Program popular Gempak Santai Harian Metro akan menutup tirai di WaterWorld@i-City, Shah Alam pada esok dan lusa.
Keseronokan bakal dikecapi oleh penduduk sekitar ibu negara untuk mengadakan aktiviti riadah sekeluarga di taman tema bernilai RM25 juta yang mula dibuka sejak 15 November lalu itu.
Sebanyak 20,000 tiket percuma disediakan buat pembaca setia HM untuk masuk ke WaterWorld yang didapati dengan mengumpul 15 kepala akhbar HM bermula 22 November sehingga 14 Disember (hari ini) bagi ditukar dengan dua tiket masuk percuma ke i-City Water World, Shah Alam.
Ia sah digunakan bermula 15 Disember (Sabtu) dan 16 Disember (Ahad) 2012. Agak mengejutkan semua tiket habis ditebus oleh pembaca sepanjang minggu ini sekali gus menunjukkan betapa besarnya pengaruh HM yang sentiasa mengutamakan pembaca.
Di WaterWorld@i-City, pelbagai acara menarik dan bersesuaian disediakan untuk semua golongan pengunjung antaranya persembahan artis popular, pertandingan mewarna, pertunjukan badut dan silap mata jalanan, pertandingan motosikal dan kereta cantik, pencarian harta karun dan karaoke santai.
Tidak ketinggalan diadakan juga promosi akhbar digital, 'face painting' dan sand art, pertandingan motosikal berkuasa tinggi, pertandingan gusti lengan dan banyak lagi.
Sepanjang program ini berlangsung, Gempak Santai adalah medan terbaik untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga. Daripada peringkat anak kecil, remaja dan ibu bapa kesemuanya boleh mengambil bahagian dalam acara yang disediakan.
Pengunjung yang bertuah masuk ke WaterWorld@i-City berpeluang merasai permainan tunggangan Tornado Ride setinggi tujuh tingkat yang pastinya hebat.
Tornado Ride itu sudah terkenal di Kanada sejak sembilan tahun lalu dan diminati ramai kerana pengalaman tunggangannya yang begitu mendebarkan.
Selain itu, taman tema ini turut dilengkapi dengan pelbagai permainan antaranya jakuzi gergasi, pelbagai jenis gelungsur untuk kanak-kanak dan dewasa serta kolam mandi.
Gempak Santai turut diingati dengan keistimewaan tersendiri menerusi siri konsert yang diadakan. Sebagai penutup barisan artis yang ditampilkan ke pentas.
Konsert yang akan berlangsung di Pentas Utama, i-Walk, I-City esok selama dua jam setengah bermula jam 9 malam menampilkan Ainan Tasneem, Lena AF, Haiza, Ezad Lazim, Bandi Amuk, May serta Azrul Raja Lawak sebagai pengacara.
Kesemua artis terbabit melahirkan rasa gembira apabila diberi peluang untuk bertemu dengan peminat. Masing-masing tidak sabar untuk beraksi. Paling teruja Azrul yang berjanji akan menggeletek hati peminat dengan celoteh lucu.
"Alhamdulillah saya terpilih untuk jadi pengacara Gempak Santai HM. Ia satu penghormatan kerana bukan mudah untuk mendapat kepercayaan sebegini. Saya tak mahu jadi pengacara kosong, jadi, saya akan selitkan info-info dalam HM ketika mengacara.
"Namun ada kejutan akan dibuat kerana saya buka pentas dengan persembahan istimewa dengan gimik lagu 'Oppa Metro Style' daripada Gangnam Style. Saya memerlukan beberapa penari untuk menari bersama dan harapnya pengunjung 'sporting' dapat naik ke atas pentas menari bersama saya," katanya dengan ceria.
Haiza pula yang terkenal menerusi irama dangdut akan bergelek sakan dengan lagu popularnya, Dag Dig Dug serta single terbaru berjudul Semalam.
Sementara itu, May pernah merasai keseronokan terbabit dengan HM menerusi program Karnival Candat Sotong di Terengganu pada Mac lalu, mengakui sangtat teruja untuk bertemu peminat di Shah Alam.
"Kami akan pastikan peminat yang hadir tak pulang hampa. Justeru lagu-lagu terbaik iaitu Pelayaran, Cinta Mu Mekar Di Hati, Sinar dan Dari Kacamata akan menjadi hadiah buat peminat yang hadir," kata penyanyinya, Mus.
0 ulasan:
Catat Ulasan