Tentang Shin Dongho (U-Kiss)
Bagi peminat K-Pop, pasti mengenali jejaka kacak, Shin Dongho, 18, (gambar) anggota band terkenal, U-Kiss juga kini ligat di pentas lakonan.
Turut membarisi pelakon serta memegang watak utama sebagai Kang-Yoo dalam siri kegilaan terbaru, Holy Land, perjalanan pemuda yang petah berbahasa Mandarin ini cukup indah apatah lagi di usia begini, dia mencipta kejayaan luar biasa.
Menghadiri persekolahan serta bergiat dalam bidang seni serentak, sehingga saat ini, dia sudah membintangi beberapa drama termasuklah Real School dan Royal Family serta filem antaranya Villain & Widow, My Black Mini Dress, Don't Cry Mommy dan Hong Gil Dong 2084.
Holy Land mengisahkan seorang pelajar yang tidak mempunyai rumah dan sering ponteng sekolah. Dia menyisihkan diri daripada masyarakat dan terkenal dengan sikap memberontak. Bagaimanapun, hidupnya mula berubah apabila dia menemui hobi baru iaitu tinju dan sejak itu dia merasa hidupnya lebih bermakna.
Disiarkan secara eksklusif dan buat pertama kali, siri berkenaan akan memulakan episod pertamanya pada hari ini menerusi KIX HD (Astro Saluran 729) bermula jam 9 malam ini.
Bermula pada usia semuda 14 tahun pada 2008, nampaknya Dongho kelihatan mudah untuk menyesuaikan diri dengan dunia glamor ini, mungkin juga pengalaman banyak mengajarnya.
Menjadi anggota paling muda dalam U-Kiss, jelas kelibatnya menenggelamkan ahli lain lantaran pelbagai tawaran datang bertalu-talu padanya termasuklah menjadi duta kepada jenama terkenal seperti Vons Chicken, Naengmyeon, Sky The Player Mobile dan Zoff Glasses.
Berpeluang menemubual dan menyelami remaja muda berkenaan, banyak yang dikongsikan bersama wartawan RAP, GEORGIE JOSEPH mengenai kerjaya serta bagaimana dia bergelumang dengan dunia glamor.
RAP (R): Pada usia semuda 18 tahun, kamu sudah cukup dikenali. Bagaimana kamu berhadapan dengan kehidupan glamor?
DONGHO (D): Sebenarnya, saya rasa saya tidaklah terlalu popular seperti yang didakwa. Seseorang bintang bukannya tercipta dengan mudah dan perlukan bantuan untuk digilap dan pergi jauh. Mengenali mereka yang berkerja di belakang tabir, saya jadi lebih menghargai mereka. Yang pasti, bukan mudah untuk menjalani kehidupan sebagai selebriti.
R: Tertekan tak dengan kehidupan glamor?
D: Memang pernah namun setiap kali mengalami tekanan, saya akan bermain permainan video ataupun memandu ke mana-mana demi menghilangkan perasaan itu.
R: Kamu nampaknya lebih ke hadapan berbanding anggota U-Kiss yang lain. Ada perancangan untuk bergerak solo?
D: Oh, tidak! Saya selesa bergerak dalam kumpulan.
R: Apa perkara paling sukar pernah kamu lalui sepanjang bersama U-Kiss?
D: Setakat ini segalanya baik-baik saja kerana anggota lain memang banyak membantu saya serta memberikan nasihat setiap kali tamat setiap persembahan.
R: Kamu cemerlang dalam nyanyian mahupun lakonan. Secara peribadi, bidang mana yang lebih kamu suka?
D: Saya mahu buat yang terbaik dalam kedua-duanya. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari walaupun sudah menyanyi lama, manakala setiap kali berlakon pula, saya masih lagi rasa gementar.
R: Bercakap mengenai Holy Land, pasti tiada masalah menjayakan watak sebagai pelajar sekolah namun untuk melakonkan karakter seorang pemberontak, bagaimana cabarannya?
D: Memang mencabar. Karakter itu langsung tidak ada persamaan dengan saya di mana Kang-Yoo adalah seorang yang pemalu dan menakutkan. Jadi, untuk memastikan watak itu berjaya, saya perlu benar-benar menjiwai dan masuk dalam karakter itu.
R: Sekejam mana kamu dalam Holy Land?
D: Saya cuba menjadi Kang-Yoo sebaik mungkin. Jadi, apa saja kelakuan yang jahat padanya, saya laksana dengan sebaik mungkin. Saya kena pastikan penonton benci watak itu.
R: Selain watak itu sendiri, apa lagi perkara yang kamu tidak akan lupa selepas berlakon dalam siri itu?
D: Semestinya watak bertarung dengan Hoon di mana saya banyak memukul dia. Dalam kehidupan sebenar, saya tidak mungkin akan dapat peluang untuk memukul dia kerana saya hormati dia sebagai orang yang lebih tua.
R: Apa lagi projek terbaru yang kamu tidak sabar hendak lakukan? Ramai mengatakan lakonan kamu hebat dalam filem Don't Cry Mommy. Sehebat mana kamu dalam filem itu?
D: Saya mahu melihat diri pada tahap setinggi dan sebaik yang saya inginkan. Itu saja yang saya boleh katakan mengenai prestasi saya dalam filem itu. Semestinya, saya menantikan tayangannya dan teruja menonton hasilnya.
R: Selain menyanyi dan berlakon, apa lagi yang kamu impikan dalam hidup?
D: Sekarang ini saya cuma mahu fokus dalam lakonan. Saya impikan watak yang lebih ringan dan periang, sesuai dengan usia saya kerana pada tahap ini, saya masih lagi belum cukup pengalaman dan kematangan untuk melakonkan watak berat.
R: Bagaimana perasaan dapat berlakon bersama anggota U-Kiss lain dalam siri itu? Adakah dinamiknya sama seperti menyanyi dalam kumpulan?
D: Semestinya sama. Dalam nyanyian mahupun lakonan, kami pentingkan keseronokan dan itulah juga yang berlaku sewaktu kami melakonkan babak bersama-sama.
0 ulasan:
Catat Ulasan