada 1973. Selain itu dia dikenali dengan filem seperti Panggilan Pulau, Patong Chendana, Raden Mas dan Cucu Datuk Merah.

Selain Latifah Omar, 50-/50 turut dibintangi Ramli Hassan, Johan Asa'ari, Susan Lankester, Dira Abu Bakar dan Datuk Aziz Satar.

Ia antara lain mengisahkan seorang lelaki, Ismail (Ramli) yang koma selama 50 tahun selepas ditembak. Apabila tersedar dia hairan melihat perubahan yang berlaku di sekelilingnya dan mula mencari bekas tunangnya, Azizah (Latifah).

Inilah yang menjadi satu misi kepada sekumpulan jururawat di hospital terbabit yang mahu mengesan di manakah Azizah berada.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top